top of page
Search
hanuds

WOLO Kuala Lumpur (12-13/10/24)

Minggu ini saya kembali ke satu hotel yang terletak di Bukit Bintang Kuala Lumpur. Lokasinya adalah di antara persimpangan Jalan Bukit Bintang dan juga Jalan Sultan Ismail. Saya pernah ke hotel ini semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu iaitu pada September dan juga Oktober 2021. Ketika itu harga hotel itu masih lagi murah. Pada kali ini saya menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik jenis Gold King yang berharga RM350.50 (harga telah termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.15 petang dan terus sahaja membuat proses daftar masuk (check-in). Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah dan lobinya kecil sahaja dan ringkas (simple). Proses daftar masuk sekejap sahaja dan ketika saya sampai tiada pengunjung lain yang berada di lobi. Hotel ini ada mempamerkan yang deposit akan dikenakan sebanyak RM200 tetapi kakitangan yang bertugas tidak mengambil sebarang deposit dari saya. Oleh kerana bilik telah pun sedia saya terus diberi kad aksess bilik di mana bilik saya berada di Tingkat 7. Terdapat hanya 2 buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif tidaklah lama oleh kerana pengunjung tidaklah ramai pada masa saya sampai.


Bilik Gold King ini kecil sahaja dan mempunyai keluasan hanya 258 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat ruang mandi di sebelah kiri pintu masuk sementara tandas pula di sebelah kanan. Di ruang katil pula, selain satu katil king terdapat satu meja bulat kecil dan juga kerusi di sebelah kiri katil. Di sini pengunjung bolehlah makan dan minum atau melakukan kerja-kerja pejabat kerana biliknya tidak mempunyai meja kerja. Di sebelah meja ini terdapat satu kebinet menempatkan peti sejuk mini dan juga mesin membuat kopi. Terdapat juga peralatan untuk membancuh kopi dan teh di sini. Bertentangan dengan kaki katil pula terdapat kabinet yang merupakan almari kecil di mana di dalamnya terdapat peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika. Di ruang ini terdapat juga TV berukuran 50 inci. Satu yang unik berkenaan dengan biliknya ialah dindingnya yang mempunyai banyak cermin muka.


Bilik hotel ini tidak mempunyai bilik air yang khusus di mana singkinya terletak di ruang bilik iaitu di sudut kiri kaki katil. Singkinya cantik di mana ianya berwarna putih dan juga berwarna keemasan. Ruang mandi dan tandas berada di kiri dan kanan pintu masuk dan ianya terpisah di antara satu sama lain. Ruang mandinya luas menempatkan pancuran jenis siling dan juga pegang. Tandasnya pula ada menyediakan gelung paip untuk kemudahan pengunjung. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan ke arah Lot 10.


Wifi percuma yang disediakan sangat laju di mana ianya mencecah 300mbps (muat turun) dan 359mbps (muat naik). CelcomDigi pula mempunyai kelajuan 509mbps sementara Tune Talk pula 104mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV di dalam bentuk HD dan siarannya agak banyak. Tekanan air di bilik mandi pula sangat kuat dan ini adalah salah satu hotel di mana saya sangat suka mandi di pancurannya.


Tanpa fasiliti seperti kolam renang dan gimnasium harga hotel ini bagi saya agak mahal. Mungkin lokasinya yang sangat strategik menjadikan ianya hotel pilihan kepada pengunjung bila ke Bukit Bintang. Hotel ini popular dan ramai pengunjung terutama di hujung minggu. Hotel ini juga tidak mempunyai parkir tetapi ada menyediakan parkir valet di mana kenderaan pengunjung akan ditempatkan di parkir Lot 10. Harga parkir valet ini ialah RM30. Hotel ini berdekatan dengan Stesen Monorel dan juga Stesen MRT Bukit Bintang, hanya beberapa langkah sahaja. Interior hotel ini sangat cantik dan kelihatan mewah, mungkin antara salah satu faktor kenapa pengunjung suka menginap di sini walaupun ianya tidak menyediakan banyak fasiliti. Hotel ini juga mempunyai bilik jenis Copper di mana ianya lebih murah tetapi tanpa tingkap. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk bilik jenis ini, sila baca ulasan saya pada 6/10/2021.


Bilik



Tandas & Bilik Mandi



Hotel



Pemandangan dari Hotel



59 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page