Hyatt House Kuala Lumpur, Mont Kiara (19-20/4/25)
- hanuds
- 10 hours ago
- 3 min read
Dari hotel rangkaian Marriott saya ke satu hotel di bawah rangkaian Hyatt pula yang terletak di Mont Kiara. Hotel kepunyaan UEM Sunrise Berhad ini telah memulakan operasinya pada 3 Disember 2018. Ianya terdiri dari 298 bilik termasuk 255 residen. Dengan menggunakan aplikasi World of Hyatt saya telah memilih bilik jenis Studio Suite yang berharga RM388.80. Harga ini sudah termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.50 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di tingkat bawah. Lobi dan kaunter hotel ini tidaklah besar dan selain kaunter terdapat juga sebuah restoran di belakang kaunter. Proses daftar masuk mengambil masa sekejap sahaja dan saya terus mendapat kad akses bilik kerana bilik saya telahpun sedia. Kakitangan yang bertugas sangat ramah dan beliau menaik taraf bilik saya secara percuma kepada bilik jenis suite yang mempunyai satu bilik dan satu katil king. Bilik jenis ini mempunyai keluasan 538 kaki persegi (bilik Studio Suite yang saya tempah mempunyai keluasan 431 kaki persegi). Bilik yang saya inap ini terletak di Tingkat 30 dan hotel ini mempunyai 4 buah lif.
Bilik jenis studio dengan satu bilik ini mempunyai tiga bahagian utama. Bahagian pertama ialah bahagian dapur yang terdapat di pintu masuk bilik. Di ruang ini terdapat singki dan juga dapur letrik. Di sebelah kiri dapur letrik terdapat peti sejuk yang besar (dua pintu) sementara di sebelah kanan singki pula terdapat ketuhar gelombang mikro dan di bawahnya terdapat mesin basuh yang diletakkan di ruang tertutup. Mengasingkan bahagian dapur dan juga ruang rehat terdapat satu meja bar serta beberapa kerusi. Hotel ini menyediakan perkakas memasak yang lengkap seperti periuk dan pinggan mangkuk.
Di bahagian kedua pula iaitu di sebelah bahagian dapur terdapat bahagian yang menempatkan sofa yang besar serta beberapa meja yang kecil. Di dinding bertentangan dengan sofa ini pula digantung TV yang besar, mungkin bersaiz 65 inci. Di sini pengunjung bolehlah duduk dan bersantai sambil menonton TV.
Antara ruang dapur dan ruang sofa terdapat pintu untuk ke bilik tidur. Biliknya agak luas menempatkan satu katil king. Di sebelah kanan katil terdapat satu almari yang agak besar yang menempatkan peti simpanan keselamatan. Di dalam almari ini juga terdapat tempat untuk menyangkut baju, seterika serta papan seterika. Terdapat dua pasang jubah mandi (bathrobe) digantung di dalam almari ini. Bertentangan dengan almari ini pula terdapat meja kerja yang panjang serta sebuah kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Bertentangan dengan kaki katil terdapat TV bersaiz 40 inci yang digantung di dinding.
Bilik air pula terletak di sebelah kiri katil yang menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Saiz bilik mandinya agak kecil dengan ruang pancuran yang ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar. Di sebelah mangkuk tandas terdapat gelung paip dan di ruang pancuran pula terdapat dua jenis pancuran. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala muka dan juga tuala tangan.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di atas bangunan (rooftop) iaitu di Tingkat 37 tetapi buat masa sekarang ianya ditutup bagi proses pengubahsuaian. Di sini juga terdapat sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam. Di dalam bilik pula wifi percuma yang disediakan hanya mencapai kelajuan 10mbps sementara untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 443mbps dan Tune Talk 236mbps. Hotel ini menyediakan Smart TV dengan beberapa siaran asas sahaja tetapi di dalam bentuk HD. Di ruang pancuran pula tekanan airnya kuat dan saya suka mandi di pancurannya.
Hotel ini sebenarnya lebih kepada sebuah residen, mempunyai saiz bilik yang besar dan terletak pula di kawasan elit iaitu Mont Kiara. Ianya sesuai kepada sebuah keluarga untuk berehat dan bersantai di hotel. Lokasi hotel ini terletak 3.2km dari Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dan 3km untuk ke pusat membeli belah Publika. Hotel ini ada menyediakan parkir dengan bayaran RM12 untuk pengunjung hotel. Kepada yang ingin datang menggunakan pengangkutan awam, stesen MRT yang paling hampir ialah Stesen MRT Phileo Damansara (Laluan Kajang) iaitu kira-kira 6.5km.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Pemandangan dari Bilik

Comments