top of page
Search
hanuds

Tian Jing Hotel Kuala Lumpur (1-2/10/22)

Minggu ini saya ke satu hotel yang terletak di Jalan Sultan Kuala Lumpur. Lokasinya juga terletak bersebelahan dengan Jalan Petaling (Petaling Street). Menerusi aplikasi Trip.com, saya telah memilih bilik jenis deluxe yang mempunyai balkoni. Harga untuk bilik ini ialah RM201.69 (tanpa sarapan). Hotel ini agak unik kerana mempunyai rekabentuk yang klasik, dan itu adalah sebabnya kenapa saya memilih hotel ini untuk staycation saya seterusnya.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.20 tengahari. Hotel ini tidak mempunyai lobi, hanya terdapat satu meja sahaja diletakan di dalam kafenya yang terletak di tingkat bawah hotel. Kafe hotel ini juga klasik dan cantik. Saya terus sahaja membuat pendaftaran masuk tetapi dimaklumkan bahawa bilik yang saya pilih belum lagi sedia. Jadi saya hanya menunggu di kafe hotel sementara bilik saya disiapkan. Hotel ini ada memberi minuman percuma kepada pungunjung (setiap hari). Pengunjung hanya perlu ke kafe dan menunjukan kupon yang telah diberi oleh hotel. Waktu untuk check-in hotel ini seperti diiklankan ialah pada pukul 2.00 petang.


Pada pukul 1.20 tengahari kakitangan hotel tadi mendekati saya untuk memberitahu bahawa bilik saya sudah pun sedia. Selepas menyerahkan kunci bilik dan juga kad akses (untuk memasuki hotel selepas pukul 6 petang) beliau membawa saya ke bilik saya yang terletak di tingkat atas (hotel ini hanya mempunyai 2 tingkat). Menaiki tangga saya ke tingkat atas dan lorong untuk ke bilik cantik dan nampak sangat klasik.


Bilik hotel ini kecil sahaja hanya berkeluasan 279 kaki persegi (termasuk keluasan balkoni). Terdapat satu katil queen yang mempunyai 4 tiang dan juga kelambu diletakan di tengah2 bilik. Di sebelah kiri katil terdapat satu almari kayu lama yang kecil untuk pengunjung menyangkut baju. Almari yang mempunyai cermin ini mengimbau kembali ke zaman saya kanak-kanak dahulu. Di sebelah almari ini iaitu di penjuru dinding terdapat satu meja kecil di mana di atasnya diletakan perkakas untuk membancuh air, termasuklah cerek letrik. Cawan serta tekonya juga jenis lama dan sangat klasik. TV pula dilekatkan di dinding bertentangan katil dan saiznya sederhana besar, mungkin 40 inci. Di sebelah kanan katil pula iaitu di sebelah pintu bilik air terdapat sinki dan juga cermin muka di atasnya. Terdapat pengering rambut dan juga selipar di bawah sinki dan di bahagian atasnya terdapat 2 kole yang cantik. Lantai biliknya adalah simen sepenuhnya, oleh itu ianya agak sejuk. Saya memakai selipar hotel jika berjalan di dalam bilik.


Bilik air hotel ini agak unik, selain berlantaikan kayu ruangnya adalah terbuka. Ianya terletak di bahagian balkoni bilik, dipisahkan oleh dinding cermin seratus peratus lutsinar dan juga pintu gelongsor. Oleh kerana bilik airnya adalah terbuka, ianya nampak begitu luas. Terdapat langsir di bahagian cermin untuk menutupi bilik air dari dalam bilik. Di bahagian luar pula terdapat bidai untuk menutupi ruang mandi dari luar. Terdapat tandas dan juga ruang pancuran di bilik mandinya. Di sebelah mangkuk tandas terdapat gelung paip dan pancurannya hanya mempunyai pancuran jenis siling. Hotel ini juga menyediakan air panas dan sejuk seperti hotel-hotel yang lain. Walaupun bilik airnya adalah terbuka, terdapat tembok memisahkan antara bilik dan jika bidai tidak diturunkan sekalipun, ianya masih lagi tidak dapat dilihat dari luar.


Untuk wifi percuma, ianya agak laju di mana kelajuannya mencapai 33mbps dan bagi telco pula, Celcom sangat laju mencapai kelajuan 142mbps sementara Tune Talk pula 95mbps. Siaran TV pula tidak mempunyai siaran utama, tiada TV1, TV2 dan TV3 disediakan. Siarannya sangat sedikit dan ianya juga bukanlah dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik air pula, ianya kuat dan saya sangat puas mandi di pancurannya. Hotel ini tidak menyediakan kerusi dan saya hanya duduk di atas katil sepanjang berada di dalam bilik. Hotel ini tidak menyediakan seterika dan peti ais juga tidak terdapat di hotel ini seperti kebanyakan hotel yang lain. Parkir juga tidak disediakan oleh hotel dan pengunjung perlu meletakan kereta mereka di parkir-parkir awam sekitar hotel. Untuk proses check-out pula, ianya cepat di mana pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter. Waktu check-out hotel ini adalah sebelum pukul 11.00 pagi (dan bukannya 12 seperti kebanyakan hotel).


Secara peribadi saya sangat suka dengan hotel ini kerana interiornya yang cantik dan juga bersih. Selain ianya unik kerana rekabentuknya yang klasik, lokasinya juga sangat strategik bersebelahan dengan Jalan Petaling. Ianya juga terletak hanya kira-kira 500 meter dari Pasar Seni (Central Market). Terdapat satu restoran mee tarik halal yang terkenal di sebelah kanan deretan hotel ini (pada malamnya saya makan di sini). Di sebelah kiri deretan hotel ini pula terdapat satu kedai buku yang besar, yang sangat terkenal kerana interiornya yang sangat cantik (kedai buku ini seringkali dijadikan tempat untuk bergambar). Untuk yang menaiki pengangkutan awam pula, hotel ini juga berdekatan dengan Stesen MRT Pasar Seni (hanya 300 meter). Ianya juga berdekatan dengan Stesen LRT Pasar Seni dan juga Plaza Rakyat. Bagi saya hotel ini sesuai bagi yang solo atau pun berpasangan tetapi bagi yang dah berkeluarga ianya tidak begitu sesuai kerana biliknya yang sempit serta bilik airnya yang terbuka.


Bilik



Bilik Air



Lobi/Kafe



Hotel - Inside



Hotel - Outside



139 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page