Pada minggu ini saya ke satu hotel yang telah memulakan operasinya pada Oktober 2017. Hotel yang berstatus 5 bintang ini terletak bersebelahan dengan Lebuhraya Persekutuan (Federal Highway). Di sebelah hotel ini ialah Hotel Armada dan di seberang jalan pula ialah PJ Hilton. Melalui aplikasi Trip.com saya telah menempah bilik deluxe yang berharga RM318 dan harga ini adalah tanpa sarapan pagi. Harga untuk sarapan pagi di hotel ini ialah RM58 bagi pengunjung hotel.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.40 petang dan terus sahaja ke lobi hotel yang terletak di tingkat 3. Lobinya agak besar tetapi sangat ringkas (simple). Proses daftar masuk (check-in) hanya mengambil masa beberapa minit dan hotel ini mengenakan deposit sebanyak RM200. Setelah menerima kad akses saya terus sahaja menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 6. Terdapat 6 lif di hotel ini, tetapi ianya terbahagi kepada 2 bahagian. 3 lif untuk ke tingkat bawah (ground floor), parkir dan juga beberapa tingkat yang menempatkan ballroom sementara 3 lif lagi untuk ke bilik penginapan. Saya tidak begitu gemar dengan lif di hotel ini kerana ianya agak mengelirukan dan juga agak lambat.
Bilik deluxe hotel ini mempunyai keluasan 398 kaki persegi dan ianya cantik (warna biliknya mengingatkan saya kepada Hotel DoubleTree Kuala Lumpur). Sebaik memasuki bilik, terdapat sebuah almari berpintu gelongsor yang sederhana besar di sebelah kiri pintu masuk. Almari ini selain menempatkan tempat menyangkut baju, terdapat juga peti simpanan keselamatan, seterika, papan seterika serta lampu suluh. Selain itu 2 jubah mandi (bathrobe) digantung di dalam almari ini berserta 2 pasang selipar. Kemudian di sebelah almari ini terdapat satu sofa untuk pengunjung meletakan beg. Di sebelah kanan pintu masuk pula terletak bilik air dan di sebelah pintu bilik air ini terdapat kabinet menempatkan peti sejuk mini serta peralatan untuk membancuh kopi dan juga teh yang diletakan di dalam laci.
Di ruang bilik pula selain satu katil king terdapat sebuah sofa bujang dan satu meja bulat kecil di hadapannya. Meja kerja pula terletak di bahagian kanan kaki katil dan saiznya agak besar, serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Terdapat satu lampu bacaan di atas meja ini. Hotel ini menyediakan TV yang agak besar, bersaiz 55 inci yang digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Bilik air hotel ini mempunyai pintu gelongsor yang tidak boleh dikunci. Saiz bilik airnya tidaklah besar tetapi mempunyai tub mandi (bathtub), selain sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran. Tandas di hotel ini tidak menyediakan gelung paip dan di ruang pancurannya pula terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang pancuran ini tidak begitu besar, begitu juga dengan saiz tub mandinya. Hotel ini mempunyai dinding seratus peratus lutsinar iaitu antara bilik air dan katil, tetapi ianya mempunyai bidai yang dikawal sepenuhnya dengan menggunakan suis.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di atas bangunan (rooftop), iaitu di tingkat 33 tetapi saiznya tidaklah besar. Selain kolam renang untuk dewasa, terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak di sebelahnya. Kolam renang ini dibuka pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 7 petang. Di sebelah kolam renang ini terdapat sebuah bar yang beroperasi dari 3 petang hingga 12 tengah malam. Di aras yang sama juga terdapat sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam.
Hotel ini menyediakan wifi percuma yang agak laju di mana kelajuannya mencapai 24mbps tetapi telco sedikit bermasaalah di hotel ini kerana hanya mendapat 1 atau 2 bar sahaja. Tune Talk hanya mempunyai kelajuan 39mbps sementara Celcom pula 27mbps dan untuk muatnaik (upload) kelajuannya hampir 0mbps. Siaran TV yang disediakan tidaklah banyak tetapi ianya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat puas mandi di pancurannya. Servis in-room dining di hotel ini beroperasi 24 jam dan harga makanannya tidaklah begitu mahal. Saya mencuba nasi goreng yang berharga RM36 dan juga jus tembikai berharga RM23. Nasi gorengnya agak sedap (setakat ini nasi goreng kampung yang paling sedap bagi saya ialah di Hilton Garden Inn Puchong). Hotel ini juga ada menyediakan parkir tetapi pengunjung akan dikenakan bayaran RM5 untuk sekali masuk (tiket parkir perlu disahkan di kaunter).
Hotel ini bagi saya tidak begitu menarik walaupun biliknya cantik tetapi saya tidak begitu suka dengan lampu yang digunakan kerana secara terus dari siling (direct lighting). Persekitarannya agak biasa begitu juga di kolam renangnya. Lokasi hotel ini jauh dari kedai makan serta kedai serbaneka menyukarkan pengunjung untuk makan (kecualilah membawa kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam) dan saya memesan makanan menggunakan perkhidmatan Foodpanda. Cuma hotel ini terletak hanyalah 300 meter ke stesen LRT Asia Jaya, memudahkan pengunjung untuk menggunakan LRT. Jika disuruh membuat pilihan, saya lebih suka hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur kerana bukan sahaja persekitaran hotelnya yang begitu cantik, biliknya juga lebih besar dan lokasinya yang lebih menarik.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Comments