Minggu ini saya memilih satu hotel yang baru sahaja beroperasi, iaitu pada 1 Jun yang lepas. Hotel ini letaknya di Jalan Walter Granier iaitu di belakang Fahrenheit dan juga JW Marriott. Saya menempah hotel ini secara terus dari website hotel kerana hotel ini mengadakan promosi sempena pembukaannya. Saya telah memilih bilik superior king yang berharga RM199 (buat masa sekarang harga hotel ini di Booking.com dan Trip.com adalah lebih mahal). Harga tersebut tidak termasuk sarapan pagi dan bilik ini kecil sahaja, hanya berkeluasan 226 kaki persegi.
Saya tiba di hotel agak awal iaitu pada pukul 12.50 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk (check-in). Lobi hotel ini besar dan cantik. Selain kaunter terdapat juga sebuah kafe di lobinya serta beberapa sofa untuk pengunjung duduk sambil menunggu proses pendaftaran. Proses pendaftarannya cepat dan oleh kerana bilik belum lagi sedia, saya diminta untuk duduk terlebih dahulu. Saya hanya menunggu di lobi sahaja dan pada pukul 1.55 tengahari saya telah dihubungi oleh kakitangan hotel yang memaklumkan bahawa bilik saya telah pun siap (waktu check-in hotel ini ialah pada pukul 3.00 petang). Selepas menerima kad akses saya terus sahaja ke bilik saya yang terletak di tingkat 17. Terdapat 5 buah lif di hotel ini dan ruang untuk menunggu lifnya cantik. Oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk menunggu lif tidaklah lama.
Dengan hanya keluasan 226 kaki persegi, bilik superior ini kecil sahaja. Memasuki bilik terdapat rak di sebelah kanan pintu masuk menempatkan tempat untuk meletakan beg dan juga ruang untuk menyangkut baju yang terbuka. Di sini juga terdapat peti sejuk mini dan juga peti simpanan keselamatan yang diletakan di dalam laci. Di atas ruang peti sejuk ini terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh, termasuklah cerek letrik serta air mineral. Di dinding pula terdapat seterika dan papan seterika pula diletakan di bahagian paling atas dan ianya tidak kelihatan (terdapat label di bahagian ini kerana kedudukannya yang tinggi). Selepas rak ini ialah pintu bilik air. Di ruang katil pula, selain satu katil king, terdapat satu kerusi kecil di sebelah kanan katil dan juga satu meja bulat yang kecil. Terdapat satu meja solek di sebelah kanan kaki katil berserta satu bangku kecil. Di dinding bertentangan kaki katil pula digantung TV berukuran 50 inci. Bilik jenis ini tidak mempunyai meja kerja.
Bilik airnya pula sangat kecil menempatkan sinki, tandas dan ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan saiz ruang pancurannya juga agak sempit dan mempunyai pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang pancurannya ditutupi oleh cermin seratus peratus lutsinar dan mempunyai pintu gelongsor. Hotel ini tidak menyediakan berus gigi walaupun menyediakan tuala tangan selain tuala mandi. Sejujurnya saya tidak begitu selesa dengan keluasan bilik mandinya yang sempit.
Salah satu keistimewaan hotel ini ialah kolam renangnya yang terletak di atas bumbung bangunan (rooftop). Kolam renang infiniti ini terletak di tingkat 37 dan saiznya agak besar dan mengadap ke Pavilion. Selain kolam renang untuk dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu ianya dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada jam 8 malam. Selain kolam renang, di aras yang sama juga terdapat menara tinjau (sky deck) di mana pengunjung boleh melihat Bandaraya Kuala Lumpur. Pemandangan dari atas ini sangat cantik terutamanya di waktu malam. Di sini juga terdapat jejantas yang menghubungkan bangunan hotel dengan bangunan kedua (hotel ini sebenarnya terdiri dari 2 buah blok bangunan). Cuma saya tidak pasti samada blok kedua tersebut adalah hotel yang belum beroperasi ataupun residensi. Gimnasium terletak di bangunan kedua ini. Hotel ini juga mempunyai taman di tingkat 10 dan juga taman permainan kanak-kanak serta tempat untuk bersenam.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 10mbps. Untuk telco pula, Celcom mempunyai kelajuan 69mbps sementara Tune Talk pula 62mbps. Untuk siaran TV pula, hotel ini menyediakan agak banyak siaran (terdapat 8 siaran GD Media) dan semua siarannya adalah di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula tidak begitu kuat tetapi saya masih lagi berpuas hati. Bilik yang saya inap ini mengadap ke Pavilion. Hotel ini ada menyediakan parkir dan ianya bukanlah percuma (RM10 untuk sekali masuk). Untuk proses check-out pula pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.
Secara keseluruhannya bagi saya harga RM199 untuk bilik jenis superior king ini adalah murah kerana hotel ini terletak di kawasan Bukit Bintang. Lokasi hotel ini sememangnya sangat strategik di mana ianya hanyalah 350 meter untuk ke Pavilion. Untuk ke Jalan Alor pula, ianya hanyalah 700 meter dan kepada yang menggunakan pengangkutan awam hotel ini letaknya hanyalah 250 meter dari Stesen MRT Bukit Bintang. Jika dibandingkan dengan harga hotel di sekitarnya, sememangnya harga hotel ini jauh lebih murah. Hotel ini masih baru dan segala kelengkapannya juga masih baru. Biliknya sangat bersih dan jika pembaca tidak kisah dengan biliknya yang agak kecil serta bilik airnya yang sempit, hotel ini boleh dijadikan pilihan jika ingin bersiar-siar di sekitar Bukit Bintang. Seperkara lagi yang menarik tentang hotel ini ialah kolam renangnya yang cantik serta mempunyai menara tinjau untuk melihat pemandangan Kuala Lumpur. Saya bercadang untuk ke sini lagi tetapi akan memilih bilik yang lebih besar.
Bilik
Bilik Air
Pemandangan dari Bilik
Kolam Renang
Hotel
Pemandangan dari Rooftop
Comments