top of page
Search
hanuds

Scarletz Suites KLCC (23-24/9/24)

Sekembalinya dari Phuket saya terus menginap di satu suites cantik yang terletak di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur. Saya sebenarnya pernah ke sini iaitu pada May 2023. Suites ini mempunyai banyak host dan saya masih memilih Mykey Global kerana harganya yang lebih murah serta biliknya yang cantik. Saya masih menggunakan aplikasi Booking.com tetapi memilih bilik yang lain, iaitu jenis deluxe studio. Harga bilik ini ialah RM165.94 (harga termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi).


Saya tiba di suites pada pukul 7 petang dan terus sahaja ke kaunternya yang terletak di tingkat bawah (ground floor). Lobinya tidak begitu luas tetapi agak cantik. Proses daftar masuk (check-in) sekejap sahaja dan host Mykey Global mengenakan deposit sebanyak RM200. Sebaik menerima kad akses bilik saya terus menaiki lif ke Tingkat 19. Bangunan suites ini mempunyai 47 tingkat dan terdapat 4 buah lif di suites ini.


Bilik deluxe studio ini mempunyai keluasan 275 kaki persegi dan ianya agak luas. Sebaik memasuki bilik terdapat ruang dapur di sebelah kanan pintu masuk sementara bilik air pula terletak di sebelah kiri. Dapurnya lengkap dengan dapur letrik dan juga gelombang mikro (microwave). Terdapat juga singki di ruang ini serta mesin air minuman. Kelengkapan dapur lengkap disediakan yang diletakkan di dalam kabinet.


Ruang katil pula menempatkan satu katil queen. Di sebelah kanan katil terdapat sat meja bulat tinggi serta dua kerusi. Di penjuru kiri kaki katil terdapat kabinet untuk menyimpan barang-barang dan menyangkut baju. Di dalam almari ini terdapat seterika dan papan seterika serta peti simpanan keselamatan. Di sebelah kabinet ini terdapat meja kerja serta satu kerusi. Di atas meja ini diletakkan satu Smart TV  berukuran 40 inci.


Bilik airnya kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancurannya pula hanya terdapat pancuran jenis pegang. Ruang pancurannya agak luas separa tertutup dengan cermin seratus peratus lutsinar. Host Mykey Global ini ada menyediakan berus gigi tetapi hanya menyediakan tuala mandi sahaja.


Satu perkara yang saya suka mengenai suites ini ialah kolam renangnya yang sangat cantik. Kolam renang infiniti ini terletak di Tingkat 47 dan ianya mempunyai pemandangan yang cantik terutama di waktu malam. Kolam renang ini dibuka pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 10 malam. Selain kolam renang, suites ini juga ada menyediakan gimnasium di Tingkat 48 serta bilik permainan kanak-kanak dan taman di Tingkat 8.


Untuk wifi percuma, kelajuannya mencecah 111mbps dan telco pula mempunyai kelajuan 271mbps (CelcomDigi) dan 106mbps (Tune Talk). Tekanan air di bilik mandi pula kuat. Host ini hanya menyediakan Smart TV tanpa siaran percuma. Bagi yang membawa kenderaan pula, parkir disediakan di Tingkat 2 hingga 7 dan bayaran RM5 dikenakan untuk sekali masuk.


Secara peribadi saya memang suka dengan suites ini, terutama kolam renangnya yang sangat cantik. Suites ini juga terletak berdekatan dengan KLCC, hanya 800 meter iaitu kira-kira 12 minit dengan berjalan kaki. Fasilitinya lengkap begitu juga dengan harganya yang murah. Jika menggunakan  pengangkutan awam, Stesen LRT yang paling hampir ialah Stesen LRT KLCC dan juga Stesen MRT Ampang Park (kira-kira 750 meter). Hanya satu perkara yang saya tidak begitu suka iaitu lifnya yang lambat. Dengan jumlah tingkatnya sebanyak 47, suites ini hanya mempunyai 4 buah lif sahaja. Seperkara lagi, biliknya tidak sesuai bagi yang telah berkeluarga (yang mempunyai anak) kerana dinding bilik airnya yang seratus peratus lutsinar. Walaupun ianya ditutupi oleh cermin muka dari bilik air, ianya bukanlah sepenuhnya, di bahagian bawah terdapat ruang kosong di mana pengunjung dapat melihat ke bilik air dari katil dengan sangat jelas. Saya bercadang untuk kembali lagi ke suites ini dan memilih bilik yang lain pula.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



120 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page