Moxy Kuala Lumpur Chinatown (18-19/4/25)
- hanuds
- 7 hours ago
- 3 min read
Oleh kerana saya perlu ke pejabat seawal 3 pagi, saya sekali lagi menginap di hotel ini, iaitu hotel yang sama pada minggu lepas. Hotel ini telah memulakan operasinya pada 1 April yang lalu. Terletak di Jalan Hang Lekiu, bangunan asalnya merupakan ibu pejabat Oriental Bank (selepas itu EON Bank) sebelum diubah suai untuk dijadikan hotel. Hotel ini adalah kepunyaan YTL Corporation dan salah satu hotel di bawah rangkaian Marriott. Sekali lagi saya menggunakan aplikasi Marriott Bonvoy untuk menempah bilik hotel ini dan memilih bilik deluxe yang berharga RM325.50. Harga ini termasuk sarapan untuk dua orang tetapi tidak termasuk cukai dan caj perkhidmatan.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.50 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di tingkat bawah. Lobi hotel ini agak besar dan mempunyai interior yang sangat cantik. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja kerana saya telahpun membuat daftar masuk secara atas talian. Pada mulanya saya diberi bilik yang sama dengan bilik minggu lepas iaitu bilik bernombor 1208. Saya meminta kepada kakitangan yang bertugas untuk menukar kepada bilik yang lain. Saya pun diberi bilik di Tingkat 15. Hotel ini mempunyai 4 buah lif.
Bilik yang saya inap pada kali ini agak berlainan bentuknya dari bilik pada minggu lepas tetapi keluasannya tidak banyak beza. Memasuki bilik terdapat ruang tandas di sebelah kiri lorong masuk diikuti dengan ruang pancuran yang terpisah antara keduanya. Di ruang tandas terdapat gelung paip dan di ruang pancuran pula terdapat dua jenis pancuran. Kedua-dua ruang ini sama besar dan agak sempit. Di sebelah kanan lorong masuk ini terdapat tempat untuk menyangkut baju yang terbuka.
Di ruang bilik pula, sebuah katil queen diletakkan di tepi tingkap. Di bawah katil ini terdapat ruang kosong untuk pengunjung meletakkan beg mereka. Di sebelah kiri katil terdapat sebuah kerusi rehat serta satu lampu tidur. Bertentangan dengan kaki katil pula terdapat satu kabinet yang menempatkan TV berukuran 55 inci. Ruang singki pula terdapat di sebelah ruang pancuran. Di bahagian ini juga terdapat peti simpanan keselamatan serta peti sejuk mini. Di sebelah singki terdapat perkakas untuk membancuh minuman. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala tangan serta tuala muka.
Untuk menjimatkan ruang, hotel ini menyediakan satu meja lipat dan juga dua kerusi lipat yang digantung di dinding bersebelahan ruang singki. Pengunjung bolehlah menggunakan meja ini untuk membuat kerja-kerja pejabat ataupun untuk makan dan minum. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan yang sangat cantik, iaitu mengadap ke Bangunan Menara Maybank dan juga Menara Kuala Lumpur.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di Tingkat 9. Kolam renangnya agak besar terletak di kawasan yang terbuka. Apa yang menarik kolam renang ini mempunyai pemandangan yang cantik iaitu mengadap ke Bangunan Merdeka 118 serta Menara Maybank. Di tepi kolam renang terdapat sebuah bar serta sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam.
Di dalam bilik, wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 15mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 278mbps sementara Tune Talk pula 148mbps. Hotel ini menyediakan Smart TV dengan hanya beberapa siaran asas tetapi ianya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat berpuas hati dengan pancurannya. Sarapan pula adalah di restoran yang terletak di Tingkat 2. Sarapan di hotel ini agak ringkas di mana hanya menyediakan beberapa menu sahaja tetapi bagi saya ianya sudah memadai.
Seperti ulasan saya pada minggu lepas, saya sangat menyukai interior hotel ini yang begitu cantik. Jika pengunjung suka mengambil gambar (ootd), hotel ini bolehlah dijadikan salah satu pilihan untuk bergambar. Lokasi hotel ini pula terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur, hanya 500 meter untuk ke Dataran Merdeka dan 350 meter untuk ke Masjid Jamek. Cuma saya tidak begitu gemar kedudukannya yang terletak di kawasan yang dipenuhi oleh warga asing. Di malam hari pula, kawasan ini dipenuhi dengan golongan gelandangan menyebabkan pengunjung mungkin tidak begitu selesa untuk bersiar-siar di waktu malam. Layanan kakitangan hotel ini sangat ramah dan begitu mesra apabila bertemu dengan pengunjung mereka akan menegur dengan sopan. Tindakan mereka juga pantas bilamana bilik saya tidak dapat dibuka kerana terkunci dari dalam, mereka hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk menyelesaikannya. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini berdekatan dengan Stesen LRT Masjid Jamek iaitu kira-kira 290 meter sahaja.
Bilik
Bilik Air
Lobi
Kolam Renang
Hotel
Sarapan
Pemandangan
Comments