top of page
Search
hanuds

Sunway Putra Hotel (23-24/11/22)

Updated: Nov 26, 2022

Sudah agak lama saya tidak ke hotel ini. Kali terakhir adalah kira-kira setahun yang lalu iaitu pada 20/11/21. Ini merupakan kali ke 8 saya menginap di hotel ini, antara hotel yang saya suka untuk staycation. Selain harganya yang agak murah, lokasinya juga terletak di sebelah Sunway Putra Mall, memudahkan saya untuk bersiar-siar dan makan di mall tersebut. Hotel ini terletak di Jalan Putra iaitu bertentangan dengan World Trade Centre (WTC) dan juga Hotel Seri Pacific. Asalnya hotel ini adalah Hotel Legend sebelum diambil alih oleh Sunway Group.


Saya menempah hotel ini agak lewat, sehari sebelum check-in. Melalui aplikasi Trip.com saya telah memilih bilik yang paling kecil iaitu jenis superior berharga RM266.70 dan harga ini termasuk sarapan untuk 2 orang. Hotel ini sebenarnya mempunyai banyak jenis bilik serta mempunyai interior yang berbeza walaupun untuk bilik jenis yang sama.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.00 tengahari dan terus sahaja ke lobi dan membuat proses pendaftaran masuk. Lobi hotel ini letaknya di tingkat 9. Proses pendaftaran cepat dan saya diberi bilik jenis Family Suite yang lebih besar dan juga lebih mahal (free upgrade). Bilik ini mengikut harga di Booking.com ialah RM524 (termasuk sarapan). Terima kasih kepada En Lee, Cik Malar dan juga En Ashraf yang telah memberi layanan yang cukup baik semasa proses check-in. Terdapat banyak lif di hotel ini dan ianya sangat cepat.


Bilik jenis Family Suite ini besar, mempunyai keluasan 516 kaki persegi dibandingkan dengan bilik jenis superior yang hanya berkeluasan 301 kaki persegi. Memasuki bilik sahaja terdapat lorong di mana di sebelah kanannya adalah ruang untuk menyimpan pakaian dan juga barang-barang. Terdapat satu almari yang berpintu cermin yang agak besar dan di dalamnya terdapat penyangkut baju, seterika dan juga papan seterika. Di sebelah almari ini terdapat satu ruang terbuka untuk pengunjung meletakan barang-barang dan di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan. Di sebelah kanan ruang ini adalah bilik air.


Ruang katil pula sangat luas menempatkan satu katil king. Di bahagian berhampiran tingkap terdapat 2 sofa (2 + 1) serta satu meja bulat yang kecil. Di bahagian dinding mengadap ke kaki katil adalah satu meja panjang dengan laci dan di hujung sebelah kanan adalah meja kerja berserta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di sebalah kiri di atas meja ini pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi atau teh serta satu cerek letrik. Di atas lantai di tepi meja sebelah kiri ini diletakan satu peti ais mini. TV pula tergantung di dinding betul-betul bertentangan kaki katil dan saiznya besar, dalam 55 inci. Bilik yang saya inap ini mempunyai balkoni dan ianya mengadap ke kolam renang. Pemandangan dari balkoni ini sangat cantik kerana ianya mengadap ke Bandaraya Kuala Lumpur.


Bilik airnya pula agak besar di mana di sebelah kanannya adalah ruang untuk sinki yang agak panjang. Terdapat 2 sinki di sini. Di sebelah kiri pintu masuk ke bilik air pula adalah tab mandi (bathtub) yang agak besar. Di hujung bathtub ini letaknya ruang untuk pancuran, dan saiznya bagi saya agak sempit. Terdapat pancuran jenis pegang dan juga siling. Ruang pancuran ini ditutupi oleh dinding cermin yang seratus peratus lutsinar. Di hujung sekali letaknya mangkuk tandas di mana ditepinya terdapat gelung paip untuk keselesaan pengguna. Peralatan mandian lengkap disediakan, walau bagaimanapun hotel ini hanya menyediakan tuala mandi sahaja (tidak terdapat tuala muka dan tangan). Jubah mandi (bathrobe) juga tidak disediakan tetapi pengunjung boleh meminta jika memerlukannya.


Kolam renang hotel ini letaknya di tingakt 9 dan saiznya besar. Terdapat kolam renang untuk kanak-kanak juga. Ianya dibuka pada pukul 7 pagi sehingga ke 8 malam. Untuk sarapan pula, ianya terletak di restoran di tingkat 9 (di lobi). Menu yang disediakan sangat banyak dan ianya merupakan menu antarabangsa. Saya tidak boleh mengatakan ianya sedap ataupun tidak kerana hanya mencuba beberapa makanan sahaja. Untuk in-room dining pula, hotel ini menyediakan menu yang agak banyak dan harganya tidaklah begitu mahal. Saya sempat mencuba sup cendawan (RM24) dan juga salad (RM30) dan kedua-duanya sedap bagi saya.


Untuk siaran TV pula, selain menyediakan TV yang bersaiz besar, ianya juga adalah Smart TV. Siaran yang ada agak banyak dan semuanya dalam bentuk HD. Wifi percuma di dalam bilik pula mencapai kelajuan 13mbps sementara telco pula sangat perlahan di mana Celcom dan Tune Talk hanya mencapai kelajuan sekitar 3mbps sahaja. Ini mungkin disebabkan bilik yang saya inap ini agak terlindung. Sementara itu tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Hotel ini sebenarnya memang tidak asing lagi kepada semua kerana sudah memulakan operasi sejak 1987 lagi (dari Hotel Legend). Jika tidak mengambil kira hotelnya yang sudah lama, hotel ini sesuai untuk yang berkeluarga kerana biliknya yang besar dan juga harganya yang agak murah. Selain itu hotel ini mempunyai kolam renang yang bersaiz besar. Cuma bagi bilik Family Suite ini, dengan harga sekitar RM500, ianya agak mahal bagi saya kerana selain interiornya yang sudah lama, pencahayaan di dalam bilik juga kelam dan tidak seimbang di mana terdapat ruang yang agak gelap. Jika pembaca tidak kisah dengan interiornya itu serta harganya yang agak mahal, bilik ini sesuai untuk keluarga kerana saiznya yang sangat luas. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak bersebelahan dengan Stesen LRT PWTC.


Bilik


Bilik Air


View dari Bilik


Makanan


155 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page