Dari Santa Grand Signature saya ke satu lagi hotel yang juga baru beroperasi yang terletak di Jalan Tiong Nam off Jalan Raja Laut. Sebelum ini namanya adalah Hotel Citrus dan selepas menjalani proses ubahsuai secara besar-besaran ianya dikenali sebagai Steg Hotel. Hotel ini telah dibuka semula pada Julai yang lepas. Melalui aplikasi Booking.com saya telah memilih bilik jenis Groovy King yang berharga RM227.30 (tanpa sarapan).
Saya tiba di hotel tepat pukul 12.00 tengahari dan terus sahaja ke lobi yang terletak di tingkat bawah bangunan hotel. Memasuki hotel sahaja saya dapati hotel ini mempunyai interior yang cantik dan lebih kepada hotel butik. Memasuki pintu hotel terdapat satu ruang menunggu di mana disediakan sofa-sofa yang berwarna warni. Di sebelah kanan pintu masuk terdapat satu kawasan bertangga yang unik serta satu kafe berwarna merah jambu di sebelahnya. Di sebelah kanan pintu masuk juga terdapat kiosk untuk proses check-in secara layan diri. Kaunter terletak di sebelah kiri pintu masuk dan hotel ini hanya menyediakan 2 kaunter sahaja.
Saya terus ke kaunter dan bertanya samada bilik saya telah pun sedia dan kakitangan bertugas memberitahu oleh kerana bilik telah habis ditempah pada hari sebelumnya, bilik saya belum lagi sedia. Saya terlebih dahulu membuat proses pendaftaran masuk dan meminta kakitangan tersebut untuk menghubungi saya jika bilik saya telah siap. Hotel ini mengambil deposit dan oleh kerana saya membuat bayaran menggunakan kad kredit, pihak hotel mengenakan bayaran RM300 (untuk harga bilik dan juga deposit). Untuk pengetahuan pembaca waktu check-in hotel ini ialah pada pukul 3.00 petang. Oleh kerana ada beberapa jam lagi untuk ke pukul 3 petang, saya terlebih dahulu pergi ke Sunway Putra Mall untuk makan tengahari. Oleh kerana jarak ke Sunway Putra Mall hanyalah 700 meter sahaja, saya hanya berjalan kaki untuk ke situ.
Semasa berada di Sunway Putra Mall saya menerima panggilan dari pihak hotel memaklumkan bahawa bilik saya telah pun sedia. Waktu itu ialah kira-kira pukul 2.15 petang. Selepas makan tengahari saya kembali semula ke hotel untuk mengambil kad akses bilik saya. Selepas mengambil kad akses saya terus ke tingkat 7 dengan menaiki lif. Terdapat 3 lif di hotel ini dan untuk menaiki lif kad tidak perlu disentuh ke pembaca kad, tidak seperti kebanyakan hotel yang lain. Oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.
Bilik Groovy King ini tidaklah besar, hanya berkeluasan 247 kaki persegi. Memasuki bilik sahaja terdapat satu rak besi di sebelah kanan dan bilik air pula di sebelah kiri. Di rak ini terdapat tempat untuk menyangkut baju dan juga tempat untuk meletak beg dan juga barang-barang. Terdapat sehelai jubah mandi tergantung di ruang ini. Di rak ini juga terdapat peti simpanan keselamatan dan juga peti ais mini. Di atas peti ais mini ini diletakkan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik. Hotel ini tidak menyediakan air mineral di dalam botol plastik atau pun botol kaca, hanya menyediakan satu botol plastik kosong. Botol ini adalah untuk pengunjung mengambil air minuman dari mesin air minuman yang disediakan di luar bilik.
Di ruang bilik pula, selain satu katil queen, terdapat satu sofa kecil di penjuru bilik di kaki katil serta satu meja bulat kecil di sebelahnya. Meja kerja pula diletakan di dinding bertentangan kaki katil dan saiznya sederhana besar. Terdapat satu kerusi untuk digunakan oleh pengunjung bagi melakukan kerja-kerja pejabat. Di atas meja kerja ini terdapat satu lampu yang agak unik. TV pula dilekatkan di dinding bertentangan kaki katil iaitu di atas meja kerja dan saiznya mungkin 46 atau pun 49 inci. Ruang bilik hotel ini tidak mempunyai karpet dan lantainya adalah papan sepenuhnya (dan saya tidak begitu menggemari hotel yang berlantaikan kayu kerana kaki akan merasa sejuk, tetapi hotel ada menyediakan dua pasang selipar). Pemandangan dari bilik yang saya inap adalah mengadap ke kolam renang.
Bilik airnya juga kecil menempatkan sinki di sebelah kiri dan juga tandas di hujungnya. Di kanan pula ialah ruang pancuran yang separa tertutup dengan cermin lutsinar. Terdapat gelung paip disediakan bersebelahan dengan mangkuk tandas dan ruang pancuran pula tidaklah luas tetapi tidak juga terlalu sempit. Terdapat dua jenis pancuran disediakan iaitu jenis siling dan juga pegang. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi serta tuala tangan dan juga tuala muka.
Kolam renang hotel ini adalah terbuka dan terletak di tingkat 2. Kolam renangnya agak unik kerana menggunakan jubin berwarna merah. Bukan sahaja jubinnya berwarna merah, kerusi dan payung di tepi kolam renang juga mempunyai warna yang sama. Bentuknya adalah empat segi tepat dan saiznya agak besar. Terdapat kolam renang untuk kanak-kanak di hujung kolam dewasa dan saiznya kecil sahaja. Kedalaman kolam dewasa pula ialah 1.2 meter. Waktu operasi kolam renang ini ialah dari pukul 7 pagi hingga ke 8 malam. Di sebelah kolam renang pula terdapat gimnasium di mana waktu operasinya adalah juga dari 7 pagi ke 8 malam. Hotel ini tidak mempunyai parkir di bangunannya, tetapi terdapat parkir terbuka yang agak jauh dari hotel dan ianya adalah terhad.
Hotel ini adalah antara hotel yang menyediakan wifi percuma yang sangat laju di mana kelajuannya mencapai 110mbps. Untuk telco pula, Celcom mempunyai kelajuan 167mbps sementara Tune Talk pula 114mbps. Tekanan air di bilik air tidaklah begitu kuat tetapi memadai bagi saya. Hotel ini menyediakan Smart TV dan pengunjung tidak mempunyai masalah jika ingin mengakses Netflix atau pun Youtube. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.
Kesimpulannya secara peribadi saya agak suka dengan hotel ini. Ini adalah antara hotel butik yang mempunyai interior yang cantik (selain Hotel KLoe di Bukit Bintang). Terdapat banyak sudut hotel yang cantik untuk pengunjung mengambil gambar (ootd). Bagi yang suka bergaya di hadapan kamera, hotel ini adalah salah satu hotel yang sesuai. Biliknya juga agak cantik dan warna dinding biliknya serta rak besi di dalam bilik mengingatkan saya kepada Hotel Olympic. Oleh kerana hotel ini baru sahaja dibuka, kebersihannya adalah memuaskan. Hanya satu perkara yang saya tidak begitu gemar ialah pencahayaan di dalam biliknya yang suram dan tidak seimbang, terdapat beberapa sudut di dalam bilik yang agak gelap. Dari segi lokasi pula, hotel ini agak strategik di mana ianya terletak hanya kira-kira 700 meter dari Sunway Putra Mall dan juga World Trade Centre (WTC). Selain itu Pasar Chow Kit hanyalah 550 meter sahaja dari hotel ini.
Bilik
Bilik Air
Pemandangan dari bilik
Kolam Renang
Hotel
Comments