Minggu ini saya memilih 2 buah hotel untuk staycation seterusnya dan kedua-dua hotel ini sebenarnya baru sahaja beroperasi. Untuk hotel yang pertama saya telah memilih Hotel Santa Grand Signature yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Hotel ini baru sahaja memulakan operasinya pada 6 September lepas. Lokasinya adalah di hadapan Menara AIA dan di belakang hotel ini terletaknya pusat membeli-belah Jakel dan Pasaraya Lulu. Melalui aplikasi Booking.com saya memilih bilik yang dinamakan Bong Soo Quen. Bilik yang paling kecil ini hanya mempunyai keluasan 193 kaki persegi. Ianya berharga RM195.59 dan harga ini termasuk sarapan pagi untuk 2 orang.
Saya tiba di hotel pada pukul 12.30 tengahari dan terus sahaja ke kaunter untuk proses pendaftaran masuk. Oleh kerana hotel ini adalah baru, semua perabut dan kemudahan yang ada masih lagi baru dan dalam keadaan baik serta sangat bersih. Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah dan agak besar. Selain kaunter terdapat juga sebuah kafe dan sofa-sofa disediakan untuk pengunjung duduk dan berehat. Kakitangan di kaunter memberitahu bahawa bilik yang saya tempah belum lagi sedia dan beliau meminta saya untuk duduk terlebih dahulu. Saya mendengar beliau menghubungi kakitangan pengemasan untuk mengemas bilik saya terlebih dahulu. Sambil menunggu bilik saya siap saya hanya menunggu di lobi sahaja sambil mengambil gambar di sekitar hotel. Kira-kira 20 minit kemudian iaitu pada pukul 12.50 tengahari, kakitangan tadi memberitahu saya yang bilik saya telah pun sedia (waktu check-in hotel ini ialah pada pukul 3 petang). Setelah mendapat kad akses saya pun menaiki lif untuk ke tingkat 11.
Terdapat 3 lif di hotel ini dan salah satu lif adalah berdinding lutsinar dan terletak agak ke tengah sedikit di bangunan hotel ini. Lifnya laju dan masa yang diambil untuk menunggu tidaklah lama. Bilik yang saya pilih ini kecil sahaja dan sebaik memasuki bilik, terdapat bilik air di sebelah kiri lorong masuk. Di bahagian bilik pula selain satu katil queen, terdapat satu rak di sebelah kanan katil untuk menyangkut baju (hanya ada 2 penyangkut baju disediakan). Di bawahnya pula terdapat rak untuk meletak barang-barang. Mengadap ke dinding bertentangan kaki katil pula terdapat meja kerja yang agak besar dan juga satu kerusi yang cantik. Di sebelah kirinya pula terdapat kabinet yang diletakan peti simpanan keselamatan dan juga peti ais mini. Di atas peti simpanan keselamatan pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh, termasuklah cerek letrik. TV dilekatkan di dinding dan saiznya agak besar iaitu 46 inci.
Bilik air juga kecil menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang untuk pancuran juga kecil dan sempit. Terdapat 2 jenis pancuran yang ada iaitu jenis siling dan juga jenis pegang. Peralatan mandian adalah lengkap disediakan termasuklah berus gigi tetapi tuala muka tidak disediakan. Ruang pancuran pula tidak betul-betul empat segi kerana terdapat satu sudut di mana bucu dindingnya betul-betul mengadap ke pancuran dan ianya agak bahaya jika pengunjung tidak berhati-hati semasa mandi.
Untuk wifi percuma pula, ianya agak laju di mana kelajuannya adalah 10mbps. Sementara telco pula, Celcom mempunyai kelajuan 145mbps sementara Tune Talk pula 87mbps. Siaran TV pula hanya menyiarkan siaran asas dan ianya ada yang dalam bentuk HD dan ada yang tidak. Walau bagaimanapun hotel ini menyediakan Smart TV di mana pengunjung boleh sahaja mengakses Netflix dan juga Youtube. Cuma yang menjadi masalah ialah siarannya yang sering terputus. Di bilik air pula, tekanan air tidak begitu kuat tetapi saya masih lagi berpuas hati. Pemandangan dari bilik yang saya inap ini cantik kerana mengadap ke Menara Kuala Lumpur.
Hotel ini mempunyai kolam renang di atas bumbung (rooftop) dan saiznya sederhana besar. Pemandangan dari kolam renang ini agak cantik mengadap ke Menara Kuala Lumpur. Ianya dibuka pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 9 malam. Di tepi kolam renang juga terdapat gimnasium tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi. Di atas ini juga terdapat satu bahagian berlantaikan cermin lutsinar dan pengunjung boleh melihat sehingga ke bahagian bawah hotel.
Restoran hotel pula terletak di tingkat 3 dan saya sempat mencuba beberapa menu dan harganya juga tidaklah begitu mahal. Nasi Goreng Nyonya berharga RM22, fish & chip berharga RM30, mee goreng mamak berharga RM18 dan sup cendawan pula RM14. Minuman pula agak mahal di mana teh o ais limau berharga RM15 dan jus buah-buahan pula RM25. Kesemua makanan yang saya cuba sedap bagi saya terutamanya nasi goreng. Untuk sarapan pula, menu yang disediakan tidak begitu pelbagai tetapi bagi saya sudah mencukupi. Saya sempat mencuba nasi lemak dan juga bubur nasi dan kedua-duanya sedap bagi saya. Saya juga sangat bersetuju dengan review sebelum ini yang mengatakan pastrinya sangat sedap. Untuk yang membawa kenderaan sendiri, hotel ini ada menyediakan parkir bertingkat (berlif) dan harga yang dikenakan ialah RM20 untuk satu malam. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.
Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan hotel ini. Dengan harganya tidak sampaipun RM200 termasuk sarapan untuk 2 orang, ianya berbaloi dan agak murah bagi hotel yang berstatus 4 bintang. Oleh kerana hotel ini adalah baru (bukan diambil alih dari mana-mana hotel), segala perkakas dan kelengkapannya adalah masih baru dan bersih. Untuk yang suka makan di hotel, hotel ini adalah salah satu hotel yang saya syorkan kerana makanannya yang sedap dan harganya pula tidaklah begitu mahal (saya agak terkejut dengan harga mee gorengnya yang hanya berharga RM18 walaupun diletakan 3 ekor udang yang besar). Dari segi lokasi pula, hotel ini letaknya di hadapan Jakel dan juga Pasaraya Lulu. Untuk ke KLCC pula, ianya hanyalah kira-kira 1.5km. Jika pengunjung menggunakan pengangkutan awam, hotel ini hanyalah kira-kira 400 meter dari Stesen LRT Dang Wangi. Saya bercadang ingin kembali semula ke hotel ini dan memilih bilik yang lebih besar pula.
Bilik
Bilik Air
Pemandangan dari bilik
Kolam Renang
Restoran
Makanan
Hotel
Comments