Minggu ini saya ke satu hotel yang terletak di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Hotel ini seingat saya telah lama beroperasi, mungkin dari tahun 90an lagi. Hotel ini telah pun menjalani pengubahsuaian besar-besaran (major renovation) dan telah dibuka semula pada 15 Ogos 2019. Lokasinya berdekatan dengan UTC Pudu dan juga stesen LRT Plaza Rakyat.
Menerusi booking.com saya telah memilih bilik Executive King yang mempunyai keluasan 409 kaki persegi. Ianya berharga RM247.75 tanpa sarapan. Saya tiba di hotel agak awal iaitu tepat jam 1.00 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran. Pengunjung tidaklah ramai dan saya terus sahaja diberi kad akses kerana bilik telah pun siap. Proses check-in adalah cepat, hanya beberapa minit sahaja. Waktu yang diiklankan untuk check-in di hotel ini ialah pada pukul 3.00 petang. Jadi saya check-in awal 2 jam dari waktu sepatutnya (kebanyakkan hotel yang saya pergi tidak ada masalah membenarkan check-in awal jika bilik sudahpun sedia).
Setelah mendapat kad akses saya terus menaiki lif untuk ke bilik saya yang terdapat di tingkat 7. Hotel ini mempunyai 3 lif dan saya tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan lif. Sebaik sahaja memasuki bilik saya dapat merasakan yang bilik di hotel ini seakan baru. Ini mungkin disebabkan selepas dibuka semula pada Ogos 2019, pandemik pula melanda seluruh dunia menyebabkan hotel ini tidak dikunjungi tetamu dan tidak digunakan untuk jangka waktu yang agak lama.
Pabila memasuki biliknya, terdapat satu rak terbuka untuk menggantung pakaian di sebelah kiri pintu masuk. Di tepinya terdapat satu ruang tertutup yang menempatkan seterika dan papan seterika. Di bahagian ini juga terdapat peti simpanan keselamatan. Sementara di sebelah kanan pintu masuk pula ialah bilik air yang tertutup dan boleh dikunci.
Bilik Executive King ini agak luas berlantaikan kayu dan tidak terdapat karpet di biliknya. Selain menempatkan satu katil king, terdapat juga satu kerusi panjang di kaki katil serta satu sofa single di sebelah katil. Di dinding mengadap katil pula adalah satu meja panjang dari kiri ke kanan di mana di kirinya diletakkan satu peti ais mini serta perkakas untuk membancuh kopi (termasuklah cerek letrik) di atasnya. Di tengah2 pula terdapat TV LCD yang agak besar, saiznya mungkin 46 ke 50 inci. Kemudian di sebelah kanan pula terdapat ruang seperti meja study serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja2 pejabat. Terdapat satu lampu study diletakkan di atas meja tersebut.
Bilik air pula agak luas menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk shower. Walaupun luas tidak terdapat bathtub di bilik jenis ini. Keseluruhan dinding di bahagian sinki (ke atas) merupakan cermin muka menjadikan saiznya sangat lebar. Terdapat saluran paip di sebelah mangkuk tandas. Ruang untuk shower adalah besar tetapi separa tertutup (tiada pintu). Ini menyebabkan apabila mandi air akan membasahi ruang lantai di bahagian sinki. Terdapat 2 jenis shower (siling dan juga pegang) dan tekanan airnya pula sangat kuat. Hotel ini tidak menyediakan berus gigi.
Hotel ini mempunyai pool yang terletak di tingkat 3 bangunan hotel dan ianya adalah terbuka. Ianya terletak di bahagian belakang bangunan. Saiz poolnya sederhana besar dan terdapat juga pool untuk kanak2 yang saiznya kecil sahaja. Waktu pool beroperasi ialah pada pukul 7.00 pagi hingga 8.00 malam. Gimnasium juga terdapat di tingkat 3 dan waktu operasinya juga adalah sama.
Restoran di hotel ini terletak di tingkat 1 dan beroperasi dari pukul 6.30 pagi hingga 11.00 malam. Untuk in-room dining pula, ianya bermula dari pukul 11.00 pagi hingga ke 11.00 malam. Menu yang disediakan agak banyak dan harganya juga agak murah jika dibandingkan dengan sesetengah hotel. Saya sempat mencuba fish & chip yang berharga RM30 serta jus oren yang berharga RM14 dan ianya agak sedap bagi saya.
Hotel ini juga ada menyediakan wifi percuma dan kelajuannya agak laju iaitu 27mbps. Celcom pula sangat laju mencapai kelajuan 177mbps sementara Tune Talk pula sedikit perlahan hanya 113mbps. Siaran TV tidaklah banyak walaupun siarannya adalah dalam bentuk HD. Pencahayaan di dalam bilik pula agak kelam kerana menggunakan lampu yang disembunyikan di siling dan juga di belakang TV. Untuk proses check-out pula ianya sangat mudah dan cepat di mana hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.
Hotel ini bagi saya agak berbaloi dengan harga yang saya bayar. Biliknya luas dan interiornya juga moden walaupun tidak kelihatan mewah disebabkan lantainya yang tidak ditutupi karpet seperti hotel2 mewah yang lain. Lokasinya juga strategik terletak berhampiran dengan LRT Plaza Rakyat (hanya kira2 800 meter) memudahkan pengunjung untuk menaiki LRT. Ianya juga terletak berhampiran Lalaport Mall yang baru sahaja dibuka (kira2 800 meter) dan juga 1.5 km ke pusat membeli belah Pavilion.
Bilik
Bilik Air
Pool
Lobby
Lunch
コメント