top of page
Search
hanuds

Renaissance Hotel Kuala Lumpur (22-23/6/24)

Pada minggu ini staycation saya ialah ke satu lagi hotel di bawah rangkaian Marriott. Hotel ini sebenarnya baru sahaja dibuka semula setelah menjalani proses ubahsuai secara besar-besaran (fully refurbished) ketika pandemik melanda tempohari. Hotel ini terletak di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan juga Jalan Ampang. Melalui aplikasi Trip.com saya telah memilih bilik jenis deluxe yang berharga RM445.06 dan harga ini tidak termasuk sarapan pagi.


Saya tiba di hotel agak awal iaitu pada jam 12.40 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel iaitu di tingkat bawah hotel. Hotel ini mempunyai lobi yang cantik dan luas. Selain kaunter terdapat juga kafe di kiri dan kanan pintu masuk hotel. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan oleh kerana bilik saya belum lagi sedia (katil king), saya ditawarkan untuk mengambil bilik yang mempunyai katil single. Saya membuat keputusan untuk menunggu bilik yang mempunyai katil king. Hotel ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM200. Saya menunggu tidaklah lama kerana menerima panggilan mengatakan bilik saya telahpun sedia sekitar jam 1.00 tengahari. Sebaik menerima kad akses saya terus sahaja ke Tingkat 14 untuk ke bilik saya. Terdapat 6 buah lif di hotel ini dan lifnya sangat cepat.


Bilik deluxe hotel ini mempunyai keluasan 409 kaki persegi dan ianya luas. Sebaik memasuki bilik terdapat almari berpintu gelongsor yang besar di sebelah kanan pintu masuk sementara di sebelah kiri pula letaknya bilik air. Di dalam almari ini selain menempatkan tempat untuk menyangkut baju, terdapat juga peti simpanan keselamatan serta seterika dan papan seterika. Terdapat 2 pasang jubah mandi (bathrobe) digantung di dalamnya. Kemudian di sebelah kiri selepas pintu bilik air terdapat satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini serta perkakas untuk membancuh kopi dan teh. Di atasnya pula terdapat mesin membuat kopi serta air minuman yang diletakan di dalam botol kaca.


Selain satu katil king, bilik deluxe ini juga menempatkan satu sofa yang besar yang diletakan di sebelah kiri katil iaitu di bahagian tingkap cermin. Di hujung sofa tersebut terdapat satu meja empat segi kecil. Di penjuru kiri bilik pula terdapat satu meja kerja berbentuk bujur di mana ianya diperbuat dari kaca. Saiz meja ini sederhana besar. Seperti hotel-hotel yang lain, TV digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan ianya bersaiz 50 inci.


Bilik air hotel ini mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci dari dalam. Selain singki, tandas dan juga ruang pancuran (shower), terdapat juga bathtub di sebelah kanan pintu masuk bilik air dan saiznya agak besar. Tandasnya juga ada menyediakan gelung paip untuk kemudahan pengunjung. Ruang pancurannya ditutupi oleh cermin seratus peratus lutsinar dan saiznya agak kecil. Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang disediakan. Sebagai sebuah hotel berstatus 5 bintang, hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.


Salah satu keistimewaan hotel ini ialah kolam renangnya yang besar yang terdapat di Tingkat 4. Walaupun bersaiz besar, kolam renang ini berkongsi dengan Hotel Four Point by Sheraton. Lanskapnya cantik terutamanya di waktu malam tetapi susunaturnya agak padat. Waktu kolam  renang dibuka ialah pada pukul 7 pagi sehingga 7 malam. Di aras yang sama terdapat juga sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam.


Di dalam bilik, wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 30mbps. CelcomDigi pula berkelajuan 547mbps sementara Tune Talk pula 96mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang banyak dan ianya juga di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula sangat kuat dan saya sangat suka mandi di pancurannya cuma tidak begitu selesa kerana ruang pancurannya yang agak sempit. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining tetapi harganya agak mahal bagi saya. Sebagai perbandingan nasi goreng kampong berharga RM78, fish & chips RM88 dan jus buah-buahan pula berharga RM25. Hotel ini ada menyediakan parkir tetapi ianya bukanlah percuma, pengunjung perlu membayar RM10 untuk satu hari.


Hotel ini bagi saya sangat cantik dan keistimewaanya ialah kerana mempunyai kolam renang yang besar sesuai untuk membawa keluarga berehat di sini, tetapi ianya agak padat dengan pengunjung memandangkan ianya berkongsi dengan Hotel Four Point by Sheraton. Kakitangannya pula sangat baik, ramah serta menjalankan tugas dengan cukup professional. Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak hanyalah 750 meter ke KLCC dan 1.6 km untuk ke Pavilion. Jika ingin ke Pavilion, pengunjung boleh menaiki monorel kerana stesen Monorel Bukit Nenas hanyalah terletak di seberang jalan sahaja dari hotel ini. Hotel ini juga berdekatan dengan Kampung Baru memudahkan pengunjung mencari makan jika tidak mahu makan di hotel. Satu perkara yang saya tidak suka ialah pada malam hari ianya sangat bising dengan bunyi kenderaan kerana bilik yang saya inap ini mengadap ke Jalan Sultan Ismail iaitu ke Menara Kuala Lumpur. Jika pembaca ingin ke hotel ini dan tidak mahu diganggu bunyi bising kenderaan, saya sarankan untuk meminta bilik yang mengadap ke kolam renang iaitu mengadap ke bahagian belakang hotel.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



Pemandangan dari Bilik



76 views0 comments

Comentários


Post: Blog2_Post
bottom of page