Ini adalah kali ketiga saya ke hotel ini, yang dahulunya dikenali sebagai Pan Pacific KLIA. Ada dua sebab utama mengapa saya gemar ke hotel yang terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ini. Sebab pertama ialah kerana saya mendapat harga yang murah kerana menggunakan harga kakitangan Malaysia Airlines (MAS). Untuk bilik deluxe ini harganya cuma RM245 jika dibandingkan harga di aplikasi sekitar RM500. Sebab yang kedua ialah hotel ini bagi saya sesuai untuk bersantai sambil berehat oleh kerana suasana hotelnya yang aman dan tenteram, tidak sesak seperti sesetengah hotel.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.30 petang tetapi terpaksa menunggu sahabat saya yang masih bekerja. Saya hanya menunggu di sekitar lobi hotel, di mana lobi hotel ini besar dan cantik dan terdapat banyak kerusi dan sofa disediakan. Sahabat saya hanya tiba kira-kira pukul 3.30 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk mendaftar masuk (check-in). Sebaik mendapat kad akses bilik, saya terus sahaja menaiki lif untuk ke bilik yang terletak di tingkat 6 sementara sahabat saya kembali semula ke pejabat beliau. Terdapat 5 buah lif di hotel ini dan lifnya begitu cepat.
Bilik deluxe ini mempunyai keluasan 388 kaki persegi dan agak besar. Pada kali ini saya mendapat bilik yang lain sedikit dari yang terdahulu di mana susunatur biliknya adalah bertentangan (opposite) dari yang terdahulu. Selain itu tandasnya adalah terasing, tidak seperti bilik yang saya inap sebelum ini di mana tandas terletak di dalam bilik air. Memasuki bilik terdapat almari yang besar di sebelah kanan pintu masuk dan di sebelah kirinya pula adalah tandas diikuti dengan bilik air disebelahnya. Di dalam almari selain terdapat tempat menyangkut baju, terdapat juga peti simpanan keselamatan dan juga mesin penimbang berat badan. Terdapat 2 pasang jubah mandi (bathrobe) di dalam almari ini. Di sebelah kanan almari terdapat ruang tertutup menempatkan seterika dan juga papan seterika sementara di sebelah kiri almari pula terdapat peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh.
Di ruang bilik selain satu katil king, terdapat sofa yang sederhana besar di kaki katil dan di sebelah cermin tingkap juga terdapat satu lagi sofa yang juga sederhana besar dan di tepi sofa ini pula terdapat satu meja bulat yang kecil. Di sebelah penjuru kiri bilik terdapat satu meja kerja yang agak besar dan satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Seperti hotel-hotel yang lain TV berukuran 45 inci digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil. Tingkap hotel ini tidak sepenuhnya cermin dan ianya mempunyai dua lapis bidai yang menggunakan suis elektronik untuk menurun atau menaikannya.
Tandas hotel ini ada menyediakan gelung paip dan ruangnya agak kecil. Bilik mandinya pula terdapat sinki, ruang untuk pancuran dan juga tab mandi (bathtub). Tab mandi tidak begitu besar dan begitu juga ruang untuk pancuran yang agak sempit. Ruang pancuran ini ditutupi cermin seratus peratus lutsinar dan ianya hanya menyediakan pancuran jenis pegang sahaja. Peralatan mandian pula lengkap disediakan termasuklah berus gigi, tuala tangan serta tuala muka.
Kolam renang hotel ini agak luas dan terletak di bahagian bawah hotel dan ianya adalah di kawasan terbuka. Lanskapnya agak cantik dan selain kolam untuk dewasa terdapat juga kolam untuk kanak-kanak. Waktu operasi kolam renang ini adalah antara pukul 8 pagi sehingga 10 malam. Walaupun lanskapnya cantik, pada waktu malam kawasan kolam ini tidak dihiasi dengan lampu-lampu menjadikan ianya agak gelap. Selain kolam terdapat juga sebuah kafe di tepinya dan waktu ianya beroperasi adalah sama dengan waktu kolam renang beroperasi. Terdapat juga gimnasium dan spa di aras yang sama.
Hotel ini adalah salah satu hotel yang menyediakan wifi percuma yang sangat laju di mana kelajuannya mencecah 250mbps (untuk muat turun) dan 278mbps (untuk muat naik). Telco juga mempunyai kelajuan yang sangat laju di mana Celcom mempunyai kelajuan 349mbps sementara Tune Talk pula 180mbps. Hotel ini tidak menyediakan banyak siaran TV dan siarannya pula bukanlah di dalam bentuk HD. Walau bagaimanapun terdapat beberapa movie disediakan (video on demand). Untuk tekanan air di bilik mandi pula, ianya adalah kuat dan saya berpuas hati cuma terasa sedikit kekurangan kerana hotel ini tidak menyediakan pancuran jenis siling (rain shower) kerana saya lebih gemar mandi menggunakan pancuran jenis ini. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining dan ianya beroperasi 24 jam. Saya telah mencuba nasi goreng kampung yang berharga RM45 dan juga sup cendawan berharga RM32. Kedua-duanya agak sedap bagi saya walaupun nasi goreng kampung hotel ini agak pelik kerana nasinya seperti nasi minyak dan bukannya nasi yang digoreng.
Secara peribadi saya sememangnya suka dengan hotel ini disebabkan itu sudah tiga kali saya ke sini. Hotel ini memang sesuai untuk berehat dan bersantai di hotel kerana suasananya yang tenteram dan tidak sibuk. Walaupun pengunjung agak ramai tetapi ianya nampak aman dan damai mungkin disebabkan pengunjung hanya berehat di bilik sahaja kerana hotel ini hanya dijadikan transit untuk penerbangan keesokannya. Oleh itu tetamu hotel ini kebanyakannya adalah pelancong asing. Saya bercadang untuk ke hotel ini lagi dan mencuba menginap di suitenya pula satu hari nanti.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Makanan
Comments