top of page
Search
hanuds

Sunway Resort Hotel (2-3/12/23)

Updated: Dec 5, 2023

Saya sebenarnya sudah agak lama ingin ke sini tetapi terpaksa menangguhkannya oleh kerana harganya yang agak mahal. Di Trip.com harga untuk bilik deluxe hotel ini sekitar RM600 itupun tanpa sarapan pagi. Oleh kerana Sunway Resort memperkenalkan program keahliannya yang dinamakan ‘Sunway Moments’, saya pun terus menjadi ahlinya untuk setahun. Hotel ini sebenarnya baru sahaja diubahsuai secara besar-besaran (fully refurbished). Saya pernah ke hotel ini tetapi sudah lama iaitu di awal tahun 2000 an.


Antara keistimewaan menjadi ahli ‘Sunway Moments’ ini ialah ahli akan mendapat bilik deluxe percuma (complimentary) berserta sarapan untuk 2 orang. Oleh itu pada minggu ini saya menebus bilik percuma tersebut tetapi telah menaik taraf (upgrade) kepada grand deluxe dengan tambahan RM80. Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.00 petang dan terus sahaja ke lobinya yang terletak di tingkat bawah (Level L). Lobi hotel ini besar dan sangat cantik. Saya terus membuat proses daftar masuk (check-in) dan ianya mengambil masa beberapa minit sahaja. Sebaik mendapat kad akses, saya terus sahaja menaiki lif untuk ke tingkat 3. Terdapat 5 buah lif di hotel ini dan masa untuk mendapatkan lif sangat cepat. Hotel ini agak unik kerana lobinya (Level L) terletak di tengah-tengah bangunan dan untuk ke tingkat 3, saya perlu turun dan bukannya naik.


Bilik grand deluxe ini mempunyai keluasan 430 kaki persegi dan ianya agak besar serta kelihatan mewah. Sebaik memasuki bilik terdapat almari berpintu gelongsor di sebelah kiri dan saiznya agak besar. Di dalam almari ini selain tempat untuk menyangkut baju, terdapat juga peti simpanan keselamatan, seterika dan papan seterika. Terdapat 2 pasang jubah mandi (bathrobe) digantung di dalamnya serta 2 pasang selipar. Selain itu terdapat juga lampu suluh dan juga alat penimbang berat badan di dalamnya. Bersebelahan dengan almari ini terdapat para untuk pengunjung meletakan beg dan barang-barang mereka.


Di ruang katil pula selain satu katil king, terdapat dua kerusi bujang di sebelah kanannya berhampiran dengan tingkap cermin. Di tengah-tangah kerusi ini terdapat satu meja bulat yang kecil serta satu lampu tidur. Di dinding bertentangan dengan kaki katil pula terdapat para yang panjang di mana di sebelah kanannya terdapat satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat di sini. Di sebelah kanan kerusi ini pula terdapat kabinet menempatkan peti sejuk mini dan juga perkakas untuk membancuh kopi dan teh. Hotel ini menyediakan TV yang besar, mungkin bersaiz 60 ataupun 65 inci yang digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan ke arah kolam renang di aras 1.


Bilik air grand deluxe ini agak besar menempatkan sinki, tandas, ruang untuk pancuran serta tab mandi (bathtub). Bilik airnya mempunyai pintu gelongsor dari cermin yang lutcahaya dan ianya tidak boleh dikunci. Tandasnya mempunyai gelung paip dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Saiz ruang pancurannya sederhana besar dan begitu juga saiz tab mandinya. Kelengkapan mandian lengkap disediakan termasuklah tuala muka, tuala tangan serta berus gigi yang diletakan di dalam kotak putih yang cantik. Bilik hotel ini menggunakan suiz digital (touch screen) sepenuhnya.


Salah satu yang menarik mengenai hotel ini ialah kolam renangnya yang terdapat di 2 bahagian. Di aras 1, terdapat kolam renang yang sangat besar dan ianya mengadap ke Sunway Lagoon. Terdapt juga kolam renang untuk kanak-kanak di bahagian ini dan waktu operasinya ialah pada pukul 7 pagi hingga 7 malam. Di tepi kolam renang ini terdapat juga gimnasium serta sebuah restoran dan pengunjung akan bersarapan pagi di sini. Satu lagi kolam renangnya terletak di aras 5 dan ianya lebih kepada kanak-kanak. Kawasannya juga agak besar tetapi lebih kecil dari kolam renang di aras 1. Terdapat banyak permainan untuk kanak-kanak disediakan di kolam renang ini.


Hotel ini menyediakan sarapan pagi yang sangat pelbagai hinggakan saya tidak tahu untuk memilih apa yang ingin dimakan. Oleh kerana habit saya yang hanya bersarapan ringan, saya hanya mencuba beberapa makanan sahaja. Nasi lemaknya biasa saja bagi saya, begitu juga croissantnya. Muffinnya sedap serta lembut. Jika pembaca inginkan sarapan yang sangat pelbagai, ini adalah antara hotel yang saya akan cadangkan tetapi saya tidak boleh mengatakan yang sarapan di sini sangat sedap ataupun tidak oleh kerana saya tidak mencuba kesemua menunya. Adalah tidak adil jika saya mengatakan yang makanan di sesuatu hotel itu sedap ataupun tidak jika saya tidak mencuba kesemuanya. Sarapan pagi hotel ini bermula pada pukul 6 pagi setiap hari.


Untuk wifi percuma pula, di dalam bilik ianya mempunyai kelajuan sekitar 20mbps tetapi telco mempunyai kelajuan yang sangat tinggi. Celcom mencapai kelajuan 244mbps sementara Tune Talk pula 99mbps dan di kawasan kolam renang pula kelajuannya mencecah 305mbps (Celcom) dan 183mbps (Tune Talk). Hotel ini bukan sahaja menyediakan TV bersaiz besar, ianya juga menyediakan siaran di dalam bentuk HD dan siarannya agak banyak. Untuk tekanan air di dalam bilik air pula, ianya sangat kuat dan saya sangat suka mandi di pancurannya. Hotel ini ada menyediakan parkir tetapi pengunjung akan dikenakan bayaran RM15 untuk sehari.


Secara keseluruhannya saya sangat suka dengan hotel ini dan bagi saya hotel ini ada segala-galanya. Hotel ini bersebelahan dengan pusat membeli-belah Sunway Pyramid dan di sekitar hotel juga terdapat banyak kedai-kedai. Hotel ini sangat sesuai bagi yang ingin berehat dan bersantai di hotel kerana biliknya yang besar, cantik dan selesa serta mempunyai 2 kolam renang yang besar untuk mandi-manda. Harganya yang sekitar 600 untuk satu malam memang agak mahal tetapi pengunjung pasti berpuas hati dengan apa yang disediakan. Bagi yang menyertai keahlian ‘Sunway Moments’ pula, ianya memang sangat berbaloi kerana selain mendapat bilik deluxe percuma serta sarapan pagi, ahli juga akan mendapat buffet makan tengahari dan juga makan malam serta kek harijadi percuma. Saya pasti akan kembali lagi ke hotel ini kerana selain apa yang saya sebutkan tadi, ahli juga akan mendapat 7 malam penginapan dengan diskaun sebanyak 50% atau 40% bergantung kepada tarikh penginapan.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang Aras 1


Kolam Renang Aras 5


Sarapan


Hotel


Villa


Sunway Lagoon


223 views0 comments

コメント


Post: Blog2_Post
bottom of page