Saya sebenarnya sudah beberapa kali ke hotel ini kerana hotel ini adalah salah satu hotel yang menjadi kegemaran saya. Saya gemarkan suasananya yang tidak sibuk, aman dan tenteram, sangat sesuai untuk saya berehat dan bersantai di hotel. Hotel yang asalnya Pan Pacific ini terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal Satu. Ianya dihubungkan dengan jejantas dari lapangan terbang tersebut. Di aplikasi Trip.com bilik deluxe hotel ini berharga RM539++ (harga tanpa sarapan pagi).
Lobi hotel ini cantik dan agak luas. Selain kaunter terdapat sebuah restoran di aras yang sama. Bilik deluxe hotel ini mempunyai keluasan 388 kaki persegi dan ianya luas. Apabila memasuki bilik terdapat ruang tandas dan bilik air di sebelah kiri pintu masuk. Di sebelah kanan lorong masuk ke bilik pula terdapat almari yang besar menempatkan tempat untuk menyangkut baju. Di dalam almari ini terdapat peti simpanan keselamatan serta 2 pasang jubah mandi (bathrub). Seterika dan papan seterika pula terdapat di bahagian tepi almari ini dan ianya agak tersorok. Di sebelah almari ini pula terdapat kabinet yang menempatkan peti sejuk mini di mana di bahagian atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh.
Di ruang katil, hotel ini menyediakan satu katil king yang besar. Di sebelah kaki katil diletakan satu sofa panjang yang dirapatkan ke kaki katil. Terdapat satu lagi sofa di sebelah kiri katil serta satu meja bulat yang kecil. Meja kerja pula terdapat di penjuru kiri kaki katil dan saiznya agak besar. Di atas meja kerja ini diletakan satu lampu bacaan. TV pula digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan ianya mungkin bersaiz 45 inci.
Bilik hotel ini mempunyai ruang tandas yang berasingan dengan bilik mandi. Ruang tandas terletak di sebelah kiri dan ruangnya agak kecil. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas. Di bilik mandi pula, ianya agak luas menempatkan singki, tab mandi (bathtub) dan juga ruang untuk pancuran (shower). Saiz tab mandinya sederhana besar begitu juga dengan ruang pancurannya. Ruang pancurannya ditutupi dengan cermin yang seratus peratus lutsinar. Terdapat hanya satu jenis pancuran sahaja disediakan. Sebagai sebuah hotel bertaraf 5 bintang, hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap, termasuklah berus gigi, tuala muka dan juga tuala tangan.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di aras satu dan saiznya besar. Ianya mempunyai lanskap yang agak cantik. Terdapat kolam renang untuk kanak-kanak di sebelah kolam renang dewasa. Kolam renang ini dibuka pada pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 8 malam. Di sebelah kolam renang ini terdapat satu kafe yang kecil. Di aras yang sama juga terdapat sebuah spa.
Hotel ini adalah salah satu hotel yang menyediakan wifi percuma yang sangat laju di mana kelajuannya mencecah 246mbps (muat turun) dan 281mbps (muat naik). Telco juga sangat laju di hotel ini di mana CelcomDigi mempunyai kelajuan 256mbps sementara Tune Talk pula 176mbps. Siaran TV pula agak banyak tetapi kebanyakan siarannya bukanlah di dalam bentuk HD. Selain siaran TV, hotel ini ada menyediakan video on demand tetapi filem-filem yang ada sama sahaja setiap kali saya menginap di hotel ini. Tekanan air di bilik mandi pula kuat, tetapi saya tidak begitu gemar kerana hotel ini tidak menyediakan pancuran jenis siling.
Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining dan menunya sangat banyak. Pada kali ini saya mencuba mi kari dan juga piza yang masing-masing berharga RM45 serta pulut kuning rendang ayam yang berharga RM32. Sebelum ini saya ada mencuba nasi lemaknya yang berharga RM45. Kesemuanya sedap bagi saya. Hotel ini juga ada menjual cendol pulut yang sangat sedap berharga RM28. Untuk yang membawa kenderaan, hotel ini ada menyediakan parkir berharga RM10 untuk satu malam. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, ianya tidak menjadi masalah kerana hotel ini terletak bersebelahan dengan KLIA, oleh itu ianya boleh diakses dengan menaiki ERL.
Seperti yang saya nyatakan di awal tulisan saya, hotel ini menjadi hotel kegemaran saya kerana suasananya. Walaupun biliknya agak mahal, hotel ini sangat sesuai bagi yang ingin berehat dan bersantai di hotel. Biarpun pengunjung agak ramai, keadaanya agak sunyi dan tidak begitu sibuk mungkin disebabkan pengunjung hanya berehat di bilik memandangkan hotel ini hanya dijadikan transit oleh banyak syarikat penerbangan dan juga pelancong. Walaupun hotel ini sudah lama beroperasi, ianya dijaga dengan baik. Selain itu kolam renang hotel ini juga luas dan mempunyai lanskap yang cantik. Bagi yang gemar mencuba makanan di hotel, hotel ini boleh dijadikan salah satu pilihan kerana makanannya yang sedap jika tidak kisah dengan harganya yang agak mahal.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Makanan
Comments