top of page
Search
hanuds

Santa Grand Signature Kuala Lumpur (5-6/11/22)

Ini merupakan kali kedua saya ke hotel ini. Kali pertama ialah pada 22/10/22 yang lepas. Ada 2 sebab kenapa saya memilih hotel ini lagi. Yang pertama ialah kerana ingin mencuba bilik yang lebih besar dan harganya masih dikira murah buat masa sekarang, dan yang kedua kerana sarapan dan makanannya yang sedap. Jika pada staycation yang lepas saya telah memilih bilik yang paling kecil, kali ini saya memilih studio suite yang mempunyai keluasan 462 kaki persegi. Di aplikasi Booking.com bilik ini berharga RM297.76 dan harga ini adalah termasuk sarapan untuk 2 orang. Hotel ini baru sahaja beroperasi iaitu pada 6 September lepas. Ianya terletak di bangunan baru di penghujung Jalan Ampang Kuala Lumpur. Di hadapannya ialah Bangunan AIA sementara di belakangnya pula Pasaraya Jakel dan juga Lulu. Bangunannya betul-betul mengadap ke Menara Kuala Lumpur.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.15 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi, di tingkat bawah hotel. Pengunjung agak ramai pada masa itu dan saya terus sahaja membuat pendaftaran masuk. Oleh kerana bilik saya telahpun sedia, saya terus diberi kad akses untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 10. Terdapat 3 lif di hotel ini dan ianya agak cepat. Salah satu lif terletak agak ke tengah bangunan hotel dan ianya adalah seratus peratus berdinding lutsinar.


Bilik jenis studio suite ini besar. Sebaik memasuki bilik di sebelah kiri lorong masuk terdapat satu ruang terbuka untuk meletak barang-barang dan juga menyangkut baju (tetapi hanya ada 2 penyangkut disediakan). Di hujungnya terdapat rak menempatkan peti ais mini dan di atasnya pula adalah peti simpanan keselamatan. Bahagian atas sekali diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik.


Bilik jenis studio suite hotel ini mempunyai susunan yang agak pelik di mana kepala katil dirapatkan ke dinding cermin tingkap (jarang saya menjumpai hotel sebegini). Kaki katil pula mengadap ke bahagian dalam dan mengadap dinding yang dilekatkan TV berukuran 50 inci. Di sebelah kiri katil terdapat 2 sofa dan satu meja kecil sementara di bahagian kanan katil pula terdapat 2 ruang. Di bahagian kepala katil terdapat satu ruang kosong yang agak luas (di sini akan terdapat basikal senaman jika mengambil bilik jenis GetFit Suite) dan di sebelahnya pula terdapat ruang yang diletakan satu meja kerja yang agak besar. Bahagian lantai pula terbahagi kepada 2, satu beralaskan jubin (bahagian masuk) dan bahagian katil ditutupi karpet yang nipis. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan yang mengadap ke Menara Kuala Lumpur.


Pintu bilik air pula terletak di tepi TV di tengah-tengah bilik dan saiznya agak besar. Terdapat sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancuran ada menyediakan pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang untuk pancuran juga agak luas ditutupi cermin lutsinar dan mempunyai pintu. Terdapat peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi tetapi hanya tuala mandi sahaja disediakan (tiada tuala muka dan juga tangan).


Hotel ini mempunyai kolam renang di bahagian bumbung (rooftop) dan saiznya tidaklah besar. Tidak terdapat kolam renang untuk kanak-kanak di hotel ini. Waktu kolam dibuka ialah pada pukul 7 pagi hingga 10 malam. Di sebelahnya pula terdapat gimnasium yang agak kecil. Di bahagian atas ini terdapat juga satu kafe dan satu ruang berlantaikan cermin yang lutsinar di mana dapat dilihat hingga ke bahagian bawah (lobi) hotel. Pemandangan di kolam renang ini cantik terutamanya di waktu malam dan ianya betul-betul mengadap ke Menara Kuala Lumpur.


Hotel ini mempunyai restoran yang terletak di tingkat 3 dan interiornya cantik. Istimewanya hotel ini bagi saya ialah restorannya yang menyediakan menu-menu yang agak sedap dan harganya yang tidak begitu mahal. Semasa makan tengahari saya sempat mencuba tomyam yang berharga RM18 (termasuk nasi putih). Waktu sarapan pula ialah dari pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi. Walaupun tidak begitu banyak menu yang disediakan, kebanyakan menunya sedap terutamanya pastri. Ini adalah salah satu sebab mengapa saya kembali ke hotel ini.


Wifi percuma pula tidaklah laju, hanya sekitar 11mbps sahaja sementara telco pula mempunyai kelajuan 144mbps bagi Celcom sementara Tune Talk pula 57mbps. Untuk TV pula, hotel ini menyediakan Smart TV. Tiada siaran yang disediakan, hanya Youtube sahaja dan juga Google TV di mana ianya bukanlah percuma. Saya telah meminta pihak hotel untuk setkan TV supaya menyediakan siaran TV yang asas tetapi tidak berjaya (menurut kakitangan yang bertugas, ianya perlu dilakukan oleh bahagian IT). Sepanjang berada di bilik saya hanya menonton Youtube sahaja. Tekanan air di bilik air pula agak kuat. Hotel ini ada menyediakan parkir berlif dan caj yang dikenakan ialah sebanyak RM20 untuk satu malam. Untuk proses check-out pula pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Secara keseluruhannya saya berpendapat bilik studio suite ini berbaloi dengan harganya yang hanya sekitar RM300 kerana mempunyai bilik yang agak luas walaupun susunan biliknya agak pelik dan biasa sahaja, tidak menepati tarafnya sebagai sebuah suite. Susunan di dalam biliknya tidak begitu sesuai terutama katilnya kerana bila menonton TV ianya akan diganggu oleh cahaya dari luar (silau). Pengunjung terpaksa menutup langsir sepanjang masa jika menonton TV. Selain itu agak payah bila ingin menyingkap ataupun menutup langsir kerana kedudukannya di antara cermin tingkap dan kepala katil. Jika pengunjung tidak kisah, bilik ini sesuai untuk yang membawa keluarga kerana biliknya yang luas.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Restoran


Makanan


Sekitar Hotel


123 views0 comments

Comentarios


Post: Blog2_Post
bottom of page