top of page
Search

Mercure Living Putrajaya (17-18/5/25)

  • hanuds
  • May 18
  • 3 min read

Dari Teedo Hotel saya ke Putrajaya untuk menginap di satu hotel apartment. Lokasi hotel ini letaknya di Menara Shaftsbury Presint 1 Putrajaya iaitu bersebelahan dengan pusat membeli belah Alamanda. Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.10 tengahari tetapi agak lama untuk mendapatkan parkir kerana di Menara Shatsbury ini terdapat banyak dewan yang sedang mengadakan majlis perkahwinan. Setelah mendapat parkir saya terus sahaja menaiki lif ke lobi hotel untuk proses daftar masuk.


Lobi hotelnya kecil sahaja, hanya menempatkan kaunter dan beberapa sofa. Proses daftar masuk sangat cepat dan saya terus diberi kad akses bilik kerana bilik saya telahpun sedia. Saya membuat tempahan bilik jenis One-Bedroom Apartment menggunakan aplikasi Trip.com berharga RM220.32. Harga ini telahpun termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi.


Terdapat 7 buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif sangat cepat. Bilik yang saya inap ini luas dengan keluasan 688 kaki persegi. Ianya terbahagi kepada 3 bahagian utama iaitu ruang tamu, ruang dapur serta bilik tidur. Sebaik memasuki bilik, ruang dapur terletak di sebelah kiri pintu masuk dan di bahagian hadapan terdapat meja makan kecil dengan empat buah kerusi. Selepas itu ialah ruang tamu yang menempatkan sofa yang besar serta sebuah TV yang berukuran 55 inci.


Untuk bahagian dapur pula, peti sejuk terletak berhampiran dengan pintu masuk. Kemudian terdapat kabinet yang panjang menempatkan dapur elektrik di sebelah kiri dan singki di bahagian tengah. Di bahagian kanan kabinet pula terdapat mesin basuh serta periuk nasi elektrik. Di atas bahagian tengah kabinet ini pula terdapat satu ketuhar gelombang mikro. Hotel ini menyediakan peralatan dapur yang lengkap yang diletakkan di dalam laci di bahagian kabinet ini.


Bilik tidur pula terletak di bahagian tengah dan ianya agak luas. Di dalam bilik tidur ini terdapat satu katil king dan di sebelah kanannya terdapat rak untuk menyangkut baju yang terbuka. Di bahagian ini juga terdapat peti simpanan keselamatan serta seterika dan juga papan seterika. Di dinding bertentangan dengan kaki katil terdapat meja kerja yang panjang serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja pejabat. Di dinding bahagian atas meja kerja ini digantung sebuah lagi TV tetapi saiznya lebih kecil dari TV di ruang tamu, mungkin hanya berukuran 50 inci.


Bilik air terletak bersebelahan dengan bilik tidur dan saiznya kecil sahaja. Ianya menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Ruang pancurannya ditutupi separa dengan cermin yang seratus peratus lutsinar. Terdapat dua jenis pancuran disediakan di dalamnya. Sementara itu di sebelah mangkuk tandas ada disediakan gelung paip (bidet) untuk keselesaan pengunjung. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi serta tuala tangan.


Apa yang menarik tentang hotel ini ialah kolam renangnya yang mempunyai saiz yang sangat besar. Ianya terletak di Tingkat 3 tetapi berkongsi dengan bangunan residen yang terletak di satu lagi hujung kolam renang. Walaupun luas kedalaman kolam renangnya hanyalah 1.2 meter sahaja. Di bahagian hujung kolam renang ini terdapat kolam renang untuk kanak-kanak tetapi saiznya kecil sahaja. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 10 malam. Selain kolam renang, di aras yang sama terdapat juga gimnasium yang beroperasi 24 jam serta sauna dan bilik stim yang juga beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 10 malam. Hotel ini juga ada menyediakan bilik dobi yang beroperasi 24 jam.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 20mbps. Untuk telco pula, Tune Talk mempunyai kelajuan 412mbps sementara CelcomDigi pula sedikit perlahan dengan kelajuan 349mbps. Hotel ini menyediakan TV yang mempunyai siaran asas serta beberapa siaran lain dan kesemua siarannya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat cuma ruang pancurannya agak sempit dan hanya ditutupi separa sahaja.


Saya sebenarnya sangat menyukai hotel ini, bukan sahaja disebabkan harganya yang murah, ianya juga sangat bersih dan kemas. Dengan harga sekitar RM200 sahaja pengunjung akan mendapat satu apartment yang lengkap serba serbi peralatan di dalamnya. Bukan itu sahaja, segala fasiliti di hotel ini bagi saya sangat sesuai untuk sesiapa sahaja yang berhajat untuk berehat dan bersantai di hotel. Kolam renangnya sangat besar dan terdapat juga fasiliti lain seperti gimnasium dan juga sauna. Selain apartment satu bilik terdapat juga apartment dua bilik dan juga suite di hotel ini. Ini menjadikan hotel ini sangat sesuai bagi yang telahpun berkeluarga.


Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak di Menara Shatsbury tetapi sayangnya hanya terdapat beberapa kedai sahaja yang beroperasi di dalamnya. Walau bagaimanapun pengunjung bolehlah melintas jalan untuk ke pusat membeli-belah Alamanda yang terletak bersebelahan dengan hotel ini (terdapat juga jejantas yang menghubungkan Menara Shatsubury dengan Alamanda). Jika membawa kenderaan, parkir percuma ada disediakan di hotel ini. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak 6.4 km dari Putrajaya Sentral (jika menaiki MRT ataupun ERL). Saya bercadang untuk kembali semula ke sini dan menginap di suitenya pula.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



Pemandangan




 
 
 

Comments


Post: Blog2_Post
  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2020 by Bumi dipijak langit dijunjung. Proudly created with Wix.com

bottom of page