top of page
Search
hanuds

Sama Sama Hotel KLIA (29-30/4/23)

Untuk staycation saya pada minggu ini saya telah memilih satu hotel yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Hotel ini pada asalnya adalah Hotel Pan Pacific sebelum ditukar kepada Sama Sama Hotel pada 2013. Hotel di bawah Malaysia Airports Berhad ini betul-betul terletak di sebelah KLIA. Saya telah memilih bilik yang paling kecil iaitu jenis deluxe yang mempunyai keluasan 388 kaki persegi. Harga untuk bilik ini adalah sekitar RM450 tetapi saya mendapat harga RM259.70 (tanpa sarapan) kerana membuat tempahan menggunakan diskaun kakitangan Malaysia Airlines (tempahan dilakukan oleh sahabat saya secara terus dari hotel dan beliau perlu hadir ketika proses check-in).


Dari KLIA saya terus sahaja ke hotel dan tiba kira-kira pukul 3.15 petang. Terdapat jejantas yang menghubungkan KLIA dengan hotel ini. Lobi hotel terletak di tingkat bawah dan ianya agak besar dan cantik. Selain kaunter terdapat juga restoran di tingkat yang sama. Ketika saya tiba terdapat tiga kaunter yang dibuka dan ketika itu ketiga-tiga kaunter tersebut sedang melayani pelanggan masing-masing. Oleh kerana pelanggan hotel ini kebanyakannya adalah pelancong asing, proses untuk check-in agak lambat. Bila tiba giliran sahabat saya, proses check-in hanyalah beberapa minit sahaja di mana pihak hotel meminta kad pengenalan dan juga ID pekerja. Selepas mendapat kad akses saya terus sahaja menaiki lif. Terdapat 5 buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif tidaklah lama.


Bilik yang saya inap ini terdapat di tingkat 4 dan laluan untuk ke bilik di hotel ini sangat cantik (saya tertarik dengan lampu yang digunakan). Sebaik memasuki bilik seperti kebanyakan hotel yang lain bilik airnya terletak di sebelah pintu masuk (di sebelah kanan). Di kiri pula terdapat satu almari berpintu yang agak besar di mana di dalamnya terdapat peti simpanan keselamatan dan juga tempat untuk menyangkut baju. Terdapat 2 pasang jubah mandi (bathrobe) disediakan serta 2 pasang selipar. Selain itu terdapat juga lampu suluh dan juga penimbang berat di dalam almari ini. Seterika dan juga papan seterika juga ada disediakan oleh pihak hotel dan ianya diletakan di ruang bahagian tepi almari yang juga bertutup. Di tepi sebelah satu lagi pula terdapat ruang menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh.


Bilik jenis deluxe ini mempunyai satu katil king yang besar tetapi ianya sedikit tinggi dari kebiasaan hotel. Selain satu katil king terdapat juga satu sofa yang bersaiz sederhana besar di sebelah kanan katil. Di tepi sofa ini diletakan satu meja bulat kecil. Di hujung kaki katil disebelah kanan pula terdapat satu meja kerja yang agak besar di mana di atasnya terdapat satu lampu bacaan dan juga talipon. TV pula seperti biasa diletakan di dinding bertentangan dengan kaki katil dan saiz TV hotel ini mungkin 45 inci. Tingkap cermin hotel ini bukanlah keseluruhan ruang tetapi saiznya agak besar di mana tirainya dikawal sepenuhnya menggunakan suis.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula hanya terdapat pancuran jenis pegang dan ruangnya agak sempit. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi serta tuala untuk tangan dan untuk muka.


Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di bahagian bawah (ground floor) dan saiz kolamnya agak besar dan mempunyai lanskap yang cantik. Selain kolam untuk dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu operasi kolam renang adalah pada pukul 8 pagi hingga 8 malam. Selain kolam renang, di bahagian bawah hotel ini juga terdapat spa dan juga gimnasium. Menghala ke kolam renang terdapat satu taman mini yang mempunyai air terjun buatan yang agak cantik.


Hotel ini menyediakan wifi percuma yang sangat laju di mana kelajuannya mencecah 254mbps. Untuk telco pula, Celcom mempunyai kelajuan 116mbps sementara Tune Talk pula 87mbps. Siaran TV tidaklah banyak dan bukan pula dalam bentuk HD tetapi terdapat beberapa movie percuma (video on demand). Tekanan air di bilik mandi pula sangat kuat cuma tiada pancuran jenis siling disediakan (saya sebenarnya lebih suka mandi menggunakan pancuran jenis ini). Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining dan ianya beroperasi 24 jam dan saya sempat mencuba nasi goreng kampung yang berharga RM45 (RM40.55 selepas diskaun) dan rasanya sedap bagi saya.


Saya sebenarnya secara peribadi agak teruja bila tiba di hotel ini, dari lobi hinggalah ke bahagian hotel yang lain ianya sangat cantik (dan saya tidak menjangkakannya). Hotel ini tidak begitu popular mungkin disebabkan jaraknya yang jauh dari Bandaraya Kuala Lumpur. Sebelum tiba di hotel ini saya merasakan harga RM450 bagi bilik jenis deluxe adalah agak mahal (overprice) tetapi bila saya menginap di sini saya merasakan harga tersebut adalah sangat berpatutan. Hotel ini sememangnya dikhususkan untuk pelancong-pelancong yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi hotel ini boleh juga dijadikan pilihan untuk bercuti bersama keluarga ataupun secara solo mahupun pasangan jika pembaca tidak kisah dengan lokasinya yang jauh dari Kuala Lumpur. Pengunjung boleh membeli-belah di KLIA2 ataupun ke Mitsui Premium Outlet yang terletak 7km dari hotel. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, pengunjung boleh ke Kuala Lumpur dengan menaiki ERL dari KLIA ke KL Sentral (tambang adalah RM55) atau menaiki ERL ke Putrajaya Sentral (tambang RM9.40) dan kemudiannya menaiki MRT ke Kuala Lumpur. Saya mungkin akan kembali ke hotel ini dan mencuba menginap di bilik yang lebih besar pula suatu hari nanti.


Bilik


Bilik Air


Makan


Kolam Renang


Hotel


52 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page