Wyndham Ion Majestic Hotel Genting Highlands (4-5/5/25)
- hanuds
- May 5
- 3 min read
Dari 1001 Nights Hotel saya ke hotel kedua yang terletak bersebelahan. Hotel ini juga merupakan hotel di bawah rangkaian Wyndham. Saya sebenarnya pernah ke sini iaitu pada Julai 2024 ketika ianya baru sahaja dibuka. Pada kali ini saya juga menebus baucar bernilai RM200 yang saya perolehi ketika menjadi ahli hotel ini dengan bayaran RM88. Setelah ditolak baucar, saya hanya perlu membayar RM47.50 sahaja. Harga ini telahpun termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi.
Saya tiba di kaunter hotel pada pukul 12.45 tengahari dan terus sahaja mendaftrar masuk. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan pengunjung perlu membayar cukai RM3 yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Selepas mendapat kad akses bilik saya terus sahaja menaiki lif. Terdapat 7 buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif tidaklah lama.
Pada kali ini saya mendapat bilik di Tingkat 22 di mana susunatur biliknya adalah sama dengan bilik yang saya inap pada Julai 2024. Yang membezakannya hanyalah pemandangan dari bilik. Pada kali ini saya mendapat bilik yang mengadap ke gunung (mountain view) tidak seperti pada Julai 2024 di mana bilik yang saya inap mengadap ke puncak Genting Highlands. Bilik ini mempunyai keluasan 376 kaki persegi.
Sebaik memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan pintu masuk. Kemudian terdapat rak terbuka di sebelah kiri yang menempatkan tempat untuk menyangkut baju serta peti simpanan keselamatan. Di bahagian dinding di sebelah kiri katil terdapat kabinet yang menempatkan singki serta peti sejuk mini. Di atasnya pula diletakkan perkakas untuk membancuh minuman. Di antara kabinet ini dan juga katil terdapat satu sofa bujang serta sebuah meja bulat yang kecil. Meja kerja pula terdapat di sepanjang dinding bertentangan dengan kaki katil. TV berukuran 55 inci digantung di dinding di atas meja kerja ini.
Bilik air pula kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Ruang pancurannya mempunyai dua jenis pancuran di mana ianya ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar. Terdapat gelung paip (bidet) di sebelah mangkuk tandas. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.
Seperti ulasan saya untuk Hotel 1001 Nights, kolam renang hotel ini terletak di Tingkat 13. Terdapat dua kolam renang utama, satu di bahagian dalam dan satu lagi di bahagian luar bangunan. Terdapat juga beberapa kolam renang untuk kanak-kanak yang agak besar. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 9 malam. Di aras yang sama juga terdapat sebuah gimnasium, sauna serta bilik stim. Selain itu sebuah spa juga terdapat di hotel ini.
Hotel ini menyediakan wifi yang agak laju tetapi tidak begitu stabil. Kelajuan wifinya boleh mencecah sehingga 98mbps tetapi capaian internet menggunakan data dari telco mempunyai masalah di dalam bilik dan hanya boleh diakses dari balkoni bilik sahaja. Untuk CelcomDigi, kelajuannya mencecah 130mbps tetapi TuneTalk hanya mempunyai kelajuan 7mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang asas sahaja selain siaran Vision Four dan ke semua siarannya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat. Hotel ini ada menyediakan banyak parkir dan ianya adalah percuma untuk pengunjung hotel.
Secara peribadi saya memang suka dengan Hotel Wyndham Ion majestic dan juga 1001 Nights. Selain ianya berada di tempat yang sejuk, pemandangan dari hotel juga sangat cantik. Tidak banyak beza antara keduanya kerana ianya berkongsi fasiliti yang sama yang terletak di bangunan Wyndham Ion Majestic. Selain fasiliti yang saya sebutkan tadi, kepada penggemar Hard Rock Café, ianya baru sahaja memulakan operasinya di Tingkat 50 hotel ini. Selain itu terdapat juga kedai HRC yang kecil di lobi hotel Wyndham Ion Majestic. Yang menjadi keistimewaan Hard Rock Café di sini ialah kolam renangnya yang terletak di sebelah café iaitu di Tingkat 50. Pengunjung perlu membayar RM120 untuk mandi di kolam renang ini dan pengunjung akan mendapat tuala HRC dan juga makanan ringan.
Kedua-dua hotel ini terletak 5km dari SkyAvenue yang terletak di puncak Genting Highlands. Untuk ke SkyAvenue, hotel ada menyediakan pengangkutan bagi setiap satu jam tetapi ianya bukanlah percuma. Bayaran RM7 sehala akan dikenakan kepada pengunjung yang menaiki bas perantara ini. Hotel ini terletak agak jauh dari Genting Highlands Premium Outlet (GHPO) iaitu kira-kira 10km. Untuk ke GHPO, pengunjung bolehlah ke SkyAvenue dan kemudiannya menaik kereta kabel untuk ke GHPO sekiranya enggan memandu kenderaan. Saya pasti akan ke sini lagi kerana masih terdapat dua baucar Hotel Wyndham Ion Majestic serta lima baucar Hotel 1001 Nights yang belum ditebus.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Pemandangan dari Bilik
Komentar