top of page
Search
hanuds

The Colony & Luxe, Kuala Lumpur (15-16/7/23)

Pada minggu ini saya ke satu residensi yang agak baru sahaja dibuka yang terletak di Kampung Baru Kuala Lumpur. Residensi ini letaknya di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, betul-betul di belakang Quill City Mall. Kali ini saya menggunakan aplikasi Booking.com dan memilih bilik jenis Superior Studio yang berharga RM189.60 (tanpa sarapan). Bilik yang saya inap ini adalah di bawah selian Canopy Lives, Five Senses. Biliknya mempunyai keluasan 299 kaki persegi.


Pada pagi 15/7/23 saya menerima pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp bagaimana proses untuk pendaftaran masuk. Oleh kerana masa untuk daftar masuk ialah pada pukul 3 petang, saya hanya tiba di residensi pada waktu itu. Sampai sahaja di lobi Blok A petugas telah pun menunggu dan saya hanya perlu membayar deposit sebanyak RM300 sebelum diberi kad akses bilik. Residensi ini mempunyai 2 blok iaitu A dan B (tetapi ianya bukanlah terasing, hanya terdapat di dua bahagian yang berlainan).


Sebaik menerima kad akses saya terus menaiki lif untuk ke tingkat 16. Terdapat 4 buah lif di residensi ini dan lifnya agak lambat. Bilik yang saya inap ini mempunyai 2 tingkat di mana di tingkat bawah menempatkan ruang tamu dan dapur sementara tingkat atas pula bilik tidur. Bilik mandi pula terdapat di tingkat bawah dan juga tingkat atas. Interior biliknya agak cantik cuma saya merasakan yang ianya disusun agak padat menjadikan ruang di tingkat bawah agak sempit. Kelengkapan yang disediakan juga lengkap sebagai sebuah residensi. Bilik yang saya inap ini mempunyai balkoni yang mengadap ke Quill City Mall dan juga Menara PNB 118.


Apa yang menjadi keistimewaan residensi ini ialah kolam renangnya yang terletak di atas bangunan (rooftop) iaitu di tingkat 35. Saiz kolamnya memang besar di mana ianya mempunyai bentuk L. Pemandangan dari kolam ini sangat cantik terutamanya di waktu malam. Terdapat kolam renang untuk kanak-kanak juga di bahagian yang sama. Selain kolam renang, di tingkat 35 ini terdapat ruang untuk pengunjung mengadakan bbq dan juga jamuan. Di residensi ini juga terdapat fasiliti lain seperti surau dan juga gimnasium.


Di dalam bilik, wifi yang disediakan agak laju di mana kelajuannya mencecah 32mbps. Celcom pula mempunyai kelajuan 54mbps sementara Tune Talk pula 45mbps. Bilik ini menyediakan Smart TV yang bersaiz 40 inci tetapi tidak mempunyai siaran TV percuma, pengunjung perlu mengakses Netflix ataupun Youtube. Di bilik air pula, tekanan airnya agak laju di bilik air di bahagian bawah tetapi di bilik air di bahagian atas tekanan airnya perlahan. Parkir pula ada disediakan di basement 1 dan 2 dan buat masa ini ianya adalah percuma. Waktu check-out residensi ini ialah pada pukul 11 pagi, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses dan mengambil semula wang deposit RM300.


Secara peribadi bilik yang saya inap ini mempunyai interior yang agak cantik dan saya agak suka dengan rekabentuknya yang begitu. Cuma agak pelik bila ingin keluar ke balkoni di bahagian atas, pengunjung perlu melalui bilik air dahulu kerana pintu untuk keluar ke balkoni terletak di dalam bilik air. Selain itu kipas angin di dalam bilik berkongsi suis yang sama dengan lampu, di waktu malam saya ingin membuka kipas dan menutup lampu tetapi bila suis dimatikan, kipas angin juga turut berhenti. Residensi ini pula lengkap dengan segala kemudahan tetapi secara peribadi saya tidak begitu gemar staycation di residensi kerana peraturannya yang agak ketat dan juga agak sesak dengan residen yang menginap di situ. Yang menjadi keistimewaan residensi ini ialah kolam renangnya yang infiniti dan bersaiz besar serta lokasinya yang terletak di belakang Quill Mall City. Di sekeliling residensi terdapat begitu banyak gerai makan yang terletak di sekitar Kampung Baru. Untuk yang menggunakan pengangkutan awam pula, residensi ini terletak hanya 600 meter ke Stesen Monorel Medan Tuanku.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Pemandangan


178 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page