top of page
Search
hanuds

The Chow Kit – An Ormond Hotel, Kuala Lumpur (4-5/11/23)

Minggu ini saya kembali ke satu hotel yang baru sahaja dinobatkan sebagai ‘Malaysia’s Best Boutique Hotel’ selama tiga tahun berturut-turut. Hotel yang terletak di Jalan Sultan Ismail ini sebenarnya adalah bekas Tune Hotel. Lokasinya terletak di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan juga Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan ianya bukanlah terletak betul-betul di kawasan Chow Kit. Ini merupakan kali ketiga saya ke sini, kali pertama ialah pada Ogos 2020 dan kali kedua pula pada Oktober 2021. Jika pada kali pertama dan kedua saya menginap di bilik yang biasa, pada kali ini saya menginap di suite hotel ini sempena promosi yang ditawarkan. ‘The Towkay Suite’ ini berharga RM380 dan saya mendapat baucar RM100 percuma untuk makanan dan minuman.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.00 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi di tingkat bawah hotel. Lobi hotel ini kecil sahaja kerana bersambung dengan restoran dan mempunyai interior yang sangat cantik. Proses untuk daftar masuk (check-in) sekejap sahaja dan sebaik menerima kad akses saya terus menaiki lif untuk ke tingkat 5. Hotel ini hanya mempunyai sebuah lif dan bangunannya hanya mempunyai 6 tingkat sahaja. Oleh kerana pengunjung lain tidak ada pada masa itu, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.


‘The Towkay Suite’ ini kecil sahaja, hanya berkeluasan 236 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat rak yang terbuka di sebelah kanan pintu masuk untuk menyangkut baju. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan dan juga pengering rambut serta peti sejuk mini. Di ruang atas diletakan 2 botol air minuman serta dua gelas kaca. Hotel ini tidak menyediakan cerek letrik dan juga seterika tetapi pengunjung boleh meminta seterika jika ingin menggunakannya. Di sebelah kiri pintu masuk pula terletaknya bilik air. Di sebelah rak tadi pula terdapat satu sofa dan juga satu meja yang sederhana besar untuk pengunjung duduk dan berehat. Di atas sofa ini digantung TV berukuran 49 ataupun 50 inci. Bertentangan dengan sofa ini iaitu di bahagian tengah ruang bilik, terdapat satu katil king serta dua kerusi kecil dikakinya serta satu meja bulat kecil di antara dua kerusi tersebut.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Hotel ini tidak menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya pula separa terbuka, menempatkan pancuran jenis pegang dan juga siling. Hotel ini hanya menyediakan tuala mandi dan juga tuala tangan, tidak ada peralatan mandian yang lain selain itu.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 20mbps. Telco pula laju di mana Celcom dan Tune Talk masing-masing mempunyai kelajuan 93mbps. Hotel ini tidak menyediakan siaran TV yang banyak dan tidak ada siaran asas seperti TV1, TV2 dan TV3. Walau bagaimanapun siarannya adalah di dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, saya berpuas hati dengan tekanan air di pancurannya. Hotel ini tidak mempunyai kolam renang dan bagi yang membawa kenderaan sendiri, terdapat parkir terbuka di sebelah bangunan hotel ini tetapi saya tidak pasti dengan bayaran yang dikenakan. Saya menggunakan baucar percuma dengan makan malam di hotel ini. Saya memesan fish & chips bersama jus oren dan rasanya sedap bagi saya.


Secara keseluruhan saya sememangnya suka dengan hotel ini, disebabkan itu sudah 3 kali saya ke sini. Hotel ini sememangnya mempunyai interior yang cantik. Walaupun biliknya kecil, tetapi biliknya cantik dan sangat bersih serta nampak mewah, cuma harganya agak mahal bagi bilik yang mempunyai keluasan yang sama. Lokasi hotel ini terletak agak strategik di mana hanyalah 600 meter untuk ke Pasar chow Kit dan 700 meter untuk ke SOGO dan Pasar Malam Jalan TAR. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak kira-kira 350 meter dari Stesen Monorel Medan Tuanku.


Bilik


Bilik Air


Hotel dari Dalam


Hotel dari Luar


Makan Malam


115 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page