top of page
Search
hanuds

Sleeping Lion Suites Kuala Lumpur (21-22/10/2023)

Minggu ini saya kembali ke satu hotel yang pernah saya inap pada bulan Jun yang lepas. Hotel yang terletak di Bukit Bintang Kuala Lumpur ini telah memulakan operasinya pada 1 Jun 2023. Hotel ini letaknya di Jalan Walter Granier dan bangunannya adalah di belakang Fahrenheit dan juga Hotel JW Marriott. Jika dahulunya saya menginap di bilik jenis superior, kali ini saya telah memilih bilik jenis deluxe. Bilik deluxe ini berharga RM254 (tanpa sarapan) dan saya telah membuat tempahan secara terus dari website hotel. Sebenarnya bilik jenis superior dan deluxe ini mempunyai keluasan yang sama iaitu 226 kaki persegi tetapi berbeza dari segi tema dan tingkatnya sahaja. Bilik jenis superior berwarna biru dan terletak di tingkat 11 hingga 18 sementara jenis deluxe pula berwarna hijau dan terletak di tingkat yang lebih tinggi, iaitu di tingkat 19 hingga 26.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.22 petang dan terus sahaja ke lobi hotel yang terletak di tingkat bawah. Hotel ini mempunyai lobi yang agak kecil dan selain kaunter terdapat juga sebuah kafe di aras yang sama. Pada masa saya tiba orang telahpun ramai menunggu di ruang lobi. Hotel ini menggunakan sistem nombor untuk proses pendaftaran (check-in). Saya telah mendapat nombor 1074 dan ketika itu nombor yang sedang diservis ialah 1068 (pada Jun lepas hotel ini belum lagi menggunakan sistem ini). Walaupun orang ramai, servis hotel ini cepat kerana nombor giliran saya dipanggil pada pukul 2.35 petang (iaitu hanya kira-kira 13 minit saya menunggu). Proses pendaftarannya cepat dan layanan kakitangannya sangat baik dan ramah. Selepas mendapat kad akses saya terus menaiki lif ke tingkat 21. Terdapat 5 buah lif di hotel ini dan walaupun orang ramai, masa menunggu lif tidaklah lama.


Bilik jenis superior ini kecil sahaja. Sebaik memasuki bilik terdapat tempat menyangkut baju yang terbuka di sebelah kiri pintu masuk. Di sini juga terdapat peti sejuk mini dan juga peti simpanan keselamatan. Di ruang ini juga terdapat seterika dan papan seterika serta peralatan untuk membancuh kopi dan teh termasuklah cerek letrik. Kemudian di sebelah kabinet ini letaknya pintu bilik air. Ruang biliknya ringkas sahaja, selain satu katil king terdapat juga meja kecil di penjuru kiri katil yang seakan-akan meja solek. Di hadapan meja ini disediakan satu kerusi kecil. Di sebelah kiri katil pula terdapat satu kerusi kecil dan juga meja bulat kecil. Hotel ini menyediakan TV yang berukuran 50 inci. Bilik airnya juga sangat kecil menempatkan sinki, tandas dan ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran ada disediakan pancuran jenis siling dan pegang. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi dan tuala tangan. Bilik yang saya inap ini pemandangannya betul-betul mengadap ke Pavilion.


Satu keistimewaan hotel ini ialah kolam renangnya yang terletak di atas bangunan (rooftop) iaitu di tingkat 37. Saiz kolamya agak besar dan ianya mengadap ke Pavilion. Di samping kolam renang dewasa, terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak yang bersaiz kecil. Pemandangan dari kolam renang ini sangat cantik terutamanya di waktu malam. Hotel ini ada menyediakan gimnasium tetapi terletak di bangunan yang bersebelahan yang dihubungkan dengan jejantas di tingkat yang sama. Di tingkat 10 terdapat satu taman yang cantik serta tempat permainan kanak-kanak dan juga tempat untuk bersenam.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana ianya mencecah 29mbps tetapi kelajuan telco tidak begitu memuaskan kerana Celcom hanya mencapai kelajuan 55mbps sementara Tune Talk pula 38mbps. Untuk muat naik (upload) kelajuan telco hanyalah sekitar 3mbps sahaja. Untuk siaran TV pula, hotel ini menyediakan siaran TV yang banyak dan di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati. Untuk yang membawa kenderaan sendiri, hotel ini mempunyai banyak parkir tetapi ianya bukanlah percuma, pengunjung akan dikenakan bayaran RM10 untuk sekali masuk ataupun sehari. Proses daftar keluar (check-out) pula hanya dilakukan sendiri di kiosk yang disediakan di lobi hotel (kakitangan hotel sentiasa ada untuk membantu).


Seperti review saya yang lepas, saya suka dengan hotel ini dari segi pemandangannya dari atas bangunan (rooftop). Walaupun hotel ini hanyalah bertaraf 3 bintang tetapi menyediakan fasiliti yang lengkap. Saiz biliknya kecil tetapi bersih dan dari segi lokasi pula hotel ini sememangnya strategik, hanya 300 meter untuk ke Pavilion. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak hanyalah 240 meter dari stesen MRT Bukit Bintang. Jika pembaca tidak kisah dengan biliknya yang kecil, hotel ini boleh dijadikan pilihan jika berkunjung ke Bukit Bintang cuma elakan berkunjung di hujung minggu untuk mengelakan bertembung dengan pengunjung yang ramai. Menurut pekerja hotel ini, pada 1 November akan datang hotel ini akan membuka semua biliknya dan saya menjangkakan ianya akan lebih sesak dengan pengunjung pada setiap hujung minggu.


Bilik


Bilik Air


Pemandangan dari Bilik


Kolam Renang


Hotel


Pemandangan dari Rooftop


172 views0 comments

Σχόλια


Post: Blog2_Post
bottom of page