Minggu ini staycation saya ialah ke satu hotel yang dahulunya dikenali sebagai Hotel Soleil. Ianya baru sahaja dibuka semula selepas proses ubahsuai secara besar-besaran. Hotel berstatus 4 bintang ini terletak di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Buat pertama kalinya saya menempah bilik hotel menggunakan aplikasi Traveloka. Saya memilih bilik jenis amber queen berharga RM175.77 (tanpa sarapan). Bilik jenis ini mempunyai keluasan 279 kaki persegi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.10 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk (check-in). Lobinya terletak di tingkat bawah hotel dan agak cantik tetapi tidak begitu luas. Pada masa saya tiba agak ramai pengunjung tetapi proses check-in tidaklah lama, hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Oleh kerana bilik saya belum lagi sedia, saya terlebih dahulu minum di kafe yang terletak di tingkat mezanin (waktu untuk check-in hotel ini ialah pada pukul 3 petang). Saya memesan kepada kakitangan hotel agar menghubungi saya jika bilik saya telah pun siap.
Saya hanya menunggu di kafe sehingga pukul 3 petang. Oleh kerana tiada panggilan talipon dari hotel mengatakan bilik saya telah pun sedia, saya pun beratur semula di kaunter untuk bertanyakan status bilik saya. Pada masa itu tetamu hotel semakin ramai. Tiba giliran saya, saya diberi kad akses bilik saya yang terletak di tingkat 10 (saya tidak pasti samada bilik saya telahpun sedia lebih awal cuma kakitangan hotel tidak menghubungi saya kerana mereka sibuk pada masa itu). Saya mendapat kad akses bilik saya kira-kira pukul 3.30 petang (selepas 30 minit beratur).
Saya terus sahaja menaiki lif yang terletak di tingkat mezanin. Terdapat 4 lif di hotel ini tetapi sistemnya agak pelik. 2 buah lif terletak di sebelah kiri dan 2 buah lagi lif terletak di sebelah kanan. Untuk menaiki lif pengunjung perlu menekan butang, dan butang lif tersebut hanya berfungsi untuk lif di sebelahnya sahaja. Untuk mendapatkan keempat-empat lif, pengunjung akan menekan kedua-dua butang dan menaiki lif yang akan sampai dahulu. Oleh itu bila menaiki lif, kadang-kadang lif akan berhenti di sebahagian tingkat tetapi tidak ada orang yang masuk disebabkan pengguna telahpun masuk ke lif yang di sebelah satu lagi, yang sampai dahulu. Saya berharap sistem lif ini akan ditukar atau dibetulkan.
Saiz bilik jenis amber queen ini agak besar. Sebaik memasuki lif terdapat satu ruang terbuka untuk pengunjung meletakan barang-barang dan menyangkut baju di sebelah kanan pintu masuk. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan serta lampu suluh (tetapi tidak mempunyai bateri). Di bahagian ini juga terdapat pengering rambut. Di sebelah kiri pintu masuk pula ialah bilik air yang berpintu gelongsor dan ianya boleh dikunci. Selepas itu terdapat satu kabinet kecil menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di ruang bilik pula selain satu katil queen, terdapat satu para yang boleh dijadikan meja kerja di penjuru kiri kaki katil dan juga satu kerusi. Saiz meja ini kecil dan sempit. TV pula digantung di dinding bertentangan kaki katil dan saiznya besar, mungkin 55 inci.
Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang untuk pancuran pula adalah separa terbuka. Terdapat pancuran jenis siling dan pegang di ruang pancurannya. Kelengkapan mandian pula lengkap disediakan termasuklah tuala tangan dan muka, serta berus gigi.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 5 dan saiznya besar. Kawasan kolam juga luas tetapi agak kosong dan tidak dihias dengan cantik. Hanya terdapat kerusi-kerusi sahaja disediakan untuk pengunjung duduk bersantai di tepi kolam dan tidak terdapat pokok-pokok bunga untuk menjadikan lanskap di kolam lebih cantik. Hotel ini hanya menyediakan kolam renang untuk dewasa, tidak terdapat kolam renang untuk kanak-kanak.
Di dalam bilik pula wifi percuma yang disediakan sangat laju, mencecah kelajuan 81mbps tetapi tidak begitu stabil. Untuk telco, Celcom mempunyai kelajuan 68mbps sementara Tune Talk sedikit perlahan dengan kelajuan 59mbps. Siaran TV pula agak banyak dan kesemua siarannya adalah di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula sangat kuat dan saya sangat suka mandi di pancurannya. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan mengadap ke Jalan Alor dan juga Lot 10.
Ada beberapa perkara yang saya tidak begitu gemar tentang hotel ini. Selain servisnya yang lambat ketika proses check-in dan sistem lifnya yang agak pelik, pencahayaan (lighting) di dalam biliknya juga tidak begitu baik. Ruang biliknya hanya menggunakan 3 lampu tidur dan salah satunya diletakan di atas meja kerja yang saya rasa tidak sesuai kerana menjadikan ruang meja kerja lebih sempit kerana saiznya yang kecil. Lebih elok jika diletakan lampu bacaan sahaja (atau digantung di dinding untuk menjimatkan ruang). Biliknya memang agak gelap kerana tidak menggunakan lampu siling kecuali di kawasan pintu masuk. Selain itu hotel ini juga tidak menyediakan seterika dan papan seterika yang saya kira sesuatu yang sangat penting terutamanya bagi pengunjung wanita. Seperkara lagi ialah bilik hotel ini tidak kalis bunyi, saya dapat mendengar live band dari restoran di bawah dengan sangat jelas.
Dari segi kebersihan, biliknya memang sangat bersih, cuma interiornya agak kosong. Dari segi lokasi pula, hotel ini sememangnya sangat strategik bagi yang ingin bersiar-siar di sekitar Bukit Bintang. Hotel ini hanya beberapa langkah untuk ke Jalan Alor dan untuk ke Pavilion pula, ianya hanyalah kira-kira 13 minit dengan berjalan kaki. Harga hotel ini pula agak murah jika diambil kira saiz biliknya yang agak besar. Hotel ini juga ada menyediakan parkir yang terletak di Tingkat 2 tetapi saya tidak pasti bayaran yang dikenakan. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak hanyalah 350 meter ke Stesen MRT Bukit Bintang.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Pemandangan dari Hotel
Comments