top of page
Search
hanuds

Seoul (18-23/2/20)

Updated: Nov 19, 2020

Sebenarnya Korea ni takde pun dalam senarai negara2 yang berminat untuk pergi. Tak tahula macam mana tiba2 pulak boleh pergi ke Seoul. Mungkin selama ni banyak mendengar cerita2 yang kurang enak pasal Korea ni terutamanya makanannya. Ramai bercerita makanan Korea ni memang tak boleh masuk dengan selera kita orang melayu ni. So sebab tu la kot macam tak berminat aje pergi negara K-Pop ni.


Hajat nak ke Korea ni bermula bila kawan2 ajak travel ke negara yang ada 4 musim. Nak merasa musim sejuk (winter) la pulak katanya, nak merasa pakai baju tebal2. Dulu ke Osaka Jepun kami pergi pada musim luruh (autumn). So bila Airasia adakan big sales, aku pun gigihla cari tiket ke Seoul. Disebabkan taknak gi betul2 musim sejuk (sebab ada yang tak tahan sejuk), kami cari tarikh di penghujung musim sejuk iaitu bulan Februari atau awal Mac. Biasalakan nak beli tiket Airasia ni kalau nak murah kita kenalah ikut tarikh mereka, bukan ikut suka kita bila nak pergi. So dapatlah tiket murah iaitu RM650 (return) pada 18/2/20 dan pulang ke Malaysia pada 23/2/20 (lebih kurang 5 hari di Seoul). Tiket tu memang murahla jika dibandingkan harga normal dalam RM1200 ke RM1300 (return). Satu tip kalau nak dapatkan harga tiket yang murah ialah beli tiket awal. Lagi jauh tarikh penerbangan lagi murah boleh dapat sebenarnya. Tiket ke Seoul in kami beli pada bulan Mac 2019 (11 bulan sebelum fly).


Setelah berbincang dengan rakan2 yang lain, kami mengambil keputusan untuk mengambil tour guide semasa kami berada di sana nanti. Yang pertamanya malas nak study pasal Seoul ni, yang keduanya senang kalau ada jurubahasa semasa di sana nanti. Kebetulan rakan sekerja pernah ke Seoul, saya pun bertanyakan beliau tour guide yang sama. Lalu saya pun berhubung dengan beliau dan membayar deposit pada Bulan Julai 2019. Alang2 kami mengambil beliau sebagai tour guide, kami pun minta dia carikan homestay untuk kami di Seoul nanti. Jadi pakej yang ditawarkan kepada kami termasuklah homestay, tambang pengangkutan awam dan juga upah tour guide (makan biasala kami suka bayar sendiri, sebab boleh buat pilihan nanti).


Dalam trip ni kami seramai 9 orang semuanya. Flight ke seoul pada 18/2/20 pada jam 1.10 pagi. So pada petang 17/2/20 tu kami bertolak ke KLIA2 dengan manaiki bas dari KL Sentral. Kami menaiki bas kira2 pukul 8.00 malam dan sampai di KLIA2 dalam pukul 9.15 malam. Sampai di KLIA2 seperti biasa kami lepak2 di food court dahulu sambil minum2 (makan tunggu dalam flight la kan). Sebelum masuk ke balai berlepas aku pergi ke kaunter Travel Recommend untuk mengambil wifi yang kami sewa untuk digunakan semasa di Seoul nanti (RM133 untuk 2 device untuk 5 hari). Dalam pukul 11.30 malam kami pun masuk ke balai berlepas dan kira2 pukul 1.10 pagi 18/2/20 kami pun terbang ke Seoul.



Hari pertama


Setelah puas tidur di dalam flight, kami tiba di Seoul kira2 pukul 8.40 pagi waktu Korea (waktu Korea adalah sejam awal dari waktu Malaysia). Penerbangan mengambil masa kira2 6 jam 30 minit. Sampai di airport pilot mengumumkan yang suhu di luar adalah kira2 6 darjah celcius di bawah paras beku (-6 la tu kan). Dari airport perlu menaiki train untuk ke balai ketibaan. Tak sampai pun 10 minit rasanya. Bila tiba di balai ketibaan aku pun whatsapp tour guide yang akan membawa kami sepanjang berada di Seoul nanti. Beliau merupakan pelajar di salah satu universiti di Seoul. Nama pelajar itu Afiq (umur baru 21 tahun, yela pelajar kan).




