Setelah tidak staycation di mana-mana hotel pada minggu lepas, minggu ini saya kembali staycation di sebuah hotel berstatus 5 bintang yang terletak di Bukit Bintang. Lokasi tepatnya ialah di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Hotel ini terletak di belakang JW Marriott dan juga The Westin sementara di sebelahnya pula ialah Hotel Capri by Fraser dan juga Hotel Dorsett. Ini adalah salah satu hotel di bawah YTL Corporation dan mengikut carian di internet, hotel ini telah memulakan operasinya pada 1 Disember 1997 dan dilancarkan semula pada 31 Mac 2016.
Melalui aplikasi Trip.com saya telah menempah bilik jenis deluxe yang berharga RM549.14 dan harga ini tidak termasuk sarapan. Sebenarnya sebelum menempah hotel ini saya terlebih dahulu membuat perbandingan harga di aplikasi Booking.com dan juga Marriott Bonvoy. Ketika itu harga di kedua-dua aplikasi ini lebih mahal iaitu RM609. Bilik deluxe hotel ini besar dan mempunyai keluasan 430 kaki persegi.
Saya tiba di hotel pada pukul 2.45 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel (waktu check-in hotel ini ialah pada pukul 3 petang). Lobi hotelnya cantik, tetapi pencahayaannya agak suram (dan ini adalah imej hotel ini sebenarnya). Terdapat 4 kaunter dan saya terus sahaja membuat pendaftaran masuk. Proses pendaftarannya adalah cepat dan deposit sebanyak RM200 dikenakan. Oleh kerana saya adalah ahli Marriott Bonvoy, saya diberi naik taraf bilik kepada esekutif deluxe. Bilik ini lebih besar dengan keluasan 484 kaki persegi. Layanan yang saya terima semasa proses check-in sangat memuaskan.
Seteleh mendapat kad akses saya menaiki tangga bergerak untuk ke Tingkat 1 dari Level G. Bilik di hotel ini agak keliru kerana terdapat di dua bahagian. Pertama kali saya menaiki lif saya tidak menjumpai bilik yang bernombor 13 walaupun tingkatnya adalah sama. Saya kembali ke tingkat 1 dan mengambil lif di bahagian satu lagi dan barulah menjumpai bilik bernombor 13. Kedudukan lif di hotel ini pula agak unik kerana perlu melalui restoran dahulu. Terdapat 3 lif di setiap bahagian dan masa menunggu lif tidaklah lama kerana pengunjung tidaklah ramai.
Memasuki biliknya saya dapat lihat bahawa bilik hotel ini mempunyai interior yang cantik. Di sebelah kanan pintu masuk terdapat satu ruang menempatkan satu meja solek dan juga tempat menyangkut baju yang terbuka (di sebelah kanan meja solek). Di bahagian ini juga terdapat seterika, papan seterika dan juga peti simpanan keselamatan. Di sebelah kiri meja solek pula terdapat satu ruang untuk meletakan barang-barang. Hotel ini ada menyediakan 2 helai jubah mandi (bathrobe) yang digantung di bahagian tempat menyangkut baju. Di sebelah kiri pintu masuk pula adalah bilik air.
Di ruang biliknya pula selain satu katil king, terdapat satu sofa yang agak besar di kaki katil di bahagian tingkap dan juga satu meja kecil empat segi sama di hadapannya. Di bahagian dinding mengadap ke kaki katil pula terdapat satu kabinet yang besar di mana di tengah-tengahnya terdapat TV yang besar bersaiz 55 ataupun 60 inci. Di bahagian kirinya terdapat pembancuh kopi dan juga air mineral yang diletakan di dalam 2 botol kaca. Peralatan untuk membancuh kopi dan teh diletakan di satu kotak yang cantik. Di bahagian bawah kabinet ini terdapat ruang tertutup yang menempatkan cawan dan juga gelas serta cerek letrik. Di bawah TV pula ruang tertutup ini menempatkan satu peti ais mini di mana di dalamnya terdapat minuman dalam tin yang perlu dibeli dan ianya bukanlah percuma (satu tin berharga RM15). Di sebelah dinding bertentangan sofa terdapat satu meja kerja yang agak besar di mana di atasnya diletakan satu lampu. Satu kerusi disediakan untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat.
Bilik air hotel ini agak besar dan cantik di mana ianya diperbuat dari marmar putih. Ianya menempatkan sinki, tab mandi (bathtub), tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Ruang tandas dan pancuran mempunyai pintu cermin yang tidak boleh dikunci. Saiz tab mandi agak besar dan di ruang tandas ada disediakan gelung paip untuk kemudahan pengunjung. Di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis pegang dan juga siling. Peralatan mandian adalah lengkap di hotel ini, termasuklah tuala muka dan juga berus gigi.
Kolam mandi hotel ini letaknya di tingkat 4 dan ianya dibuka dari pukul 8 pagi hingga 7 petang. Terdapat 2 kolam mandi di hotel ini dan saiz kedua-duanya sederhana besar. Kolam mandi kedua lebih besar dan terletak di kedudukan lebih tinggi (perlu menaiki tangga dari kolam pertama). Lanskap kolam kedua ini lebih cantik tetapi pencahayaan lampu pada malam hari kurang memuaskan dan agak gelap. Gimnasium pula terletak di tepi kolam mandi pertama dan dibuka 24 jam sementara spa pula terletak di tepi kolam mandi kedua dan beroperasi dari pukul 12 tengahari hingga 8 malam. Untuk in-room dining pula, menu yang disediakan agak banyak dan harganya agak mahal bertepatan dengan taraf hotel 5 bintang. Untuk perbandingan harga, fish & chips berharga RM90 sementara jus buah-buahan pula berharga RM35.
Hotel ini mempunyai wifi percuma yang perlahan, hanya berkelajuan 2mbps sahaja. Walau bagaimanapun jika pengunjung memerlukan wifi berkelajuan tinggi, ianya perlu dilanggan dengan harga RM50 untuk sehari. Sementara itu telco pula mempunyai kelajuan 79mbps bagi Tune Talk dan untuk Celcom pula ianya lebih perlahan iaitu 63mbps. Untuk siaran TV pula tidak banyak siaran yang disediakan walaupun siarannya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati mandi di pancurannya. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.
Secara peribadi saya sangat menyukai hotel ini dan ianya bertepatan dengan tarafnya sebagai hotel 5 bintang. Biliknya besar dan cantik termasuklah bilik mandinya yang berkonsepkan warna putih dan saya sangat menggemarinya dan ianya sangat bersih. Terdapat banyak ruang hotel di mana hiasannya sangat cantik dan kelihatan begitu elegan. Selain itu hotel ini tidak begitu sibuk, dan semasa saya menginap di sini tidak ramai pengunjung yang kelihatan berlegar-legar di lobi ataupun ruang hotel yang lain. Jika pembaca ingin berehat dan bersantai di bilik ataupun di hotel dan tidak pula kisah dengan bajetnya, ini adalah salah satu hotel yang saya syorkan. Dari segi lokasinya pula, ianya hanyalah kira-kira 600 meter dari pusat membeli-belah Pavilion dan berdekatan juga dengan Jalan Alor (kira-kira 1 km). Layanan kakitangannya pula sangat mesra dan sangat memuaskan. Saya pasti akan kembali lagi ke hotel ini di lain masa untuk mencuba bilik yang lain pula.
Bilik
Bilik Air
Kolam Mandi
Hotel
Me
Comments