top of page
Search
hanuds

Santa Grand Signature Kuala Lumpur (8-9/4/23)

Ini merupakan kali ke-4 saya menginap di hotel ini tetapi kali ini saya mengambil pakej iftar dan juga sahur yang berharga RM350 (untuk 2 orang). Bilik untuk pakej ini ialah Bong Soo Queen yang mempunyai keluasan 194 kaki persegi dan saya menempah pakej ini secara terus dari hotel. Hotel yang terletak di hujung Jalan Ampang ini menjadi salah satu hotel kegemaran saya kerana ianya masih lagi baru dan makanannya yang sedap.


Saya tiba di hotel pada pukul 2.40 petang dan terus sahaja ke kaunter. Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah dan hanya mempunyai 2 kaunter sahaja. Proses untuk check-in cepat dan saya telah diberi bilik Bong Soo King yang mana keluasannya adalah sama dengan bilik jenis Bong Soo Queen. Selepas menerima kad akses saya terus menaiki lif ke tingkat 15. Terdapat 3 lif di hotel ini dan salah satu lifnya mempunyai dinding yang lutsinar.


Bilik Bong Soo King ini kecil dan ringkas sahaja. Memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan pintu masuk dan di dinding sebelah kiri terdapat seterika dan papan seterika yang dilekatkan di dinding. Di sebelahnya pula terdapat satu ruang untuk menyangkut baju yang terbuka (hanya terdapat 4 penyangkut baju). Selain satu katil king, terdapat meja kerja bertentangan dengan kaki katil dan di sebelahnya pula terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini. Di atas peti sejuk ini terdapat pula peti simpanan keselamatan dan di atas kabinet ini diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik. Di sebelah kanan meja kerja ini terdapat TV bersaiz 43 atau 45 inci yang digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.


Bilik air Bong Soo King ini kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang untuk pancurannya adalah separa tertutup dan agak sempit. Terdapat pancuran jenis siling dan pegang disediakan. Peralatan mandian pula lengkap disediakan, termasuklah berus gigi. Tekanan air di pancuran tidak begitu kuat tetapi saya masih berpuas hati (ini mungkin disebabkan saya menginap di tingkat yang tinggi).


Untuk wifi percuma, ianya tidak begitu laju hanya berkelajuan sekitar 16mbps sahaja. Sementara Celcom pula 44mbps dan Tune Talk 29mbps. Siaran TV hanya menyediakan siaran asas dan kebanyakannya dalam bentuk HD. Walau bagaimanapun hotel ini menyediakan Smart TV dan pengunjung boleh menonton Netflix ataupun Youtube.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di atas bangunan (rooftop). Saiz kolamnya tidaklah besar tetapi mempunyai pemandangan yang cantik kerana betul-betul mengadap ke Menara Kuala Lumpur. Di atas ini juga terdapat sebuah kafe dan juga mini gimnasium. Waktu operasi kolam renang ialah pada pukul 7 pagi hingga 9 malam. Tidak terdapat kolam renang untuk kanak-kanak di hotel ini.


Untuk iftar pula, ianya di restoran hotel yang terdapat di tingkat 3. Hotel ini menyediakan menu berbuka yang agak banyak. Walaupun menunya tidaklah terlalu banyak jika dibandingkan dengan sesetengah hotel yang lebih terkenal, ianya sudah memadai bagi saya kerana harganya hanyalah RM98 (bagi yang membuat tempahan awal). Hotel ini memang terkenal dengan makanannya yang sedap dan menu untuk iftar ini tidak terkecuali. Semua makanan yang sempat saya rasa sangat sedap bagi saya kecuali rendang dagingnya yang agak tawar. Antara makanan yang paling sedap bagi saya ialah roti johnnya.


Untuk sahur pula, ianya juga di restoran yang sama dan waktu untuk sahur adalah pada pukul 4.30 hingga 5.30 pagi. Menu yang disediakan sebenarnya adalah lebih kurang sama dengan menu sarapan jika tidak di bulan Ramadan. Bagi saya ianya sudah banyak dan makanannya sedap terutama pastrinya.


Seperti ulasan saya yang lepas, hotel ini menjadi salah satu hotel kegemaran saya kerana dua sebab. Pertama kerana hotel ini masih lagi baru, segala kelengkapan dan biliknya masih lagi baru dan begitu bersih. Yang keduanya pula ialah makanannya yang sedap dan jika secara ala carte, harga makanannya tidaklah begitu mahal jika dibandingkan dengan sesetengah hotel. Kakitangan hotel juga sangat mesra dan ramah terutamanya yang bertugas di restoran. Selain itu hotel ini mempunyai kolam renang di rooftop yang mempunyai pemandangan yang cantik terutamanya di waktu malam. Dari segi lokasi pula, hotel ini hanyalah kira-kira 400 meter ke Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Untuk ke Pusat Membeli belah SOGO, ianya hanya mengambil masa kira-kira 10 minit jika berjalan kaki. Untuk yang menaiki pengangkutan awam pula, hotel ini terletak hanya 600 meter ke Stesen LRT Dang Wangi dan 900 meter ke Stesen LRT Masjid Jamek.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Iftar


Sahur


108 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page