The Southern Boutique Hotel Penang (24-25/5/25)
- hanuds
- 2 days ago
- 3 min read
Minggu ini saya ke Pulau Pinang dan memilih dua buah hotel. Hotel pertama ini terletak di Georgetown iaitu di Jalan Muntri. Melalui aplikasi Booking.com, saya memilih bilik jenis Deluxe yang berharga RM84.15. Harga ini telahpun termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi. Oleh kerana penerbangan saya di awal pagi, saya tiba di hotel kira-kira pukul 8.15 pagi. Saya terus ke kaunter dan memberitahu kakitangan yang bertugas untuk meletakkan beg sementara saya bersiar-siar di Bukit Bendera.
Saya kembali semula ke hotel pada pukul 11.30 pagi dan hanya menunggu di lobi hotel. Kira-kira pukul 1.30 tengahari kakitangan hotel memanggil saya kerana bilik saya telahpun sedia. Waktu daftar masuk (check-in) hotel ini ialah pada pukul 3 petang. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM100. Saya telah mendapat bilik di tingkat bawah (ground floor) iaitu searas dengan lobi hotel.
Bilik deluxe hotel ini kecil sahaja dengan keluasan 169 kaki persegi. Memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kiri pintu masuk. Selepas itu di dinding sebelah kanan pintu masuk terdapat kabinet yang menempatkan peti sejuk mini (di sebelah kanan) sementara di sebelah kiri pula terdapat peti simpanan keselamatan. Di bahagian atas peti simpanan keselamatan pula terdapat ruang untuk meletakkan beg serta tempat untuk menyangkut baju yang terbuka. Di bahagian tengah kabinet ini merupakan meja kerja dan terdapat satu kerusi di sini. Di atas meja ini terdapat perkakas untuk membancuh minuman termasuklah cerek letrik. TV pula digantung di dinding di atas meja kerja dan saiznya mungkin 45 inci. Di sebelah kiri katil terdapat pintu dan tingkap yang boleh dibuka di mana ianya mengadap ke koridor hotel.
Dinding bilik air hotel ini adalah cermin yang seratus peratus lutsinar dan saiznya agak luas. Walaupun terdapat langsir dari luar untuk menutupi bilik airnya, ianya bukanlah menutupi sepenuhnya kerana di bahagian pintu masuk ianya masih lagi terbuka. Memasuki bilik air terdapat singki, tandas dan juga ruang pancuran (shower). Di sebelah mangkuk tandas terdapat gelung paip dan ruang pancurannya adalah terbuka di mana disediakan dua jenis pancuran. Hotel ini hanya menyediakan tuala mandi dan berus gigi sahaja dan tuala mandinya bersaiz kecil dan sangat nipis.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 10mbps sahaja. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 779mbps sementara Tune Talk pula 698mbps. Hotel ini hanya menyediakan tiga siaran TV dan ianya bukan di dalam bentuk HD. Salah satu siarannya juga tidak mempunyai suara. Tekanan air di bilik mandi pula tidak begitu kuat dan airnya mengambil masa agak lama untuk panas. Hotel ini tidak menyediakan seterika di setiap bilik, hanya terdapat seterika yang diletakkan di luar bilik untuk kegunaan pengunjung.
Saya secara peribadi sangat menyukai hiasan dalaman hotel ini. Biliknya walaupun kecil tetapi cantik dan sangat bersih. Berkonsepkan warna putih, ianya kelihatan mewah walaupun harganya di bawah seratus ringgit dan bagi saya hotel ini berada di bawah harga (under price). Yang mungkin akan menjadi masalah ialah kepada yang berkeluarga kerana bilik airnya yang lutsinar dan hanya ditutupi oleh langsir dari luar, bukannya dari dalam serta tidak sepenuhnya.
Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak di tengah-tengah Georgetown, hanya 1km untuk ke Padang Kota atau ke Bangunan Komtar serta 7.8km untuk ke Bukit Bendera. Hotel ini tidak mempunyai parkir tetapi terdapat parkir awam di hadapan hotel iaitu bersebelahan dengan Modern Hotel yang juga dimiliki oleh orang yang sama. Pengunjung boleh membeli parkir tersebut dengan pihak hotel dengan bayaran RM12 untuk satu hari.
Comments