Bila Afiq tiba kami pun bergerak ke bandar Seoul dengan menaiki bas. Adalah dalam 40 minit juga. Sampai di perhentian bas tu kami berjalan kaki ke homestay (jauh gakla jalan kaki, nasib cuaca sejuk). Bila tiba di homestay kami pun letak beg dan berehat sekejap (penat tu jalan kaki). Homestay yang kami tinggal tu mempunyai 4 bilik dan 2 bilik air dan boleh memuatkan 12 orang (4 + 4 + 2 + 2). So agak besarlah bagi kami 9 orang. Yang penting bersih dan selesa.




Aktiviti pertama kami di Seoul sebaik aje tiba ialah makan tengahari (sejuk2 laparla kan). Kami menaiki train ke satu restoran yang menyediakan makanan halal di Seoul. Pertama kalila kan cuba masakan korea ni, dan agak terkejut juga sebenarnya sebab makanan yang dihidangkan tu sangat sedap dan sesuai dengan tekak melayu macam kami ni. Bila dah habis makan kenala bayarkan. Kos makan tengahari di situ ialah 69K won (RM240.81).




Selepas kenyang makan tengahari kami pun menaiki train menuju ke destinasi kami yang pertama iaitu Hangang Parks yang terletak di tepi Han River.




Selepas itu kami menaiki train untuk shopping di Myeongdong yang terkenal dengan peralatan kosmetik. Pelik gakla kan, yang pergi semuanya lelaki tapi sibukla pulak nak shopping kosmetik. Layan kan ajelah kan. Dalam pada rakan2 sibuk shopping peralatan kosmetik, yang tak berkenaan tu macam biasala jalan2 sambil mencuci mata.




Selesai shopping kami pun menaiki train pulang ke homestay. Sebelum sampai tu kami singgah minum kopi di satu café yang terletak di kawasan homestay kami tinggal. Kiranya itulah dinner kami pada hari pertama kami di Seoul. Habislah juga 42,400 won (RM147.98). Selepas minum kopi kami pun pulang ke homestay untuk berehat. Tamatlah hari pertama kami di Seoul.




Hari kedua


Pada hari kedua kami di Seoul, destinasi pertama kami ialah ke Gyeongbokgung Palace. Untuk ke situ kami menaiki train. Sampai di palace tersebut kami sempat melihat upacara pertukaran pengawal. Upacara yang agak unik dan penuh tradisi ini memang menjadi kegemaran pelancung yang datang ke sini. Selepas menyaksikan upacara tersebut kami meninjau di dalam Gyeongbokgung Palace tu. Memang luas kawasannya, nama pun palace kan.




Sesudah puas berjalan di dalam palace tersebut kami pun keluar berjalan kaki ke Bukchon Hanok Village. Ianya merupakan satu kawasan yang terletak di atas bukit yang menempatkan rumah2 tradisional Korea. Rumah2 ini sebenarnya masih lagi didiami sehingga sekarang.




Selepas penat berjalan di Gyeongbokgung Palace dan Bukchon Hanok Village, kami pun singgah di satu restoran halal untuk makan tengahari. Kos untuk makan pada kali ini ialah 74K won (RM258.26).




Selepas mengisi perut kami pun berjalan kaki untuk ke Cheonggyecheon Stream. Ini merupakan sungai yang mengalir di tengah2 Bandar Seoul. Airnya yang jernih menjadikan ianya salah satu tumpuan pelancung yang datang ke Seoul.




