Minggu ini saya ke satu hotel di bawah rangkaian Marriott. Hotel ini terletak di Bukit Bintang Kuala Lumpur dan telahpun beroperasi sejak tahun 2003 lagi. Pada tahun 2020 ianya telah diperbaharui (refurbished). Walaupun ianya di bawah rangkaian Marriott Bonvoy, saya tidak menggunakan aplikasi tersebut sebaliknya membuat tempahan melalui aplikasi Trip.com kerana harganya yang lebih murah. Di aplikasi tersebut harga bilik Deluxe hotel ini ialah RM450 (harga ini termasuk cukai tetapi tidak termasuk sarapan pagi). Sebenarnya saya pernah ke sini semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu iaitu pada Mei 2021 dan ketika itu harganya hanyalah RM290 untuk bilik Premium.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobinya tidak begitu besar dan agak ringkas (simple). Saya terus sahaja mendaftar untuk masuk (check-in) dan layanan kakitangan yang bertugas sangat baik. Proses daftar masuk hanya mengambil masa dalam beberapa minit sahaja dan oleh kerana bilik saya telahpun sedia, saya terus sahaja diberi kad akses. Bilik saya terletak di Tingkat 22 dan terdapat 4 buah lif di hotel ini. Hotel ini mengenakan bayaran untuk sarapan sebanyak RM108 untuk seorang.
Dengan keluasan 452 kaki persegi bilik Deluxe hotel ini memang luas. Sebaik memasuki bilik terdapat ruang bertutup di sebelah kanan pintu masuk di mana di dalamnya terdapat tempat untuk menyangkut baju dan juga peti simpanan keselamatan. Selain itu terdapat juga seterika dan papan seterika serta sepasang jubah mandi (bathrobe) yang digantung. Bilik air terdapat selepas ruang almari ini.
Di ruang katil pula selain satu katil king terdapat sebuah sofa sederhana besar di sebelah kanan katil iaitu di tepi tingkap cermin. Di dinding berhampiran sofa ini pula terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini serta laci di mana di dalamnya terdapat peralatan untuk minuman. Di atasnya diletakkan cerek letrik serta cawan. Di sebelah kanan kaki katil pula terdapat satu meja kerja yang sederhana besar dan satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja pejabat. Hotel ini menyediakan TV yang besar, mungkin bersaiz 60 ataupun 65 inci yang digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Bilik air pula agak luas menempatkan singki, tandas, ruang pancuran (shower) dan juga tub mandi (bathtub). Ruang tandas dan ruang pancuran ditutupi oleh cermin seratus peratus lutsinar dan ruang pancurannya agak sempit. Saiz tub mandinya besar, terletak di sebelah ruang pancuran dan juga ruang singki. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancuran menyediakan dua jenis pancuran. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap. Bilik yang saya inap ini mengadap ke belakang hotel iaitu ke arah Hotel The Ritz Carlton.
Kolam renang hotel ini letaknya di Tingkat 4 dan dibuka pada pukul 6 pagi hingga 11 malam. Ruang kolam renangnya agak luas dan lanskapnya agak cantik tetapi kolam renangnya tidak begitu besar. Di aras yang sama juga terdapat gimnasium yang beroperasi 24 jam serta sebuah kelab kanak-kanak. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining dan harganya tidaklah terlalu mahal. Saya sempat mencuba Nasi Goreng Kampung yang berharga RM42 dan rasanya sedap bagi saya, cuma ianya sedikit masin. Hotel ini ada menyediakan parkir tetapi pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM6.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 19mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 217mbps sementara Tune Talk pula 100mbps. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat suka mandi di pancurannya cuma ruang pancurannya agak sempit. Hotel ini menyediakan siaran TV percuma yang banyak (termasuk 8 siaran Vision Four) serta di dalam bentuk HD.
Sebagai sebuah hotel di bawah rangkaian Marriott, hotel ini sememangnya mahal tetapi jika diambil kira dari segi keluasan bilik serta lokasinya, ianya agak berbaloi dengan harga yang telah saya bayar. Hotel ini bersih serta berada di dalam keadaan sangat baik, cuma penghawa dingin di dalam bilik tidak begitu sejuk (tetapi bagi saya ianya masih lagi ok). Saya juga tidak begitu gemar dengan pencahayaan di dalam biliknya yang tidak seimbang, terdapat ruang yang agak gelap. Lokasi hotel ini sememangnya sangat strategik kerana terletak di tengah-tengah Bukit Bintang dan berada betul-betul di hadapan Pavilion. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak hanyalah 350 meter dari Stesen MRT dan 550 meter dari Stesen Monorel Bukit Bintang.
Bilik
Bilik Air
Pemandangan dari Bilik
Kolam Renang
Hotel
Makanan
댓글