Pada minggu ini saya memilih satu hotel yang terletak di Presint 2 Putrajaya. Hotel yang telah dibuka pada tahun 2019 ini adalah antara salah satu hotel di bawah rangkaian Zenith selain di Kuantan dan juga Cameron Highlands. Saya membuat tempahan bilik melalui aplikasi Trip.com dan memilih bilik deluxe yang berharga RM246.91. Harga ini telahpun termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.30 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di tingkat bawah hotel. Lobinya agak kecil tetapi cantik. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit. Oleh kerana bilik saya belum lagi sedia, saya hanya meletakkan beg dan terlebih dahulu bersiar-siar di pusat membeli-belah Alamanda yang terletak 5.2km dari hotel ini.
Pada pukul 1.51 tengahari saya menerima panggilan talipon dari pihak hotel untuk memaklumkan yang bilik saya telahpun sedia. Saya kembali semula ke hotel pada pukul 2.45 petang. Setibanya di hotel saya terus ke kaunter untuk mengambil kad akses bilik. Bilik yang saya inap ini terletak di Tingkat 7 dan hotel ini mempunyai 4 buah lif. Masa untuk menunggu lif tidaklah lama kerana pengunjung tidaklah ramai. Bilik deluxe yang saya inap ini mempunyai keluasan 355 kaki persegi dan ianya agak luas.
Sebaik memasuki bilik terdapat singki di sebelah kanan pintu masuk dan di sebelah singki pula letaknya ruang tandas. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di sebelah ruang tandas ini terdapat ruang pancuran di mana saiznya agak luas. Di dalamnya terdapat tab mandi (bathtub) yang sederhana besar. Hotel ini menyediakan dua jenis pancuran. Dinding mengadap ke bahagian katil adalah cermin yang seratus peratus lutsinar tetapi ada disediakan bidai yang boleh dinaikkan atau diturunkan dari dalam.
Untuk ke bahagian katil pula terdapat satu rak almari tertutup yang agak besar untuk pengunjung menyangkut baju dan menyimpan barang-barang mereka. Di dalam almari ini terdapat seterika dan papan seterika serta peti simpanan keselamatan. Di bahagian belakang almari ini pula iaitu mengadap ke bahagian katil terdapat kabinet menempatkan peti sejuk mini dan juga perkakas untuk membancuh minuman.
Di ruang katil selain satu katil king terdapat satu kerusi rehat yang agak besar di sebelah kanan katil. Di bahagian kepala kerusi ini terdapat satu lampu tidur. Bertentangan dengan kaki katil pula terdapat satu meja rendah yang agak besar untuk pengunjung meletakkan barang-barang. Meja kerja terdapat di penjuru kanan bilik dan saiznya agak besar. Di atas meja ini terdapat satu lampu tidur. TV bersaiz 50 inci dilekatkan di dinding bertentangan dengan kaki katil. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan yang mengadap ke Jambatan Seri Wawasan.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di atas bangunan (rooftop) iaitu di Tingkat 13. Pemandangan dari kolam renang hotel ini sangat cantik kerana mengadap ke Masjid Putra dan juga Pejabat Perdana Menteri. Kolam renang ini dibuka pada pukul 7 pagi hingga 7 malam. Walau bagaimanapun tidak terdapat kolam ranang untuk kanak-kanak. Selain kolam renang, di aras yang sama juga terdapat sebuah gimnasium yang beroperasi sehingga pukul 10 malam dan juga sauna serta spa.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 30mbps dan bagi telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 575mbps sementara Tune Talk pula 507mbps. Tekanan air di bilik mandi pula kuat tetapi saya tidak begitu gemar dengan jenis pancuran yang digunakan. Hotel ini hanya menyediakan siaran TV asas sahaja berserta beberapa siaran GD Media tetapi kesemua siarannya di dalam bentuk HD. Hotel ini juga menyediakan servis in-room dining sehingga jam 1 pagi tetapi harga makanannya agak mahal. Sebagai contoh nasi gorengnya berharga RM48, Fish & Chips RM52 dan jus buah-buahan pula RM27. Untuk yang membawa kenderaan, parkir percuma ada disediakan dengan menggunakan kad sepenuhnya (cashless).
Hotel ini tidaklah terlalu lama beroperasi tetapi keadaan biliknya tidak menggambarkan sedemikian. Perabut-perabutnya kelihatan sudah agak lama walaupun masih dalam keadaan baik. Bilik dan persekitaran hotel ini bersih dan salah satu keistimewaannya ialah pemandangannya yang cantik. Kesemua biliknya mengadap ke tasik dan sebahagiannya pula mengadap ke Masjid Putra. Dengan harga yang telah saya bayar ianya memang berbaloi dengan keluasan biliknya cuma persekitaran hotel ini hanya dikelilingi oleh bangunan pejabat. Lokasi hotel ini letaknya 1.3km dari Masjid Putra dan 1.5km untuk ke Masjid Besi. Untuk membeli-belah pula pengunjung perlu ke Alamanda ataupun IOI City Mall yang terletak agak jauh iaitu kira-kira 10km. Bagi yang ingin menggunakan pengangkutan awam, penggunjung bolehlah menggunakan MRT ataupun ERL kerana hotel ini letaknya hanyalah 2.4km dari Putrajaya Sentral. Jika ingin berehat dan bersiar-siar di sekitar Putrajaya, hotel ini bolehlah dijadikan pilihan.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Pemandangan
Comments