Untuk staycation pada minggu ini saya telah memilih dua buah hotel di Putrajaya. Hotel yang pertama ini terletak di tengah-tengah bulatan terbesar di dunia. Bulatan Putrajaya ini mempunyai diameter 3.5 kilometer di mana di tengah-tengahnya terletaknya hotel ini. Hotel ini telah memulakan operasinya pada 2003 tetapi ketika itu dikenali sebagai Putrajaya Shangri-La. Pada 1 Januari 2018 ianya ditukar kepada Pulse Grande Hotel Putrajaya selepas diambil alih oleh Pulse Group. Saya menempah bilik secara terus dari hotel kerana mengambil pakej iftar buffet. Harga untuk bilik deluxe berserta iftar dan juga sahur ialah RM395 (harga untuk dua orang dan telah termasuk cukai).
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.40 tengahari dan terus sahaja ke kaunternya yang terletak di lobi hotel. Lobinya agak cantik, terletak di tengah-tengah bangunan iaitu di Tingkat 3. Kaunternya kecil sahaja dan kedudukannya agak pelik bagi saya, tidak seperti kaunter hotel-hotel yang lain (sewaktu memasuki lobinya saya tidakpun menyangka yang itu adalah kaunter untuk pendaftaran, dan perlu bertanya kakitangan hotel). Saya membuat proses pendaftaran masuk (check-in) dan kakitangan yang bertugas memberitahu waktu daftar masuk ialah pada pukul 3 petang. Saya hanya menunggu di lobi sambil meninjau di sekitar hotel.
Pada pukul 1.30 tengahri saya menerima panggilan talipon dari kakitangan hotel memberitahu bilik saya telahpun sedia. Saya kembali ke kaunter untuk mengambil kad akses bilik. Bilik saya letaknya di Tingkat 2, jadi saya perlu menuruni lif. Hotel ini hanya mempunyai empat tingkat dan mempunyai dua bahagian iaitu kiri dan kanan, dan di setiap bahagian itu mempunyai dua buah lif. Bilik saya letaknya di bahagian kiri hotel, iaitu bilik paling hujung.
Bilik deluxe hotel ini besar dangan keluasan 430 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat almari di sebelah kanan pintu masuk. Di dalam almari ini terdapat seterika dan papan seterika serta dua pasang jubah mandi (bathrobe) yang digantung di dalamnya. Kemudian di sebelahnya adalah pintu bilik air yang diapit oleh dua almari. Almari yang satu lagi hanya terdapat pengering rambut (hair dryer) serta sehelai sejadah. Bahagian katil bilik hotel ini luas dan kosong, hanya menempatkan sebuah katil king. Di sudut sebelah kanan katil terdapat meja kerja dan sebuah kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat di sini. Bahagian kanan meja ini pula terdapat peti simpanan keselamatan. Di dinding bertentangan dengan kaki katil terdapat satu kabinet kecil menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya diletakkan perkakas untuk membancuh minuman. Di sebelahnya terdapat para untuk meletakkan barang-barang. TV bersaiz 40 inci pula digantung di dinding di bahagian atas kabinet ini. Bilik hotel ini mempunyai balkoni yang mempunyai pintu gelongsor.
Bilik air hotel ini cantik, mempunyai pintu gelongsor yang boleh dikunci. Saiznya agak besar menempatkan singki, tub mandi (bathtub), tandas serta ruang pancuran (shower). Saiz tub mandinya besar dan bersebelahan dengan dinding mengadap ke bahagian katil. Dinding ini mempunyai tingkap yang boleh dibuka dan ditutup dan ianya boleh dikunci dari dalam. Ruang tandasnya agak besar tetapi ruang untuk pancuran agak sempit. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula, hanya terdapat satu jenis pancuran sahaja. Hotel ini ada menyediakan perkakas mandian yang lengkap.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terdapat di Tingkat 3 iaitu di hujung sebelah kanan hotel. Ianya adalah di ruang yang terbuka dan saiz kolam renangnya agak besar. Kolam renang ini dibuka pada pukul 7 pagi sehingga 7 petang. Di bahagian yang sama terdapt juga sebuah gimnasium dan spa serta bilik permainan untuk kanak-kanak (kids room).
Bertemakan ‘Santai Iftar Selera Malaysia’, iftar buffet hotel ini terdapat di dua lokasi iaitu di Tingkat 2 dan juga Tingkat 1 hotel, iaitu di tengah-tengah bangunan. Menunya sangat banyak serta menarik bagi saya. Saya hanya mencuba beberapa menu sahaja dan sedap bagi saya cuma mi gorengnya agak masin. Untuk iftar buffet ini, ianya bermula seawal 6 petang sehingga pukul 9.30 malam. Jika tidak mengambil pakej dengan bilik, harga untuk iftar buffet ini ialah RM138 untuk seorang. Sahur pula disediakan di Tingkat 1 dari pukul 4.30 pagi hingga waktu Subuh, tetapi saya tidak turun untuk bersahur.
Di dalam bilik, wifi percuma yang disediakan agak laju di mana kelajuannya mencecah 40mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi sangat lagu dengan kelajuan melebihi seribu mbps iaitu 1,066mbps sementara Tune Talk pula 882mbps. Hotel ini tidak menyediakan banyak siaran TV dan bukan di dalam bentuk HD. Sebahagian siarannya mempunyai kualiti gambar yang teruk. Untuk tekanan air di mandi air pula, ianya kuat tetapi saya tidak begitu gemar dengan jenis pancuran yang digunakan serta ruangnya yang sempit. Untuk daftar keluar pula, hotel membenarkan untuk daftar keluar pada pukul 1.00 tengahari (bayaran hanya akan dikenakan selepas 1.00 tengahari).
Secara peribadi saya agak suka dengan hotel ini walaupun ianya telah lama beroperasi sejak 2003 lagi. Sebagai sebuah hotel yang telah melebihi 20 tahun, ianya sudah agak lama tetapi ianya diselenggarakan dengan agak baik. Terdapat bahagian-bahagian hotel yang perlu diperbaiki kerana ianya kelihatan sudah usang. Di dalam bilik terdapat bahagian langsir yang sudahpun tertanggal dan tidak dilekatkan kembali dan terdapat koyakan kecil di cadar katil. Lantai bilik hotel ini diperbuat dari kayu dan ianya kelihatan masih baru, mungkin telah ditukar dari jubin ke kayu. Walau bagaimanapun saya berpuas hati dengan tahap kebersihan biliknya.
Dari segi lokasi pula, hotel ini agak terpencil dan jauh dari kedai-kedai dan bangunan lain. Bangunan hotel ini dikelilingi oleh pokok-pokok dan udaranya segar terutama di waktu pagi. Pengunjung masih dapat mendengar kicauan burung dan ianya sunyi dari bunyi bising kenderaan. Di hadapan bangunan hotel ini terdapat sebuah taman yang cantik. Jarak untuk ke Masjid Putra ialah 2.4km dan 2.3km untuk ke Alamanda. Hotel ini mempunyai parkir di kawasan terbuka tetapi agak jauh dari bangunan hotel dan hotel ada menyediakan buggy. Untuk yang ingin datang menaiki kenderaan awam pula, hotel ini letaknya 5.8km dari Putrajaya Sentral. Kesimpulannya bagi saya hotel ini sesuai jika ingin membawa keluarga berehat dan bersantai di hotel kerana ianya agak sunyi dan tidak begitu sibuk.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Iftar Ramadan
Comments