top of page
Search

Vivatel Kuala Lumpur (25-26/12/22)

  • hanuds
  • Dec 26, 2022
  • 3 min read

Dari Hilton Garden Inn saya ke satu hotel yang terletak di Jalan Loke Yew, Taman Miharja Kuala Lumpur. Pada pendapat saya hotel ini agak underrated dan juga underprice. Ini merupakan kali kedua saya ke sini, kali pertama ialah pada Jun yang lepas. Ketika itu saya memilih bilik jenis superior tetapi kali ini saya memilih bilik yang lebih besar iaitu jenis deluxe. Saya menempah bilik menerusi aplikasi booking.com berharga RM282.15 dan harga ini termasuk sarapan untuk 2 orang.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.00 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel di tingkat bawah. Lobinya agak besar dan saya menyukai baunya yang sangat wangi. Selain lobi terdapat juga restoran di tingkat yang sama. Proses pendaftaran masuk adalah cepat dan oleh kerana bilik telah pun sedia saya terus sahaja diberi kad akses. Bilik yang saya inap kali ini letaknya di tingkat paling atas, iaitu tingkat 12. Dari bilik ianya mengadap ke Bandaraya Kuala Lumpur.


Lif di hotel ini agak banyak iaitu 5 buah semuanya dan ianya cepat. Sebaik memasuki bilik terdapat almari tertutup di sebelah kiri pintu masuk sementara bilik air pula di sebelah kanan. Selain tempat menyangkut baju, di dalam almari ini juga terdapat peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika. Di ruang bilik pula selain katil king, terdapat juga sofa single dan sebuah meja kecil di sebelah kanan katil. Meja kerja pula terdapat di penjuru bilik di sebelah kanan kaki katil. Di antara almari dan juga meja kerja ini terdapat para untuk pengunjung meletakan barang-barang. Di atas ini juga diletakan perkakas untuk membancuh kopi, termasuklah cerek letrik. Di dinding bertentangan kaki katil pula seperti hotel-hotel yang lain terdapat TV bersaiz 32 inci.


Bilik hotel ini agak unik kerana antara katil dan juga bilik air terdapat dinding cermin yang boleh ditutup dan dibuka (gelongsor). Kedua-dua belah permukaannya merupakan cermin muka sepenuhnya dan ianya tidak boleh dikunci (ini agak tidak sesuai bagi yang membawa keluarga, terutamanya anak-anak di mana ianya boleh dibuka untuk menampakan ruang bilik mandi). Di bahagian ini juga terdapat kabinet menempatkan peti ais mini dan di atasnya pula diletakan peralatan mandian. Untuk bilik deluxe ini, keluasanya ialah 279 kaki persegi.


Bilik airnya pula tidaklah besar tetapi tidak pula terlalu kecil. Ianya mempunyai pintu gelongsor yang boleh di kunci. Memasuki bilik airnya terdapat sinki di sebelah kiri sementara ruang pancuran (shower) dan tandas pula di sebelah kanan. Ruang tandas dan shower dipisahkan oleh cermin seratus peratus lutsinar dan berkongsi pintu gelongor. Ruang tandasnya mempunyai gelung paip dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan juga jenis pegang. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi serta tuala muka. Walau bagaimanapun pencahayaan di bilik mandinya agak malap.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 5. Ianya adalah terbuka dan saiznya agak besar juga. Selain itu terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak dan juga gimnasium mini yang terletak di sebelah kolam renang, tetapi pada pandangan saya ianya tidak diselenggarakan dengan baik. Kolam renang juga agak tidak begitu bersih, terdapat ruang lantai yang berwarna kekuningan dan kelihatan agak berlumut. Mengikut papan kenyataan kolam renang dibuka pada pukul 7 pagi hingga 8 malam.


Di dalam bilik pula, wifi percuma yang disediakan agak laju di mana ianya mencapai kelajuan 10mbps. Celcom pula berkelajuan 88mbps sementara Tune Talk pula agak perlahan di mana kelajuannya hanyalah sekitar 15mbps sahaja. Siaran TV pula tidak begitu banyak dan ianya bukanlah dalam bentuk HD (terdapat siaran Vision Four). Tekanan air di bilik mandi pula tidak begitu kuat dan agak susah mengawal suhu airnya.


Untuk sarapan pula, ianya terletak di restoran di lobi hotel. Makanan yang disediakan tidaklah begitu banyak tetapi bagi saya ianya sudah memadai. Antara makanan yang ada ialah nasi lemak, mee goreng, bubur nasi serta pastry dan juga salad. Nasi lemak dan mee gorengnya agak sedap bagi saya. Waktu untuk sarapan ialah dari pukul 7 hingga ke 10 pagi.


Secara peribadi saya agak menyukai hotel ini dan disebabkan itulah saya kembali ke sini untuk mencuba bilik yang lain pula. Biliknya cantik dan bersih serta berbau sangat wangi. Selain itu ianya tidaklah sibuk, cuma lokasinya sahaja yang agak terasing. Hotel ini sebenarnya terletak bersebelahan pusat membeli-belah Viva tetapi ianya tidak lagi beroperasi (hanya beberapa kedai sahaja yang ada). Selain itu hotel ini letaknya hanyalah kira-kira 1.6km ke Sunway Velocity Mall dan 2.3km ke MyTown serta Ikea. Jika yang menaiki pengangkutan awam, hotel ini letaknya hanyalah 500 meter sahaja ke Stesen LRT Miharja. Harga hotel ini juga murah di bawah RM200 jika pergi bukan di waktu puncak dan ianya termasuk sarapan untuk 2 orang.


Bilik


Bilik Air


Pemandangan dari Bilik


Kolam Renang


Hotel


Sarapan



 
 
 

Comments


Post: Blog2_Post
  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2020 by Bumi dipijak langit dijunjung. Proudly created with Wix.com

bottom of page