Teedo Hotel Kuala Lumpur (16-17/5/25)
- hanuds
- May 17
- 3 min read
Hotel yang terletak di UTC Pudu Sentral (Puduraya) ini memulakan operasinya pada November tahun lepas. Sebelum ini ianya dikenali sebagai Ancasa Express. Saya menempah bilik menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik Superior berharga RM92.57. Harga ini telahpun termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 5 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobinya terletak di Tingkat 4 iaitu di aras yang sama dengan medan selera UTC. Lobinya kecil sahaja tetapi hiasannya agak cantik. Selain kaunter terdapat sebuah kedai serbaneka layan diri serta meja snuker dan juga foosball. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM100.
Setelah mendapat kad akses bilik saya menaiki lif ke Tingkat 12. Terdapat empat buah lif di hotel ini tetapi lifnya agak lambat (mungkin disebabkan bangunannya yang sudah lama). Bilik Superior hotel ini hanya berkeluasan 215 kaki persegi tetapi ianya agak luas kerana biliknya yang kosong. Hanya terdapat sebuah katil king serta satu rak besi menempatkan perkakas untuk membancuh minuman. Selain itu di sebelah kanan pintu masuk terdapat cermin dan juga tempat untuk menyangkut pakaian tetapi tidak disediakan penyangkut baju (hanger). TV berukuran 32 inci digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Bilik airnya terletak di sebelah kiri pintu masuk dan ianya agak luas. Ianya menempatkan singki, tandas dan juga pancuran (shower) di mana ianya adalah terbuka. Hanya pancuran jenis siling sahaja disediakan dan hotel ini ada menyediakan gelung paip (bidet) di sebelah mangkuk tandas. Hotel ini juga ada menyediakan perkakas mandian seperti berus gigi tetapi tuala mandinya bersaiz kecil dari kebiasaan tuala di hotel-hotel. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan yang cantik kerana mengadap ke Bangunan Merdeka 118, tetapi sayangnya cermin tingkap hotel ini agak kotor.
Hotel ini menyediakan wifi percuma yang laju di mana kelajuannya mencecah 316mbps untuk muat turun dan 223mbps untuk muat naik. Bagi telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 447mbps tetapi Tune Talk agak perlahan dengan kelajuan hanya mencecah 102mbps. Hotel hanya menyediakan Smart TV tanpa siaran TV percuma. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan suhu airnya sangat panas jika tidak dikawal dengan betul. Untuk makan pula, pengunjung bolehlah makan di medan selera bersebelahan lobi hotel tetapi hanya beberapa gerai sahaja yang masih beroperasi. Di tingkat paling bawah pula (tempat parkir bas dahulu) terdapat medan selera yang baru dibuka.
Hotel ini bagi saya sangat berbaloi dengan harganya cuma biliknya sahaja yang tidak lengkap. Dengan harga di bawah RM100, pengunjung mendapat sebuah bilik yang agak luas. Walau bagaimanapun biliknya agak kosong di mana tidak terdapat meja kerja untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat selain tidak terdapat almari untuk menyimpan baju. Hotel ini juga tidak menyediakan peti sejuk serta seterika. Oleh kerana kedudukannya yang terletak bersebelahan dengan laluan LRT, ianya agak bising dengan bunyi keretapi. Semasa proses daftar keluar (check-out), saya bertanyakan kepada kakitangan yang bertugas dan beliau memberitahu pihak hotel sememangnya mempunyai perancangan untuk menempatkan meja kerja di setiap bilik.
Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan sangat sesuai untuk bersiar-siar di sekitarnya. Ianya terletak 900 meter untuk ke Dataran Merdeka dan 2.4km dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Selain itu ia juga berdekatan dengan Bukit Bintang iaitu kira-kira 1.9km sahaja dari Pavilion. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak bersebelahan dengan Stesen LRT Plaza Rakyat. Untuk yang membawa kenderaan pula, mereka bolehlah meletakkan kenderaan di parkir UTC dan memberitahu pihak hotel. Bayaran sebanyak RM5 akan dikenakan setiap kali masuk dan keluar dari parkir.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Pemandangan dari Hotel
Medan Selera
Comments