top of page
Search
hanuds

Penang (15-18/1/22)

Rancangan untuk ke Pulau Mutiara ini sebenarnya hasil tiket murah dari Airasia yang berharga RM12. Jadi saya dan seorang lagi rakan telah membeli tiket untuk ke Pulau Pinang berharga RM24 (pergi dan balik) untuk seorang. Penerbangan kami pergi dan balik telah diubah masa oleh Airasia (ini memang biasa berlaku). Sehari sebelum kami bertolak ke Pulau Pinang, rakan saya tidak dapat ikut serta kerana masalah peribadi. Oleh kerana hotel telah pun dibayar saya membuat keputusan untuk meneruskan percutian ini secara solo. Jadi ini adalah percutian saya secara solo buat pertama kalinya.


Hari Pertama (15/1/22)


Saya menaiki LRT ke KL Sentral menggunakan pas bulanan (kerana saya pergi dan balik kerja juga menaiki LRT). Setelah turun di KL Sentral saya pun pergi ke ERL Transit untuk membeli tiket ke KLIA2 (ERL Express masih tidak lagi beroperasi). Harga untuk satu hala adalah RM55. Saya menaiki ERL pada pukul 8.30 pagi dan tiba di KLIA2 40 minit kemudian.


Sebelum memasuki balai berlepas saya terlebih dahulu mengalas perut dengan roti dan juga nescafe. Selepas itu saya memasuki balai berlepas dan menunggu penerbangan saya ke Pulau Pinang pada pukul 11.30 pagi.


Saya tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas sejam kemudian. Sebaik keluar dari balai ketibaan, saya mengambil grab untuk ke hotel yang terletak di Georgetown. Jarak antara lapangan terbang dan hotel adalah kira2 19km. Saya tiba di Modern Hotel lebih kurang setengah jam kemudian. Tambang yang dikenakan adalah sebanyak RM25.35.


Sebaik tiba di hotel, saya terus ke kaunter untuk pendaftaran. Saya diberitahu bilik hanya akan siap pada pukul 3 petang. Saya terlebih dahulu makan tengahari di satu kedai berhampiran dengan hotel tersebut. Saya memesan mee goreng (sedap juga).


Selepas makan tengahari saya kembali semula ke hotel. Bilik sudah pun siap dan saya terus sahaja memasuki bilik setelah mendapat kad akses. Saya memilih bilik jenis deluxe yang mempunyai bathtub dan juga balkoni. Biliknya agak besar berkeluasan 437 kaki persegi. Interior bilik ini cantik berkonsepkan hitam dan putih. Selain itu bilik air adalah seratus peratus lutsinar (terdapat langsir di bahagian luar). Saiz balkoni agak besar di mana ada disediakan meja bulat berserta payung untuk pengunjung berehat. Bilik ini berharga RM280 untuk satu malam. Pada sebelah petangnya saya berjalan2 di sekitar hotel dengan hanya berjalan kaki.



Hari Kedua (16/1/22)


Di hari kedua saya di Pulau Pinang, saya memilih untuk bersarapan roti canai di satu restoran yang terkenal di Jalan Argyll. Selepas itu saya kembali semula ke hotel sebelum menaiki grab untuk ke Bukit Bendera. Jarak antara Modern Hotel ke Bukit Bendera adalah kira2 12km dan tambang yang dikenakan adalah RM13.35. Setibanya di Bukit Bendera saya membeli tiket keretapi yang berharga RM12.


Ini merupakan kali pertama saya menaiki Bukit Bendera. Keretapi ke Bukit Bendera ini hanya memakan masa kira2 7 minit. Sampai sahaja di puncak bukit, saya hanya berjalan2 sekitar atas Bukit Bendera sambil menikmati panorama Pulau Pinang dari atas. Saya hanya berada di atas kira2 30 minit dan turun semula menaiki keretapi. Sampai sahaja di bawah saya terus sahaja mengambil grab untuk pulang semula ke hotel. Tambang yang dikenakan juga sama iaitu RM13.35.


Sampai di hotel saya berehat di bilik sebelum check-out kira2 pukul 12 tengahari. Dari Modern Hotel saya ke hotel seterusnya iaitu The Prestige yang terletak kira2 1.2km dari Modern Hotel. Saya hanya berjalan kaki sahaja ke The Prestige sambil menikmati pemandangan bangunan2 lama yang terdapat di sepanjang jalan.


