top of page
Search
hanuds

Ramada Encore by Wyndham Chinatown Kuala Lumpur (15-17/11/24)

Oleh kerana saya perlu ke pejabat di awal pagi pada Sabtu dan Ahad, minggu ni saya memilih untuk menginap di satu hotel berhampiran dengan Menara Maybank. Hotel ini letaknya di Jalan Pudu Lama iaitu bertentangan dengan bangunan UTC Pudu. Melalui aplikasi Trip.com saya memilih bilik yang paling kecil iaitu jenis Standard dengan harga RM287.23 (untuk dua malam). Harga ini telah termasuk cukai dan juga sarapan pagi untuk dua orang (selama dua hari).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 5 petang dan terus sahaja mendaftar untuk masuk di kaunternya yang terletak di tingkat bawah. Lobi hotelnya agak cantik dan agak luas. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan hotel ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM50. Saya terus mendapat kad akses bilik dan terus menaiki lif untuk ke Tingkat 3. Hotel ini mempunyai 2 buah lif.


Dengan hanya 150 kaki persegi, bilik Standard ini kecil sahaja, hanya menempatkan satu katil queen. Di penjuru kiri kaki katil terdapat satu ruang kecil menempatkan meja dan kerusi serta perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh. Di sini juga terdapat tempat untuk menyangkut seluar yang terbuka. TV pula digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan saiznya mungkin 45 inci sahaja.


Walaupun biliknya kecil, bilik air hotel ini agak luas, menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya adalah terbuka dan menempatkan hanya pancuran jenis siling. Hotel ini menyediakan tuala mandi, berus gigi, sabun/gel mandi dan syampu sahaja.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 34mbps tetapi tidak begitu stabil. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 735mbps dan Tune Talk 101mbps. Hanya terdapat 3 siaran TV di hotel ini dan salah satu siarannya tidak mempunyai suara. Tekanan air di bilik mandi pula agak kuat dan masih puas mandi di pancurannya.


Sarapan pula adalah di restoran hotel yang terletak bersebelahan dengan lobi. Hanya beberapa menu sahaja yang ada dan rasanya tidak begitu sedap bagi saya. Waktu untuk sarapan pagi ialah antara pukul 7 pagi hingga 10.30 pagi. Untuk daftar keluar pengunjung hanya perlu memulangkan semula kad akses bilik dan mengambil semula wang deposit RM50.


Hotel ini sesuai kepada pengunjung yang ingin bermalam kerana lokasinya yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Ianya berhampiran dengan Bukit Bintang, kira-kira 2.3 km untuk ke Pavilion. Untuk ke Dataran Merdeka, jaraknya hanyalah 900 meter (13 minit dengan berjalan kaki) dan KLCC pula sekitar 2.1km sahaja. Hotel ini tidak sesuai untuk staycation kerana biliknya yang kecil serta tiada fasiliti yang disediakan.


Bilik



Bilik Air



Hotel



Sarapan



14 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page