top of page
Search
hanuds

Sama Sama Hotel KLIA (17-18/6/23)

Pada minggu ini saya kembali ke satu hotel yang pernah saya inap pada April yang lepas. Hotel yang letaknya di sebelah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ini dahulunya dikenali sebagai Hotel Pan Pacific KLIA. Saya memilih bilik yang sama iaitu jenis deluxe yang berharga RM245 (tidak termasuk cukai 6%) dan harga ini adalah harga untuk kakitangan Malaysia Airlines (MAS). Harga di Booking.com untuk bilik jenis ini adalah sekitar RM450 ke RM500.


Saya tiba di hotel sekitar jam 2 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk pendaftaran masuk (check-in). Proses check-in hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan kawan saya yang berkerja di MAS tersebut perlu hadir kerana tempahan bilik menggunakan nama beliau. Selepas mendapat kad akses bilik, saya terus menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 6. Terdapat 5 buah lif di hotel ini dan masa menunggu lif sekejap sahaja. Bilik deluxe yang saya inap ini mempunyai keluasan 388 kaki persegi.


Interior bilik yang saya inap kali ini adalah sama dengan bilik yang saya inap pada April yang lepas, cuma yang membezakannya ialah bilik deluxe kali ini mempunyai bathtub dan mengadap ke menara kawalan trafik udara KLIA. Dengan keluasan 388 kaki persegi, bilik jenis deluxe ini agak luas. Bilik air terletak di sebelah kanan pintu masuk dan selepas itu di dinding sebelah kiri terdapat almari besar yang mempunyai pintu gelongsor. Di dalam almari ini terdapat tempat untuk menyangkut baju serta peti simpanan keselamatan. Terdapat juga 2 pasang jubah mandi (bathrobe) yang digantung di dalam almarinya. Selain itu terdapat 2 pasang selipar, lampu suluh dan juga penimbang berat badan di dalam almari ini. Seterika dan papan seterika pula terletak di dalam ruang tertutup di sebelah kiri almari. Di sebelah kanan almari pula terdapat peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, serta cerek letrik.


Di ruang bilik pula selain satu katil king, terdapat satu sofa sederhana besar di sebelah kanan katil dan di hadapanya pula diletakan satu meja bulat yang kecil. Di kaki katil terdapat satu sofa panjang dan meja kerja pula terletak di sebelah kanan kaki katil dan saiznya agak besar. Di atas meja ini terdapat talipon dan juga lampu bacaan. Di dinding bertentangan kaki katil pula digantung TV berukuran 50 inci. Bilik hotel ini mempunyai tingkap cermin yang agak kecil dan bukannya keseluruhan dinding dan mempunyai tirai yang dikawal sepenuhnya menggunakan suiz elektrik.


Bilik airnya pula agak luas menempatkan sinki, tandas, bathtub dan juga ruang untuk pancuran (shower). Ruang untuk pancurannya terletak di sebelah kanan dan saiznya agak kecil ditutupi sepenuhnya dengan cermin lutsinar. Terdapat hanya pancuran jenis pegang sahaja di dalamnya. Hotel ini menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan bathtubnya pula terletak di sebelah kiri dan saiznya tidak begitu besar. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah tuala muka dan tangan serta berus gigi.


Kolam renang hotel ini terletak di bahagian bawah bangunan hotel (ground floor) dan ianya adalah di ruangan terbuka. Saiz kolamnya besar dan mempunyai lanskap yang cantik. Dari kolam renang ini dapat dilihat menara kawalan trafik udara KLIA. Selain kolam renang dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Di tepi kolam renang ini terdapat sebuah cafe dan saya sempat mencuba mee goreng mamak dan juga jus nenas dan rasanya sangat sedap. Waktu operasi kolam renang dan cafe ini ialah pada pukul 8 pagi hingga 8 malam. Selain kolam renang, hotel ini juga mempunyai gimnasium dan juga spa, tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi.


Di dalam bilik wifi percuma hotel ini sangat laju di mana ianya mencecah 209mbps dan begitu juga dengan telco di mana Celcom mencecah kelajuan 330mbps sementara Tune Talk pula 215mbps. Untuk siaran TV pula, ianya agak banyak tetapi bukanlah di dalam bentuk HD. Walaupun hanya mempunyai pancuran jenis pegang sahaja, tekanan air di bilik mandi sangat kuat dan saya sangat suka mandi di pancurannya. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining yang beroperasi 24 jam tetapi bagi saya harga makanannya agak mahal. Untuk yang membawa kenderaan, hotel ini ada menyediakan parkir di basement hotel dan bayaran sebanyak RM10 akan dikenakan. Untuk proses check-out pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter (saya meminta late check-out sehingga pukul 2 petang).


Seperti ulasan saya yang lepas, hotel ini bagi saya sangat cantik. Interiornya kelihatan mewah seperti hotel 5 bintang yang lain. Harga bilik jenis deluxe sekitar RM450 bagi saya agak berpatutan dengan keadaan bilik dan hotelnya yang cantik dan bersih. Katil dan tilamnya sangat empuk serta sangat selesa. Hotel ini sememangnya hanya dijadikan transit untuk ke KLIA tetapi ianya boleh juga dijadikan tempat untuk berehat di hujung minggu. Hotel ini tidak begitu sibuk dan ianya memang sesuai untuk berehat seisi keluarga memandangkan ianya mempunyai kolam renang yang besar dan cantik. Lokasi hotel ini terletak 7km ke Mitsui Premium Outlet dan bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula ianya terletak 14km ke Stesen ERL Salak Tinggi.


Bilik


Bilik Air


Kolam Renang


Hotel


Mee Goreng Mamak


65 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page