Minggu ini saya ke satu hotel yang terletak di Jalan Kampung Attap Kuala Lumpur. Sebelum ini ianya dikenali sebagai Midah Hotel yang telah lama beroperasi. Saya menempah bilik Deluxe King menggunakan aplikasi Trip.com yang berharga RM136.63 (harga ini sudah termasuk cukai tetapi tidak termasuk sarapan pagi).
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.15 tengahari dan terus sahaja ke kaunternya yang terletak di lobi. Lobinya terletak di tingkat bawah hotel dan ianya tidaklah besar. Selain lobi terdapat sebuah kafe di aras yang sama. Saya diberitahu oleh kakitangan yang bertugas bahawa waktu daftar masuk ialah pada pukul 3 petang. Saya meminta untuk mendaftar terlebih dahulu sementara menunggu bilik saya siap. Selepas itu saya terlebih dahulu makan tengahari di sebuah restoran kari kepala ikan yang terkenal yang terletak hanya sekitar 200 meter dari hotel.
Saya kembali ke hotel pada pukul 2 petang dan hanya menunggu di lobi sahaja. Pada pukul 2.30 petang kakitangan tadi menghampiri saya untuk memberitahu bahawa bilik saya telahpun sedia. Saya diminta untuk membayar wang pendahuluan (deposit) sebanyak RM50. Selepas mendapat kad akses bilik, saya terus menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di Tingkat 17. Terdapat tiga buah lif di hotel ini dan lifnya agak lambat memandangkan bangunan hotel ini sudah lama.
Bilik Deluxe hotel ini besar dengan keluasan 431 kaki persegi. Selain satu katil queen, terdapat almari baju di sebelah kanan katil di mana saiznya kecil sahaja. Di dalam almari ini terdapat tempat untuk menyangkut baju. Hotel ini tidak menyediakan seterika di setiap bilik, hanya meletakkannya di ruang koridor setiap tingkat. Di sebelah kiri kaki katil terdapat satu kerusi bujang dan sebuah meja bulat yang kecil. Bertentangan dengan kaki katil pula terdapat meja panjang yang agak besar di mana di sebelah kirinya terdapat peti sejuk mini dan di sebelah kanan di atas meja ini diletakkan perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. TV bersaiz 32 inci digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Di sebelah kanan katil ialah bilik air yang saiznya kecil sahaja. Terdapat singki, tandas dan juga tub mandi (bath tub). Hotel ini sememangya sudah lama kerana pancuran (shower) terletak di dalam ruang tub mandi yang ditutupi oleh langsir. Di sebelah tandas terdapat gelung paip untuk keselesaan pengunjung. Hotel ini hanya meyediakan tuala mandi sahaja, tidak menyediakan berus gigi. Bilik yang saya inap ini pemandangannya mengadap ke Stadium Merdeka dan Merdeka 118.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 28mbps sementara untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 128mbps dan Tune Talk 113mbps. Hotel ini meyediakan hanya siaran TV asas tetapi di dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik mandi pula ianya tidak begitu kuat dan airnya tidak cukup panas. Hotel ini ada menyediakan parkir tetapi ianya adalah terhad dan laluan ke parkirnya sangat sempit dan agak mencabar. Hotel ini juga ada menyediakan menu untuk makan tengahari di restoran yang terletak di Tingkat 6 dari pukul 12 tengahari hingga 3 petang, dan harganya murah.
Hotel ini adalah sebuah hotel lama tetapi ianya diselenggarakan dengan agak baik. Jika pembaca tidak kisah dengan keadaan hotelnya yang old school, hotel ini boleh dijadikan pilihan jika ingin datang ke Kuala Lumpur. Selain harganya yang murah, biliknya luas dan bersih. Cuma saya tidak begitu gemar dengan pencahayaan di dalam biliknya yang tidak seimbang. Tidak terdapat lampu di bahagian kepala katil dan juga tepi tingkap menjadikan bahagian ini agak gelap. Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan berhampiran dengan Stesen Monorel Maharajalela. Hotel ini terletak hanya 3 km untuk ke Pavilion Bukit Binatang dan 4.2 km dari KLCC.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Pemandangan dari Bilik
Comments