Dalam perjalanan pulang ke homestay kami menaiki train dan bas untuk makan malam di salah satu restoran halal di Seoul yang terletak berhampiran Kyung Hee University, university di mana Afiq belajar. Rumah sewa Afiq juga berada di sekitar kawasan ini. Belanja makan malam untuk hari kedua ini ialah 100K won (RM349.00). Selepas itu kami pulang ke homestay.




Hari ketiga


Pada hari ketiga kami di Seoul, kami pergi ke Nami Island. Siapa yang tak tahukan Nami Island ni. Terkenal dengan drama Korea, Winter Sonata. Untuk ke Nami Island kami menaiki train. Banyak kali jugala kami tukar train sebelum sampai ke Gapyeong, stesen yang paling hampir dengan Nami Island tu. Dari stesen keretapi ke jeti kami menaiki teksi.



Sampai di jeti Afiq pun membeli tiket dan kami pun menaiki feri untuk ke Nami Island. Nami Island ini sebenarnya adalah sebuah pulau yang terletak di Han River. Sampai di Nami Island kami pun makan tengahari di sebuah restoran halal yang terdapat di pulau tersebut, 147K won atau RM513.03. Tak cukup makan tengahari kami minum kopi dan makan aiskrim (tapi yang ni Abang Mat yang belanja).



Selepas makan tengahari kami pun pusing2 Nami Island sambil posing sakan. Walaupun terkenal dengan Winter Sonata, takdela sangat terasa disebabkan winter dah di penghujung. Hanya beberapa tempat aje yang masih diseliputi salji.



Selepas puas bergambar sakan kami pun pulang semula ke Seoul dengan menaiki teksi dan juga train. Sampai di Seoul hari pun sudah malam dan kami makan malam di salah satu restoran halal di situ. Kos makan pada malam ini ialah 86K won (RM300.14). Selepas itu kami pulang ke homestay.




Hari keempat


Tujuan utama pada hari keempat kami di Seoul ialah pergi ke Seoul Tower. Untuk ke Seoul Tower kami menaiki train dan juga bas.




Selepas ronda2 di Seoul Tower kami menaiki bas untuk ke Itaewon bagi menunaikan solat Jumaat di Seoul Central Mosque. Masjid ini kebanyakkannya dipenuhi oleh orang asing, samada yang bekerja di Seoul atau pun pelancung. Memang ramai jemaahnya sampai ke luar dan tangga masjid.


Selepas menunaikan solat Jumaat kami makan di salah satu restoran halal berhampiran masjid. Memang banyak restoran halal di kawasan Itaewon tu, pilih ajelah nak makan apa. Makan tengahari pada hari itu habislah 100K won (RM349.00).




Selepas mengisi perut kami menaiki train untuk shopping di Namdaemun Market.




Selesai shopping kami menaiki train untuk makan malam di Restoran Kampungku. Restoran ini dimiliki oleh orang Malaysia, tak silap aku dari Terengganu. Harga dinner pada malam itu ialah 136,500 won (RM476.39). Makanan sedap tapi disebabkan ramai yang masih kenyang, banyak makanan yang tak habis dan kami tapau bawa balik ke homestay. Sebelum balik ke homestay sempat lagi kami shopping di Myeongdong.




Pada malam ni kami tak kasi Afiq balik, dia tidur di homestay bersama kami.


Hari kelima


Hari ini adalah hari terakhir kami di Seoul sebab besoknya kami akan pulang ke Malaysia. Tujuan kami pada hari terakhir ini hanyalah satu, gi main ski (konon2nya la). So pada hari ini kami ke Vivaldi Park.


Untuk ke situ kami perlu menaiki bas. Tiket bas telah dibeli awal oleh Afiq. Kami keluar dari homestay dengan berjalan kaki ke tempat di mana bas akan mengambil kami. Dalam 30 minit kami menunggu bas pun tiba dan kami menaiki bas tersebut untuk ke Vivaldi Park.



