Dari Hyatt Centric saya ke satu vila yang terletak di Taman U Thant Kuala Lumpur. Vila ini tidak begitu terkenal walaupun di kalangan orang Kuala Lumpur tetapi telah dipilih di tempat kelima sebagai Best Boutique Hotel in Asia di dalam @destinasianmagazine 2024 Reader’s Choice Award. Harga villa ini adalah sekitar RM1000 hingga RM1200 untuk satu malam tetapi saya menempahnya di aplikasi Trip.com ketika jualan murah pada 11/11/24 yang lepas. Harga termasuk cukai serta sarapan pagi untuk dua orang hanyalah RM438.14.
Saya tiba di vila kira-kira pukul 1.00 tengahari dan memberitahu pegawai keselamatan bahawa saya ada menempah bilik pada hari itu. Untuk pengetahuan pembaca, vila ini hanya membenarkan pengunjung sahaja masuk dan pengunjung tersebut mestilah berumur 12 tahun ke atas (tidak membenarkan pengunjung di bawah 12 tahun). Saya terus sahaja ke lobi yang terletak di tingkat bawah di bahagian tengah vila. Saya disapa oleh kakitangan yang bertugas dengan sangat ramah. Saya diberi welcome drink dan proses daftar masuk sangat cepat. Vila ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM500. Selepas kakitangan tadi menerangkan serba ringkas berkenaan vila, beliau mengiringi saya berjalan ke bilik yang terletak di tingkat bawah.
Di dalam bilik kakitangan vila menerangkan secara ringkas bilik yang saya inap sehinggalah selesai. Bilik jenis Luxe Crib ini mempunyai keluasan 600 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat satu ruang besar di mana ruang ini menempatkan satu almari kayu yang kecil untuk pengunjung meletakkan barang-barang mereka. Di sebelah kanan pintu masuk terdapat satu meja panjang yang menempatkan perkakas untuk membancuh minuman serta cerek letrik. Bilik mandi pula terletak di sebelah kanan ruang ini.
Di satu lagi bahagian ialah bahagian katil. Vila ini menyediakan satu katil king tetapi katilnya agak tinggi. Terdapat meja panjang di kiri kanan katil dan bertentangan dengan kaki katil terdapat satu kabinet yang agak besar. Di bahagian kanan kabinet ini menempatkan peti sejuk mini, di bahagian tengah adalah peti simpanan keselamatan sementara di sebelah kiri pula terdapat cawan dan juga gelas kaca. Di atas kabinet ini terdapat Smart TV bersaiz 50 ataupun 55 inci. Di kiri dan kanan kabinet terdapat dua kerusi kayu. Pintu gelongsor terdapat di sebelah kanan katil dan ianya menghala ke kolam renang dan juga restoran.
Bilik air vila ini mempunyai pintu dan ianya sangat luas. Di sebelah kanan letaknya dua buah singki serta peralatan mandian seperti tuala dan berus gigi. Di kiri pula terdapat mangkuk tandas di mana di sebelahnya terdapat gelung paip. Satu keistimewaan vila ini ialah bilik airnya yang mempunyai jakuzi dan saiznya agak besar. Bersebelahan dengan singki terdapat ruang pancuran (shower) yang terbuka. Saya sangat menyukai bau gel mandian yang disediakan kerana ianya sangat wangi.
Di luar bilik iaitu menghala ke kolam renang terdapat satu sofa panjang untuk pengunjung berehat. Kolam renang vila ini mempunyai lanskap yang sangat cantik. Di tepi kolam renang ini juga terdapat sebuah restoran di mana pengunjung akan bersarapan pagi di sini. Kolam renang vila ini mempunyai kedalaman 1.4 hingga 1.7 meter. Pengunjung dibenarkan untuk mandi di kolam renang dari pukul 7 pagi hingga 10 malam.
Vila ini menyediakan wifi percuma yang laju di mana kelajuannya mencecah 138mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan maksima sehingga 1403mbps sementara Tune Talk pula 98mbps. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan vila ini menyediakan jenis pancuran yang besar. Untuk TV pula, hanya disediakan Smart TV tanpa siaran percuma tetapi vila ini memberi akaun Netflix untuk pengunjung menonton filem.
Menu untuk sarapan pagi di vila ini tidaklah banyak, ianya agak ringkas tetapi bagi saya ianya sudah memadai. Selain buffet pengunjung juga diberi menu secara ala carte. Vila ini ada menyediakan servis in-room dining sehingga pukul 10 malam dan menu yang disediakan adalah sama jika pengunjung makan di restoran. Menu yang disediakan agak banyak dan harganya tidaklah mahal sepertimana harga biliknya. Saya sempat makan di restorannya dan memilih nasi goreng udang yang berharga RM38, dan bagi saya ianya sangat sedap.
Vila ini bagi saya sangat ekslusif dan sangat sesuai bagi pasangan yang ingin berbulan madu atau kepada sesiapa sahaja yang ingin berehat menenangkan fikiran. Berada di dalam bilik pengunjung akan merasakan seolah-olah berada di dalam spa kerana aroma yang digunakan. Harga di sekitar RM1000 bagi saya amat berpatutan dengan apa yang disediakan terutama suasananya yang sangat tenang. Sepanjang saya berada di vila ini saya seakan-akan lupa yang saya sebenarnya berada di tengah-tengah ibukota. Dengan hanya 21 buah unit ianya sememangnya sangat privasi kepada pengunjung. Walaupun sudah berbelas tahun beroperasi vila ini diselenggara dengan agak baik memandangkan kebanyakkan binaan serta perabotnya diperbuat dari kayu. Layanan kakitangan vila sangat baik serta sangat mesra dan mereka juga mengenali pengunjung secara peribadi serta mengetahui di bilik mana pengunjung menginap. Dari segi lokasi, vila ini terletak hanya 2.5 km dari Pavilion Bukit Bintang dan 2.8 km untuk ke KLCC. Hanya satu yang menjadi kekurangan bagi saya ialah ketiadaan meja kerja untuk saya menulis serta katilnya yang tinggi tetapi itu bukanlah satu masalah bagi saya. Jika mendapat harga yang sama saya pasti akan ke sini lagi dan menginap di bilik jenis yang lain pula.
Villa
Bilik
Bilik Air
Balkoni
Kolam Renang
Restoran dan Makanan
Comments