Dari Le Vert Boutique Hotel saya ke puncak Genting Highlands untuk ke satu lagi hotel yang baru sahaja memulakan operasinya pada 31 Mei yang lepas. Hotel ini sebenarnya bukanlah terletak di puncak Genting Highlands, tetapi untuk ke sini pengunjung perlu melalui puncak Genting Highlands terlebih dahulu. Jarak hotel ini dari puncak Genting Highlands ialah kira-kira 4 km. Saya membuat tempahan melalui website mytourism.com.my kerana saya merupakan ahli ION Prestige. Hotel ini ada mengadakan promosi sebelum pembukaannya di mana yuran keahliannya hanyalah RM88. Ahli akan mendapat empat baucer bilik yang setiap satunya berharga RM200. Oleh kerana bilik studio yang saya tempah ini berharga RM380, saya hanya perlu mambayar RM180 sahaja selepas ditolak harga baucer. Selain empat baucer bilik terdapat beberapa lagi baucer yang boleh ditebus semasa makan dan membeli-belah di hotel ini.
Saya tiba kira-kira pukul 1.45 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobi hotel ini besar dan cantik. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit. Oleh kerana harga bilik telahpun saya bayar secara atas talian, saya hanya perlu membayar cukai RM3 yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Selepas mendapat kad akses bilik saya terus sahaja menaiki lif untuk ke Tingkat 20. Terdapat 7 buah lif di hotel ini dan lifnya agak lambat (mungkin bukan semua lifnya telah beroperasi).
Bilik studio ini berkeluasan 376 kaki persegi tetapi ruang biliknya besar kerana saiz bilik airnya yang kecil. Lantai biliknya adalah sepenuhnya menggunakan jubin putih dan tidak terdapat karpet seperti yang diiklankan. Memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan pintu masuk dan selepas itu terdapat satu kabinet terbuka untuk pengunjung meletakkan barang dan menyangkut baju. Di sini terdapat peti simpanan keselamatan dan juga dua pasang jubah mandi (bathrobe) yang digantung. Di dinding bersebelahan dengan bilik air (iaitu di kiri katil) terdapat kabinet panjang menempatkan singki, peti sejuk mini dan di atasnya pula terdapat peralatan untuk membancuh kopi dan juga teh. Antara kabinet ini dan katil terdapat satu kerusi bujang dan satu meja bulat yang kecil. Di dinding bertentangan dengan kaki katil terdapat meja yang panjang dan juga satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di hujung meja ini terdapat satu lampu bacaan dan juga talipon. TV pula digantung di dinding dan saiznya agak besar, mungkin berukuran 50 ataupun 55 inci. Bilik yang saya inap ini mempunyai balkoni dan ianya mengadap ke puncak Genting Highlands.
Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula ada disediakan pancuran jenis pegang dan juga siling. Ruang pancurannya agak kecil tetapi masih lagi selesa ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi, tuala tangan serta tuala muka.
Hotel ini mempunyai dua kolam renang yang terdapat di Tingkat 13 dan juga Tingkat 50. Walau bagaimanapun kolam renang di Tingkat 50 masih lagi belum dibuka. Kawasan kolam renang di Tingkat 13 sangat luas dan terdapat beberapa kolam renang di sini. Hanya dua kolam renang sahaja yang telah dibuka. Kolam renang di sebelah luar masih lagi belum siap sepenuhnya. Saya tidak pasti waktu kolam renang ini beroperasi. Di Tingkat 12 pula terdapat restoran yang hanya menyediakan hidangan buffet buat masa sekarang.
Hotel ini menyediakan wifi yang mempunyai kelajuan 15mbps tetapi telco mempunyai sedikit masalah kerana signalnya yang tidak begitu baik. Celcom hanya mempunyai kelajuan 6mbps sementara Tune Talk hanya berkelajuan sekitar 2mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang banyak dan juga di dalam bentuk HD, termasuklah siaran Vision Four. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya kuat dan saya sangat berpuas hati. Hotel ini ada menyediakan parkir dan buat masa sekarang ianya adalah percuma. Untuk ke Skyavenue (puncak Genting Highlands), hotel ini ada menyediakan bas setiap satu jam tetapi ianya bukanlah percuma, pengunjung perlu membayar RM7 untuk sehala.
Jika pembaca ingin berkunjung ke Genting Highlands, ini adalah antara hotel yang saya akan syorkan cuma perlu menunggu hotel ini siap sepenuhnya. Terdapat banyak lagi bahagian yang sedang dalam pembinaan, oleh itu ianya mungkin tidak begitu selesa buat pengunjung. Laluan ke biliknya berlantaikan jubin dan agak berbau, begitu juga dengan lantai biliknya yang sedikit berhabuk. Hotel ini sebenarnya baru sahaja dianugerahkan sebagai ‘Highest Altitude hotel in Malaysia’ dan bagi saya hotel ini cantik, cuma ianya belum siap sepenuhnya. Terdapat banyak lagi fasiliti yang belum lagi dibuka. Selain kolam renang di Tingkat 50, Kafe Hard Rock juga masih lagi belum beroperasi (dijangka dibuka pada Q4 2024). Hotel ini sebenarnya mempunyai ‘Sky Glass Pyramid’ di atas bangunan (rooftop) yang sangat cantik tetapi masih lagi dalam pembinaan.
Secara peribadi saya suka menginap di hotel ini bukan sahaja biliknya yang besar, tetapi juga mempunyai balkoni yang mengadap puncak Genting Highlands. Pemandangan dari bilik sangat cantik terutama di waktu malam. Ada ketikanya bila berada di balkoni, pengunjung akan berada di dalam kabus tebal seolah-olah berada di awang-awangan. Saya pasti akan ke sini lagi kerana masih terdapat tiga baucer bilik yang masih lagi belum ditebus, tetapi akan menunggu hotel ini siap sepenuhnya serta Kafe Hard Rock di Tingkat 50 telahpun dibuka.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Pemandangan dari Bilik
Kommentarer