Hotel ini terletak di Lebuh Pudu Kuala Lumpur di mana bangunannya betul-betul terletak di sebelah Pasar Seni (Central Market). Hotel ini adalah salah satu hotel di bawah rangkaian Hotel Santa Grand (termasuklah Santa Grand Signature). Melalui aplikasi Booking.com, saya telah memilih bilik yang paling kecil di hotel ini iaitu bilik jenis superior yang berkeluasan hanya 193 kaki persegi. Harga untuk bilik ini ialah RM108.60 dan ianya tanpa sarapan pagi.
Saya tiba di hotel dari pejabat kira-kira pukul 6 petang dan terus sahaja ke lobi yang terletak di tingkat bawah hotel. Lobinya kecil sahaja dan hiasan dalamannya agak cantik. Saya terus sahaja membuat proses pendaftaran masuk dan ianya hanyalah sekejap sahaja. Tiada deposit dikenakan oleh hotel ini. Setelah mendapat kad akses saya terus sahaja menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 5. Hotel ini hanya mempunyai satu lif dan bangunannya hanya mempunyai 7 tingkat. Pengunjung boleh juga menaiki tangga yang terletak bersebelahan jika tidak mahu menggunakan lif.
Bilik jenis superior ini kecil sahaja di mana di kiri lorong masuk merupakan bilik air. Selain satu katil queen, terdapat rak terbuka di sebelah kanan katil. Rak ini merupakan tempat untuk menyangkut baju dan juga menyimpan barang-barang. Selain itu di bahagian ini juga terdapat peti simpanan keselamatan (di bahagian atas) dan juga peti sejuk mini (di bahagian bawah). Sementara itu di bahagian tengah pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik. Di sebelah hujung rak ini adalah meja kerja yang kecil bersama satu kerusi bulat di bawahnya. Di atas meja ini terdapat satu lampu belajar dan juga telepon. Di dinding bertentangan dengan kaki katil pula terdapat TV yang berukuran 40 inci. Pemandangan bilik yang saya inap ini mengadap ke Bangunan Dayabumi dan juga bumbung Pasar Seni.
Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Pintu bilik air ini adalah jenis gelongsor yang boleh dikunci. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancuran pula menyediakan pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang untuk pancuran ini ditutupi oleh cermin berpintu gelongsor dan ianya agak sempit. Peralatan mandian ada disediakan termasuklah berus gigi. Tekanan air di bilik mandi tidak begitu kuat dan agak susah untuk mengawal suhu airnya.
Walaupun hotel ini kecil sahaja tetapi ianya mempunyai kolam renang yang terdapat di bumbung bangunan (rooftop). Saiznya kecil sahaja dan waktu ianya dibuka ialah pada pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 8 malam. Terdapat juga kerusi-kerusi dan meja untuk pengunjung berehat sambil bersantai di tepi kolam. Wifi percuma di dalam bilik pula laju di mana kelajuannya mencapai 69mbps sementara telco pula sangat laju di mana Celcom mencapai kelajuan 239mbps sementara Tune Talk pula 153mbps. Hotel ini hanya menyediakan siaran TV yang asas, walau bagaimanapun ianya adalah dalam bentuk HD. Untuk proses check-out pula pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.
Hotel ini bagi saya cantik dari segi susunatur biliknya dan ianya bersih. Saya suka dengan interiornya yang simple dan kemas, begitu juga dengan bilik airnya. Bantal dan tilam sangat selesa dan saya dapat tidur dengan lena. Cuma yang menjadi masalah ialah hotel ini tidak menyediakan parkir serta persekitarannya yang dipenuhi dengan golongan gelandangan. Pengunjung mungkin merasa tidak selamat dan tidak selesa bersiar-siar di sekitar hotel terutamanya di waktu malam.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Comments