top of page
Search
hanuds

Sunway Resort Hotel (9-11/3/24)

Oleh kerana saya masih lagi mempunyai baucer bilik percuma, pada minggu ini saya kembali lagi ke hotel ini. Saya sebenarnya telah menebus baucer bilik percuma kerana menjadi ahli Sunway Moments pada December tahun lepas tetapi kali ini baucer percuma ini diberi kerana saya telah berjaya memperkenalkan kawan-kawan saya untuk menyertai Sunway Moments (under referral). Staycation saya pada kali ini juga bertujuan untuk menebus baucer makan tengahari dan makan malam secara percuma atas kapasiti sebagai ahli Sunway Moments.


Pada kali ini saya menginap selama 2 malam di mana malam pertama adalah percuma sementara malam kedua pula saya mendapat diskaun sebanyak 50%. Oleh kerana harga pada malam kedua adalah RM700, saya hanya perlu membayar RM350 (tidak termasuk cukai SST sebanyak 8%). Jika pada December lepas saya menginap hanya satu malam dan menaik taraf ke bilik Grand Deluxe dengan tambahan sebanyak RM80, pada kali ini saya hanya menginap di bilik deluxe sahaja tanpa tambahan bayaran. Bilik Deluxe ini kecil sedikit dari bilik Grand Deluxe dengan keluasan 344 kaki persegi dibandingkan dengan bilik Grand Deluxe yang berkeluasan 430 kaki persegi dan bilik Deluxe hotel ini tidak mempunyai tab mandi (bathtub).


Saya tiba di hotel pada kira-kira pukul 1.10 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di Tingkat L. Hotel ini agak unik kerana lobinya terletak di tengah-tengah bangunan dan bukannya di bawah. Lobi hotel ini sememangnya cantik, kelihatan mewah dan sangat luas. Saya terus sahaja membuat pendaftaran masuk (check-in) dan oleh kerana bilik saya telah pun sedia, saya terus diberi kad akses. Layanan yang saya terima sangat baik dan kakitangan yang menyambut saya sangat ramah. Kali ini saya mendapat bilik di atas Tingkat L iaitu di Tingkat 18. Pada pertama kali ke sini saya mendapat bilik di bawah Tingkat L iaitu di Tingkat 3.


Saya terus sahaja menaiki lif untuk ke Tingkat 18 dan hotel ini mempunyai 5 buah lif. Masa menunggu lif tidaklah lama kerana pengunjung tidaklah ramai. Dengan keluasaan 344 kaki persegi bilik Deluxe ini agak luas. Sebaik memasuki bilik, terdapat almari berpintu gelongsor di sebelah kanan pintu masuk dan saiznya agak besar. Di dalam almari ini terdapat peti simpanan keselamatan serta seterika dan juga papan seterika. Terdapat 2 pasang jubah mandi (bathrobe) digantung di dalamnya. Selain itu terdapat juga mesin penimbang berat badan dan juga 2 pasang selipar serta lampu suluh. Di sebelah almari ini terdapat satu para untuk pengunjung meletakan beg dan barang-barang mereka.


Di ruang katil selain satu katil king terdapat satu sofa bujang di sebelah kiri katil serta satu meja bulat yang kecil. Di sebelah sofa ini pula terdapat satu lampu tidur yang besar. Di sepanjang dinding bertentangan dengan kaki katil pula terdapat meja yang panjang di mana di kirinya diletakkan satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat di sini. Di sebelah kiri kerusi ini terdapat kabinet yang menempatkan peti sejuk mini dan juga perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh.


Bilik airnya terletak di sebelah kiri pintu masuk dan saiznya tidaklah besar, tidak seperti bilik Grand Deluxe. Selain singki terdapat juga tandas dan juga ruang untuk pancuran di mana saiznya agak luas. Di sebelah kanan tandas ada disediakan gelung paip dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap. Bilik yang saya inap ini pemandangannya mengadap ke Sunway Lagoon.

Salah satu keistimewaan hotel ini adalah kolam renangnya yang terdapat di 2 bahagian. Kolam renang utama letaknya di Tingkat 1 dan saiznya sangat besar sementara kolam renang kedua pula letaknya di Tingkat 5 di mana ianya lebih kepada untuk kanak-kanak. Waktu operasi kolam renang ini ialah pada pukul 7 pagi hingga 7 malam. Selain itu hotel ini juga mempunyai sauna dan gimnasium yang terletak bersebelahan dengan kolam renang di Tingkat 1.


Sarapan pagi hotel ini pula adalah di Sunset Terrace yang terletak bersebelahan dengan kolam renang di Tingkat 1. Oleh kerana restoran ini ditutup pada 10 dan 11hb Mac, sarapan pagi dialihkan ke Resort Café yang terletak di lobi hotel. Sarapan pagi hotel ini sangat pelbagai dan makanannya sedap bagi saya. Untuk makan malam pada hari Sabtu 9hb Mac, ianya adalah di Sunset Terrace. Harga makan malam hotel ini ialah RM228 untuk seorang (tidak termasuk cukai SST 6%). Oleh kerana saya menebus baucer Sunway Moments, makan malam tersebut adalah percuma untuk 2 orang. Pada hari Ahad pula (10hb Mac), saya menebus baucer makan tengahari pula di mana ianya diadakan di Resort Café kerana Sunset Terrace masih ditutup. Harga untuk makan tengahari di hotel ini ialah RM316 (termasuk cukai SST untuk 2 orang).


Untuk wifi percuma pula, kelajuannya adalah sekitar 19mbps sementara untuk telco pula Tune Talk mempunyai kelajuan 97mbps (5G) sementara CelcomDigi pula 58mbps (4G). Hotel ini menyediakan Smart TV yang besar, mungkin bersaiz 60 ataupun 65 inci. Siaran yang disediakan agak banyak dan kesemuanya adalah di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat terutama bila menggunakan pancuran jenis pegang.


Secara peribadi saya sememangnya sangat suka dengan hotel ini dan bagi saya hotel ini ada segala-galanya. Hotel ini sememangnya cantik dan kelihatan mewah, oleh itu harganya agak mahal tetapi pengunjung pasti akan berpuas hati dengan segala fasiliti yang disediakan. Selain berdekatan dengan Sunway Lagoon, hotel ini terletak di sebelah Sunway Pyramid jika pengunjung datang untuk membeli-belah. Seperti saranan saya kepada rakan-rakan saya, jika pembaca sememangnya ingin menginap di hotel ini, adalah lebih baik menyertai Sunway Moments kerana terdapat berbagai baucer untuk ditebus dalam masa setahun. Dengan mengambil contoh staycation saya pada kali ini, harga sebenar adalah RM1,512 (untuk bilik Deluxe selama 2 malam termasuk cukai SST 8%), makan malam RM483 (untuk 2 orang termasuk cukai SST 6%) dan makan tengahari RM316 (untuk 2 orang termasuk cukai SST 6%). Oleh kerana menjadi ahli saya hanya perlu membayar RM378 untuk 50% bilik bagi malam kedua, dibandingkan kos sebenar sebanyak RM2,311 jika tidak menyertai Sunway Moments. Saya pasti akan ke hotel ini lagi kerana saya masih mempunyai satu baucer penginapan percuma untuk satu malam dan malam berikutnya saya mendapat 50% diskaun.


Bilik


Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



Sarapan Pagi



Makan Tengahari



Makan Malam



99 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page