top of page
Search

The Everly Putrajaya (23-24/3/25)

hanuds

Dari Pulse Grande saya ke hotel kedua yang juga terletak di Putrajaya. Jarak kedua hotel ini hanyalah 3.2km. Hotel ini telah dibuka pada tahun 2013. Saya membuat tempahan bilik menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik deluxe yang berharga RM224.44. Harga ini telahpun termasuk cukai serta sarapan untuk dua orang.


Saya tiba di hotel pada pukul 1.30 tengahari dan terus sahaja membuat pendaftaran masuk (check-in). Lobi hotel ini agak besar tetapi dipenuhi dengan meja-meja makan untuk majlis iftar Ramadan. Kaunternya kecil sahaja dan selain kaunter terdapat sebuah kafe di aras yang sama. Oleh kerana bilik saya telahpun sedia saya terus diberi kad akses bilik. Bilik saya berada di Tingkat 1 dan hotel ini mempunyai 4 buah lif.


Bilik deluxe hotel ini kecil sahaja, hanya berkeluasan 322 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat almari di sebelah kiri pintu masuk. Saiz almari ini agak besar menempatkan ruang untuk menyangkut baju, seterika dan papan seterika. Di ruang bersebelahan pula terdapat peti simpanan keselamatan. Di ruang paling hujung terdapat peti sejuk mini serta perkakas untuk membancuh minuman.


Di ruang katil pula, selain satu katil king terdapat satu sofa sederhana besar di penjuru kanan kaki katil. Bertentangan dengan kaki katil terdapat satu meja kerja yang agak besar untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di antara meja kerja dan kabinet yang menempatkan peti sejuk terdapat satu para untuk pengunjung meletakkan beg dan barang-barang. TV pula digantung di dinding di atas meja kerja. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan yang cantik, iaitu mengadap ke tasik.


Bilik air pula kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancurannya hanya terdapat satu jenis pancuran sahaja. Ruang ini ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar dan ianya tidak begitu luas. Perkakas mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi dan juga tuala tangan.


Kolam renang hotel ini letaknya di Tingkat B1 dan saiznya agak besar. Selain kolam renang dewasa terdapat juga kolam renang kanak-kanak yang bersambung antara keduanya. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 6 pagi dan ditutup pada pukul 9 malam. Selain kolam renang di aras yang sama terdapat juga sebuah gimnasium tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi. Pemandangan kolam renang ini juga mengadap ke tasik.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana kelajuannya mencecah 39mbps (muat turun) dan 94mbps (muat naik). Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 687mbps sementara Tune talk pula 613mbps. Hotel ini menyediakan TV yang kecil, hanya bersaiz 32 inci dan siarannya tidaklah banyak serta bukan di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat. Hotel ini ada menyediakn servis in-room dining dan harganya tidaklah mahal. Sebagai contoh nasi goreng hanya berharga RM28, fish & chips RM32 dan jus buah-buahan pula RM18. Hotel ini ada menyediakan parkir yang terletak di Tingkat B1 dan ianya adalah percuma untuk pengunjung hotel. Hotel ini akan mengenakan bayaran jika pengunjung meminta untuk daftar keluar lewat (late check-out).


Bertemakan ‘Fiesta Ria Ramadan’, majlis iftar hotel ini meriah dengan pelbagai menu masakan. Dengan harga RM118, pengunjung disajikan dengan aneka masakan terutamanya masakan melayu. Hotel ini menyediakan makanan dengan konsep gerai-gerai cuma ruangnya agak terhad oleh kerana pengunjung yang ramai. Saya hanya mencuba beberapa menu sahaja dan rasanya sedap bagi saya. Walaupun bilik saya termasuk sarapan (sahur), saya tidak turun untuk bersahur.


Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan hotel ini dan harga yang saya bayar itu berpatutan dengan apa yang disediakan. Walaupun sudah 12 tahun beroperasi, hotel ini bersih terutama bilik airnya. Jika pembaca tidak kisah dengan saiz biliknya yang agak kecil, hotel ini boleh dijadikan tempat untuk bersantai dan berehat bersama keluarga. Lokasi hotel ini pula sangat strategik kerana bersebelahan dengan pusat membeli-belah Alamanda. Terdapat laluan berbumbung disediakan untuk ke Alamanda. Untuk ke Masjid Putra, jaraknya hanyalah 4.1km. Bagi yang ingin datang menaiki MRT ataupun ERL, hotel ini terletak 9.7km dari Putrajaya Sentral.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



Iftar Ramadan



 
 
 

Comments


Post: Blog2_Post
  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2020 by Bumi dipijak langit dijunjung. Proudly created with Wix.com

bottom of page