top of page
Search
hanuds

Royale Chulan Penang (25-27/6/22)

Oleh kerana minggu ini saya ke Pulau Pinang dengan penerbangan tambang murah Airasia (tambangnya memang murah, hanya RM36 pergi balik), saya akan review satu hotel yang terletak di Pengkalan Weld, George Town, Pulau Pinang. Lokasinya agak dekat dengan pantai serta Padang Kota Lama (hanya kira2 300 meter sahaja).


Saya sebenarnya sudah agak lama menempah hotel ini menerusi trip.com dan semasa itu harganya masih lagi murah. Saya memilih bilik jenis deluxe berharga RM389.62 untuk 2 malam dan harga ini adalah tanpa sarapan. Saya rasa pada masa sekarang harganya telah pun mahal dan bukan lagi di bawah RM200 untuk satu malam.


Saya tiba di hotel kira2 pukul 2.30 petang dengan menaiki grab dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Bangunan hotel ini adalah bangunan lama dan cantik berwarna putih. Lobi hotel terletak di bawah dan saya terus ke kaunter untuk pendaftaran masuk. Prosesnya sekejap sahaja dan selepas mendapat kad akses saya terus menaiki lif untuk ke tingkat 5. Terdapat 3 buah lif di hotel ini dan saya tidak perlu menunggu lama kerana hotel ini hanya mempunyai 5 tingkat sahaja.


Bilik deluxe ini mempunyai keluasan 376 kaki persegi dan ianya agak besar. Memasuki bilik terdapat lorong menuju ke bilik tetapi agak unik kerana dipisahkan dengan satu partition bercermin lutsinar. Terdapat seakan pintu untuk ke bilik dan di sebelah kirinya terdapat satu ruang untuk almari serta bilik air. Selain almari berpintu gelongsor, di ruang ini juga terdapat satu meja solek berserta cermin. Terdapat seterika, papan seterika serta penimbang di dalam almari tetapi penimbangnya tidak mempunyai bateri.


Di ruang bilik pula selain satu katil king, terdapat kabinet (yang juga partition) yang di atasnya diletakkan perkakas untuk membancuh kopi (termasuklah cerek letrik) serta satu peti ais mini (di bawahnya). Selain itu terdapat juga satu meja bulat kecil di bawah TV. Seperti hotel yang lain TV dilekatkan di dinding bertentangan katil dan saiznya mungkin hanya 40 inci. Di kiri sudut bilik terdapat satu meja study dan juga kerusi untuk pengunjung melakukan kerja2 pejabat. Di sebelah meja study ini terdapat pintu untuk ke balkoni. Balkoni hotel ini agak besar dan menghala ke kolam mandi.


Bilik air pula agak kecil berpintu gelongsor dan ianya boleh dikunci. Memasuki bilik air di sebelah kanan adalah sinki, dan di kirinya pula adalah ruang untuk shower. Ruang untuk shower mempunyai pintu cermin dan saiznya agak kecil bagi saya. Tandas letaknya di hujung bilik air dan ianya dipisahkan oleh pintu yang boleh dikunci. Terdapat salur paip di ruang ini untuk kemudahan pengunjung. Peralatan mandian adalah lengkap termasuklah berus gigi. Tekanan air di bilik air adalah kuat, cuma pintu shower tidak begitu rapat, apabila mandi air akan keluar membasahi ruang bilik air.


Hotel ini mempunyai kolam mandi dan saiznya sederhana besar. Ianya terletak di tingkat 2 di kelilingi oleh bangunan hotel yang mempunyai beberapa blok. Saya mengandaikan terdapat blok hotel yang ditutup untuk proses pengubahsuaian dan hanya beberapa blok sahaja dibuka untuk pengunjung. Kolam mandi ini dibuka pada pukul 8 pagi hingga ke 8 malam.


Hotel ini juga menyediakan wifi percuma tetapi tidaklah laju, hanya mencapai kelajuan 5mbps sahaja. Telco di hotel ini juga sangat perlahan (mungkin disebabkan biliknya yang agak terlindung). Celcom hanya mencapai kelajuan 4mbps dan Tune Talk pula hanya mempunyai kelajuan maksima 3mbps. Sepanjang saya berada di dalam bilik, saya terpaksa menggunakan wifi hotel. Untuk siaran TV pula, ianya bukanlah dalam bentuk HD dan siarannya juga tidaklah banyak.


Hotel ini ada menyediakan in-room dining servis sehingga pukul 9.30 malam dan saya sempat mencuba nasi goreng dan juga sup cendawan. Harga makanannya agak murah kerana ianya dibungkus dan bukannya dihidang seperti kebanyakan hotel yang lain. Nasi gorengnya berharga RM28 sementara sup cendawan pula berharga RM20. Sup cendawannya sedap tetapi nasi gorengnya agak biasa bagi saya. Untuk proses check-out pula, saya hanya perlu memulangkan kad akses ke kaunter.


Hotel ini bagi saya agak berbaloi dengan harga yang saya bayar (di bawah RM200 untuk satu malam) memandangkan lokasinya yang strategik di tengah George Town. Banyak tempat2 yang menarik seperti Padang Kota Lama yang boleh dikunjungi dengan hanya berjalan kaki. Hotel ini letaknya di bangunan yang telah lama, oleh itu bagi saya ianya diselenggarakan dengan agak baik. Cuma tahap kebersihannya yang masih boleh diperbaiki (tetapi bagi saya ianya masih boleh diterima). Ini mungkin disebabkan hotel2 tidak beroperasi dalam tempoh yang lama sepanjang tempoh PKP.



Bilik



Bilk Air



Kolam Mandi



Hotel



79 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page