top of page
Search

BRIX KLIA by Pinetree (12-13/4/25)

  • hanuds
  • 6 days ago
  • 2 min read

Dari Kuala Lumpur saya ke daerah Sepang di Selangor untuk ke satu lagi hotel. Sebenarnya saya pernah ke sini iaitu pada Januari lepas. Lokasi hotel ini letaknya di persimpangan Kota Warisan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Saya membuat tempahan secara terus melalui website hotel dan memilih bilik yang sama, iaitu jenis Loft. Bilik ini berharga RM189 dan harga ini tidak termasuk cukai dan juga sarapan pagi.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi, iaitu di tingkat bawah. Lobinya agak luas dan selain kaunter terdapat juga sebuah restoran dan juga kedai serbaneka. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan saya terus menerima kad akses bilik kerana bilik saya telahpun sedia. Pada kali ini bilik saya juga berada di Tingkat 1 tetapi berlainan unit. Hotel ini hanya mempunyai empat tingkat dan terdapat dua buah lif.


Bilik jenis Loft ini kecil sahaja tetapi kelihatan agak luas kerana ruangnya yang kosong. Berkeluasan 172 kaki persegi ianya hanya menempatkan sebuah katil queen, sebuah meja kerja serta satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini dan juga peti simpanan keselamatan serta perkakas untuk membancuh minuman. Kabinet ini terletak di sebelah kiri katil. Di atasnya terdapat satu rel besi untuk pengunjung menyangkut baju mereka. Meja kerja pula terletak bertentangan dengan kaki katil dan saiznya kecil sahaja. Di sebelah kiri meja kerja ini terdapat seterika dan juga papan seterika yang disangkut di dinding. Di dinding atas meja kerja pula digantung TV yang berukuran 50 inci.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya hanya dipisahkan dengan langsir. Hotel ini tidak menyediakan peralatan mandian, hanya menyediakan tuala mandi dan juga tuala muka.


Hotel ini menyediakan wifi percuma yang laju di mana kelajuannya mencecah 121mbps tetapi ianya tidak begitu stabil. Untuk telco pula, Tune Talk mencapai kelajuan 377mbps sementara CelcomDigi pula 320mbps. Untuk siaran TV pula, hotel ini hanya menyediakan beberapa siaran asas tetapi ianya di dalam bentuk HD. Tekanan air pula tidak begitu kuat dan saya tidak begitu gemar jenis pancuran yang digunakan. Antara fasiliti lain yang disediakan di hotel ini ialah sebuah gimnasium mini dan juga bilik permainan yang terletak di Tingkat M. Di situ juga terdapat sebuah bilik untuk pengunjung memasak serta sebuah surau.


Hotel ini bagi saya agak mahal tetapi ianya selesa serta bersih. Jika pengunjung tidak kisah dengan harganya yang agak mahal, hotel ini boleh dijadikan transit untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) samada Terminal 1 ataupun Terminal 2 kerana jaraknya hanyalah kira-kira 10km sahaja. Pengunjung juga boleh membeli-belah di Mitsui Outlet Park yang terletak 5km dari hotel ini. Kepada yang datang dengan pengangkutan awam, hotel ini hanyalah 4.5km untuk ke Stesen ERL Salak Tinggi.


Bilik



Bilik Air



Hotel



 
 
 

Comments


Post: Blog2_Post
  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2020 by Bumi dipijak langit dijunjung. Proudly created with Wix.com

bottom of page