top of page
Search
hanuds

Santa Grand Signature Kuala Lumpur (15-16/2/23)

Ini merupakan kali ketiga saya staycation di hotel yang letaknya di hujung Jalan Ampang. Hotel ini agak baru beroperasi iaitu pada 6 September 2022. Jika pada kali pertama saya memilih bilik jenis Bong Soo Queen dan kali kedua pula bilik jenis Studio Suite, kali ini saya telah memilih bilik jenis Nyonya Diva. Melalui aplikasi Booking.com saya menempah bilik ini dengan harga RM246.62 termasuk sarapan untuk dua orang. Biliknya besar sedikit dari Bong Soo Queen berkeluasan 204 kaki persegi.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 3 petang dan terus saja ke kaunter yang terletak di lobi hotel di tingkat bawah. Lobinya sederhana besar dan selain kaunter terdapat juga kafe di lobinya. Terdapat juga sofa dan kerusi untuk pengunjung duduk sambil menunggu proses pendaftaran masuk. Proses untuk check-in adalah cepat dan sebaik sahaja menerima kad akses, saya terus sahaja menaiki lif ke tingkat 11. Hotel ini mempunyai 17 tingkat dan mempunyai 3 buah lif dan salah satu lifnya terletak agak ke tengah bangunan hotel dan ianya adalah lutsinar sepenuhnya. Oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa menunggu lif tidaklah lama.


Bilik Nyonya Diva ini agak unik kerana terletak di penjuru bangunan hotel. Sebaik memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan sementara di ruang bilik terdapat satu katil queen. Biliknya agak kecil tetapi interiornya agak cantik. Selain katil terdapat satu meja kerja bertentangan dengan kaki katil mengadap ke dinding serta satu kerusi kecil untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di sebelah kanan meja kerja ini terdapat kabinet yang menempatkan peti ais mini dan juga peti simpanan keselamatan. Di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh serta cerek letrik. Di dinding di atas meja kerja terdapat TV bersaiz 50 inci. Bilik jenis ini tidak mempunyai almari tetapi terdapat satu tempat menyangkut baju di ruang antara pintu masuk dan juga meja kerja. Hanya 2 penyangkut baju yang disediakan.


Saya tertarik dengan interior bilik airnya. Walaupun saiznya tidaklah luas tetapi hiasannya cantik. Berdindingkan warna putih susun aturnya bagi saya sangat kemas dan kelihatan mewah. Yang lebih menarik dinding bilik air mengadap luar adalah cermin seratus peratus lutsinar tetapi mempunyai bidai yang boleh ditutup. Dari bilik air ini boleh dilihat pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur. Bilik airnya mempunyai sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancuran pula adalah bertutup dengan cermin yang seratus peratus lutsinar. Ruang untuk pancuran kecil sahaja di mana terdapat pancuran jenis pegang dan siling disediakan. Peralatan mandian pula lengkap termasuklah berus gigi, pencukur, tuala tangan dan juga tuala muka.


Untuk wifi percuma pula, ianya berkelajuan 13mbps sementara untuk telco pula Celcom mempunyai kelajuan yang sangat laju, mencapai 139mbps dan Tune Talk pula 103mbps. Siaran TV pula tidak banyak, hanya menyediakan siaran asas sahaja tetapi ianya adalah dalam bentu HD. Walau bagaimanapun hotel ini menyediakan Smart TV. Tekanan bilik air pula adalah kuat dan saya sangat berpuas hati. Bilik yang saya inap ini pemandangannya cantik iaitu mengadap ke Jalan Ampang di mana Menara Kuala Lumpur dapat dilihat dengan jelas sekali.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di atas bumbung bangunan (rooftop). Saiz kolamnya tidaklah besar tetapi pemandangan dari rooftop sangat cantik terutama di waktu malam. Kolam renang dibuka pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 9 malam. Selain kolam renang terdapat juga mini gimnasium dan satu kafe di tepi kolam renang. Terdapat satu ruang lantai yang bercermin lutsinar dan pengunjung dapat melihat hingga ke ruang lobi dari atas.


Salah satu sebab mengapa saya sangat suka ke hotel ini ialah kerana sarapannya yang sedap. Sarapan bermula pada pukul 6.30 pagi sehingga 10.30 pagi di restoran hotel yang terletak di tingkat 3. Walaupun tidak begitu banyak pilihan makanan, makanan yang disediakan sangat sedap bagi saya terutama sekali pastrinya. Di malamnya saya sempat makan malam di sini dan harga makanannya tidaklah begitu mahal jika dibandingkan dengan sesetengah hotel. Selain makanannya yang sedap serta agak murah, interior restoran hotel ini juga sangat cantik.


Seperti review saya yang lepas, hotel ini memang sesuai untuk pasangan ataupun solo kerana biliknya yang agak kecil. Untuk keluarga pula, hotel ini ada menyediakan bilik jenis Family Tiga dan juga Peranakan Signature Suite di mana biliknya lebih besar dan sesuai untuk yang datang bersama keluarga. Hotel ini bukan sahaja menyediakan sarapan yang sedap, lokasinya juga terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur. Hotel ini hanya 2km ke KLCC dan 2.2km ke Menara Kuala Lumpur. Di belakang hotel ini letaknya Pasaraya Lulu dan juga Pasaraya Jakel. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak di antara stesen LRT Dang Wangi (400 meter) dan juga Masjid Jamek (900 meter). Saya bercadang untuk kembali ke hotel ini dan mencuba bermalam di bilik Peranakan Signature Suite pula.


Bilik


Bilik Air


Pemandangan dari Bilik


Kolam Renang


Restoran


Makanan


157 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page