top of page
Search
hanuds

Sunway Resort Hotel (18-20/10/24)

Minggu ini saya sekali lagi ke hotel ini untuk menebus satu lagi baucer bilik percuma. Baucer ini saya perolehi kerana menjadi ahli Sunway Moments. Baucer di bawah ‘Referrals’ ini ialah bilik deluxe percuma untuk satu malam berserta sarapan pagi dan untuk malam berikutnya ahli mendapat diskaun sebanyak 50%. Oleh kerana harga bilik deluxe pada masa saya menginap ialah RM800, saya hanya perlu membayar RM432 untuk malam kedua (termasuk cukai RM32).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 4.20 petang dan terus sahaja mendaftar masuk. Lobi hotel ini sememangnya sangat cantik dan luas. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan selepas membuat bayaran saya terus sahaja diberi kad akses. Selain membayar harga bilik sebanyak RM432, saya juga membuat bayaran parkir sebanyak RM30 (RM15 untuk satu hari). Bilik saya pada kali ini berada di Tingkat 18 dan hotel ini agak unik kerana lobinya berada di tengah-tengah bangunan. Pengunjung perlu turun atau pun naik ke bilik masing-masing bergantung kepada tingkat bilik mereka berada, samada di bawah ataupun di atas lobi. Hotel ini mempunyai 5 buah lif dan masa untuk menunggu lif tidaklah lama.


Bilik deluxe yang saya inap ini mempunyai keluasan 344 kaki persegi dan ianya agak luas. Kali ini bilik yang saya inap sama seperti yang saya inap pada bulan Mac yang lepas cuma kedudukannya yang bertentangan di mana bilik air berada di sebelah kanan pintu masuk dan almari pula berada di sebelah kiri. Almari ini besar dan di dalamnya terdapat tempat untuk menyangkut baju, seterika dan juga papan seterika. Selain itu terdapat juga peti simpanan keselamatan dan juga mesin penimbang berat badan. Terdapat dua pasang jubah mandi yang digantung di dalam almari ini.


Di bahagian katil pula selain satu katil king, terdapat satu sofa bujang dan meja kecil di sebelah kanan katil. Bertentangan dengan kaki katil pula terdapat meja panjang di mana di bahagian hujung kanan terdapat kabinet menempatkan peti sejuk mini dan juga perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. TV pula digantung di dinding dan saiznya besar, antara 55 ke 60 inci.


Bilik air pula agak luas menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran. Bilik jenis deluxe ini tidak mempunyai tub mandi (bathtub). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang serba lengkap.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 47mbps sementara untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 510mbps dan Tune Talk pula 99mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV di dalam HD dan siarannya agak banyak. Untuk tekanan air pula, ianya kuat dan saya sangat berpuas hati mandi di pancurannya.


Salah satu keistimewaan hotel ini ialah kolam renangnya yang besar, terdapat di dua bahagian. Kolam renang pertama terdapat di Tingkat 1 dikhususkan untuk dewasa sementara untuk kanak-kanak pula, kolam renangnya terletak di Tingkat 5, juga bersaiz besar umpama sebuah taman tema mini. Waktu operasi kolam renang ini ialah antara pukul 7 pagi hingga 7 malam. Di Aras 1 juga terdapat sebuah gimnasium dan juga sauna.


Untuk sarapan pagi pula, ianya adalah di Sunset Terrace yang terdapat di Tingkat 1 iaitu di sebelah kolam renang dewasa. Makanan yang disediakan sangat banyak cuma kali ini pengunjung sangat ramai kerana bercampur dengan pengunjung dari Hotel Sunway Pyramid. Pada kunjungan saya pada bulan December 2023, pengunjung dari Hotel Sunway Pyramid akan bersarapan pagi di Resort Café. Saya difahamkan Resort Café dalam proses diperbaharui (refurbish). Sebenarnya pengunjung Sunway Resort boleh juga bersarapan pagi di Restoran Gordon Ramsay yang terletak di lobi hotel tetapi mereka perlu berpakaian kasual (sarapan di sini adalah set dan bukannya buffet). Walaupun pengunjung sangat ramai, sarapan pagi di hotel ini agak lancar kerana ramai kakitangan hotel yang bertugas.


Seperti ulasan saya yang lepas, hotel ini bagi saya ada segala-galanya. Ianya mahal tetapi agak berpatutan jika diambil kira dengan fasiliti yang disediakan. Biliknya sangat cantik, bersih serta kelihatan mewah, cuma kali ini sarapannya terlalu ramai pengunjung. Dari segi Lokasi pula, hotel ini hanya berada di sebelah pusat membeli-belah Sunway Pyramid serta Taman Tema Sunway Lagoon. Kepada yang memang ingin menginap di hotel ini, saya sarankan supaya menjadi ahli Sunway Moments. Ahli akan mendapat banyak baucer antaranya penginapan percuma untuk bilik deluxe (hari kedua mendapat 50% diskaun), baucer makan tengahari dan juga makan malam, kedua-duanya untuk dua orang. Saya bercadang untuk kembali lagi ke hotel ini dan menginap di suite ataupun villanya pula.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



Sarapan



Pemandangan



76 views0 comments

留言


Post: Blog2_Post
bottom of page