Jauh juga Vivaldi Park ni dari Seoul, dalam 2 jam juga la menaiki bas. Sampai di Vivaldi Park kami membeli tiket cable car untuk ke atas. Harga tiket untuk seorang dewasa ialah 10K won (RM34.90). Sampai di atas tu hajatnya nak cuba la main ski tapi belum pun sempat kami di arahkan untuk segera turun disebabkan cuaca yang buruk (kalau cuaca buruk cable car akan berhenti beroperasi dan mereka tak mahu kami terperangkap di atas). Sempat juga la main ais sekejap (adala dalam 30 minit kot). Kami pun turun semula menaiki cable car.




Sampai di bawah kami pun makan tengahari, habislah 117,500 won (RM410.08).



Lepas tu kami ke surau yang ada di situ untuk menunaikan solat Jamak. Tengah kami berborak2 di dalam surau tu tiba2 kat luar snow turun dengan agak lebat. Apa lagi kami pun cepat2 pakai jaket dan main snow kat luar (jakun gakla sekejap, yela kan mana pernah tengok snow ni depan mata). Lama jugala snow turun pada petang tu. Puas gakla kami main snow.



Vivaldi Park ni sebenarnya terbahagi kepada 2. Satu untuk bermain ski (yang telah kami naik tadi) dan satu lagi taman tema (Snowyland). Kedua2nya ada cable car masing2 (tiket dijual berasingan). Disebabkan masa banyak lagi kami mengambil keputusan untuk naik cable car ke Snowyland. Tiket berharga 30K won untuk dewasa (RM104.70). Sampai di atas sana snow turun dengan lebat. Memang puaslah kami main snow pada hari tu. Sebelum turun kami minum kopi di atas tu (50K won atau RM174.50). Selesai minum kopi kami turn semula menaiki cable car.



Kami pun pulang ke Seoul menaiki bas dalam pukul 5.30 petang. Sampai di Seoul sekali lagi kami shopping di Myeongdong. Sempat gakla aku beli sehelai baju Uniqlo.


Selepas habis shopping kami menaiki train untuk pulang ke homestay. Pada malam tu kami tak makan malam, hanya makan mee segera Korea (sedap juga la). Malam ni Afiq tak balik juga, tidur di homestay.


Hari keenam


Tiba masa untuk kami pulang ke Malaysia. Pagi2 kami berkemas dan bertolak ke airport dengan menaiki bas pada pukul 11 pagi. Kami tiba di airport dalam 40 minit. Selesai check-in luggage kami pun lunch di restoran makanan segera yang terdapat di airport. Dalam pukul 2.30 petang kami masuk ke balai berlepas. Kami solat Jamak di luar aje disebabkan surau tutup (covid-19 punya pasal). Dalam pukul 3.55 petang kami fly pulang ke Malaysia dan tiba di KLIA2 pada pukul 9.40 malam (waktu Malaysia).




Nota:


Itulah serba ringkas kisah trip aku ke Seoul bersama 8 lagi rakan yang lain. Memang pada mulanya tak begitu minat untuk ke Korea ni tetapi selapas trip ini keinginan untuk ke saana tu makin tinggi. Betul lah orang kata, tak kenal maka tak cinta. Kita perlu pergi tengok dan alami sendiri pengalaman ke negara orang baru lah kita dapat merasakan pengalamannya.


Dari segi makanan pula, memang sedap makanan Korea ni. Betul lah kata Afiq, kita makan ni tengok juga kedai yang dibawa. Kalau kedai tu sedap, maka sedaplah rasanya, serupa juga kita makan di sini. Satu kelebihan kalau kita ambik tour guide student ni, dia tahu aje kat mana restoran yang sedap. Yelahkan dia memang hidup di kawasan tu. Sampaikan ada satu restoran tu yang Afiq tak pernah bawa group lain, hanya group kami aje yang dia bawa ke situ. Restoran tu tempat dia makan hari2. Untuk Afiq terima kasih kerana melayan kerenah kami 9 orang ni. Lain kali kita plan pergi Busan atau Jeju Island pulak.


Sampai sekarang susah nak move on trip Korea ni, sebab ini adalah trip last sebelum PKP. Jumlah keseluruhan perbelanjaan ke Seoul ialah RM2,700.00 (termasuk flight).

54 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page