top of page
Search
hanuds

Travelodge Bukit Bintang (24-25/9/22)

Disebabkan minggu ini saya sekali lagi ingin bersiar-siar di Jalan Alor Bukit Bintang, saya telah memilih satu hotel yang betul-betul terletak di Jalan Alor. Melalui aplikasi Booking.com saya telah memilih bilik superior yang berharga RM169.25 (tanpa sarapan). Biliknya kecil sahaja, hanya mempunyai keluasan 193 kaki persegi. Hotel ini merupakan hotel bertaraf 3 bintang.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.45 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi di bahagian bawah hotel. Bangunan hotel ini tidaklah besar, tetapi tidak juga terlalu kecil. Seingat saya terdapat 13 tingkat kesemuanya. Selain lobi, di bahagian bawah hotel juga terdapat sebuah restoran. Saya sempat makan tengahari di restoran ini dan telah mencuba nasi goreng seafood dan juga teh o ais limau. Nasi gorengnya berharga RM20 sementara air pula berharga RM7. Nasi gorengnya sedap bagi saya.


Disebabkan bilik sudah pun sedia, saya terus sahaja diberi kad akses untuk ke bilik saya. Saya menaiki lif untuk ke tingkat satu. Terdapat 3 lif di hotel ini dan pengunjung tidak perlu menekan butang tingkat kerana apabila kad menyentuh bahagian pembaca kad (kad reader), ianya telah pun diprogram untuk memilih tingkat mana bilik kita berada. Seingat saya ini adalah hotel kedua yang saya berjumpa lif sedemikian. Satu hotel lagi adalah Hotel Travelodge City Centre yang terletak berhampiran Pasar Seni Kuala Lumpur.


Memasuki biliknya terdapat lorong yang mempunyai pintu untuk ke bilik air di sebelah kiri. Bilik hotel ini selain terdapat satu katil queen, ianya mempunyai satu rak di sebelah kanan katil. Ini adalah tempat untuk menyimpan barang. Di bahagian bawah terdapat peti ais mini serta peti simpanan keselamatan. Di atas rak ini pula terdapat satu palang besi yang dilekatkan di dinding untuk menyangkut baju dan ianya adalah terbuka. Perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh diletakkan di atas rak ini, termasuklah cerek letrik. Walau bagaimanapun tidak terdapat sudu atau kayu untuk mengacau air kopi. Antara rak dan katil pula terdapat satu meja kerja yang kecil di mana di atasnya terdapat telefon. Di kaki katil seperti kebanyakan hotel terdapat TV yang dilekatkan di dinding yang bersaiz 40 inci. Di bawah TV ini terdapat satu laci kecil yang berkunci.


Bilik airnya juga kecil menempatkan sinki, tandas dan juga tempat untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang untuk pancuran adalah separa tertutup dengan cermin. Terdapat hanya satu jenis pancuran disediakan iaitu jenis pegang. Tiada berus gigi disediakan di hotel ini.


Hotel ini ada menyediakan wifi percuma yang agak laju di mana kelajuannya mencapai 38mbps (kebanyakan hotel hanya menyediakan wifi percuma sekitar 10mbps sahaja). Celcom pula sangat laju mempunyai kelajuan 177mbps sementara Tune Talk pula 73mbps. Tekanan air di bilik air juga kuat. Untuk siaran TV pula, ia adalah dalam bentuk HD (untuk siaran asas) dan untuk siaran lain seperti AXN dan juga sukan, ianya bukanlah dalam bentuk HD. Hotel ini tidak menyediakan seterika di setiap bilik tetapi di luar bilik terdapat satu ruang untuk pengunjung menggosok baju (di sini ada disediakan seterika dan juga papan seterika). Di ruang yang sama terdapat juga dobi dan gimnasium pula terdapat di bilik bertentangan. Untuk pemandangan pula, bilik yang saya inap ini mengadap ke belakang (bahagian hadapan mengadap ke Jalan Alor). Hotel ini tidak mempunyai kolam mandi dan juga parkir. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Secara peribadi saya rasa hotel ini sesuai kepada yang ingin bermalam sahaja dan tidak sesuai untuk yang ingin berehat di bilik memandangkan biliknya yang kecil. Jika dilihat dari segi lokasi, hotel ini memang strategik di mana ianya terletak di Jalan Alor. Di jalan ini suasana pada malam hari sangat meriah dengan gerai-gerai makanan. Selain itu ianya terletak hanya 1km dari pusat membeli-belah Pavilion (hanya 14 minit dengan berjalan kaki). Cuma yang menjadi masalah ialah tiada parkir disediakan di hotel ini (pengunjung perlu meletakan kereta mereka di parkir-parkir awam di sekitar hotel). Kepada yang suka menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak hanya 300 meter dari Stesen MRT dan 600 meter dari Stesen Monorel Bukit Bintang.


Bilik



Bilik Air



View dari Bilik



Ruang Dobi



Lobi



Restoran



Jalan Alor



122 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page