The Prestige Hotel ini terletak di Lebuh Gereja iaitu di tepi pantai. Bangunannya juga klasik dan berwarna putih. Berkonsepkan warna putih dan juga tembaga, hotel ini sememangnya cantik dan nampak begitu elegan. Saya sampai di lobi hotel kira2 pukul 1.30 tengahari dan diberitahu bilik akan hanya siap pada pukul 3 petang. Saya diberi voucher minuman percuma sementara menunggu ke pukul 3 petang. Café hanyalah terletak bersebelahan dengan lobi hotel sahaja.


Pada pukul 3 petang saya kembali semula ke lobi dan mendapat kad akses untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 3 (bangunan hotel ini hanya mempunyai 4 tingkat). Bilik hotel ini besar dan interiornya sangat cantik. Berkonsepkan warna copper, bilik kelihatan elegan dan eklusif. Bilik airnya adalah serratus peratus cermin yang boleh ditutup dengan langsir dari luar bilik. Untuk satu malam, bilik ini berharga RM314.78. Pada sebelah petangnya saya berjalan2 sekitar Padang Kota lama dan melihat bangunan2 lama yang terdapat di sekitar hotel.



Hari Ketiga (17/1/22)


Sebenarnya penerbangan pulang saya ke Kuala Lumpur ialah pada 17 Januari. Oleh kerana masa penerbangan telah ditukar dari pukul 6 petang ke 10 malam, saya mengambil keputusan untuk terus bermalam di Pulau Pinang memandangkan saya tiba lewat di KLIA2 dan mungkin perlu bermalam di Tune Hotel terlebih dahulu. Jadi saya pun membeli tiket pulang pada 18 Januari berharga RM99 (tiket asal saya hanyalah RM12). Saya memilih hotel DoubleTree by Hilton yang terletak di Batu Ferringhi.


Pada sebelah paginya saya hanya berehat di hotel The Prestige sehingga check-out tengaharinya. Pada kira2 pukul 12 tengahari saya check-out dari hotel dan berjalan ke Lebuh Union untuk mencuba pasembur Kareem yang terkenal. Gerainya hanyalah terletak kira2 300 meter dari The Prestige. Rojaknya sedap berharga RM20 (pembeli boleh memilih sendiri bahan2 yang kita inginkan).


Dari Lebuh Union saya terus mengambil grab untuk ke hotel DoubleTree yang terletak kira2 14km dari gerai pasembur tadi. Saya tiba di hotel kira2 setengah jam kemudiannya dan terus ke kaunter untuk proses check-in. Walaupun saya tiba awal bilik telah pun siap dan saya diberi kad akses untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 3 hotel.


Saya memilih bilih deluxe yang mempunyai balkoni di mana harganya ialah RM274 untuk satu malam. Hotel ini sebenarnya diambilalih oleh Hilton dari Hotel Hydro. Biliknya agak biasa bagi saya tetapi selesa. Mungkin menjadi satu keistimewaan hotel ini ialah lokasinya yang terletak di tepi pantai dan juga kolam mandinya yang besar untuk dewasa dan juga kanak2. Saya sempat mencuba nasi goreng kampung dan jus tembikai di restoran hotel yang terletak bersebelahan dengan pool. Makanannya agak sedap bagi saya.



Hari Keempat (18/1/22)


Di pagi hari keempat saya hanya berehat di bilik hotel sehingga jam 12 tengahari. Saya check-out dari hotel dan terus mengambil grab untuk ke Lapangan Terbang Bayan Lepas yang terletak kira2 27km dari hotel. Dalam masa kira2 45 minit saya tiba di lapangan terbang dan tambang yang dikenakan ialah RM46.35.


Oleh kerana penerbangan saya ke Kuala Lumpur ialah pada jam 4.30 petang, saya terlebih dahulu makan tengahari di Resoroan Line Clear yang terletak di lapangan terbang. Pada pukul 2.30 petang saya pun memasuki balai berlepas dan terbang ke KLIA2 tepat jam 4.30 petang. Kira2 sejam kemudian saya pun tiba di KLIA2.


Saya menaiki ERL untuk ke KL Sentral dengan tambang RM55 dan selepas itu menaiki LRT untuk pulang ke rumah saya yang terletak di Setapak Jaya.


Nota


Ini adalah trip solo saya yang pertama (sebelum ini saya tidak pernah travel secara solo. Kebanyakan trip adalah bersama group travel saya). Mungkin ini adalah permulaan bagi saya untuk travel secara solo selepas ini dan mencuba destinasi yang lebih jauh.


Untuk perbelanjaan pula, untuk 4 hari dan 3 malam saya di Pulau Pinang, kos keseluruhan ialah RM1,370 di mana kos untuk hotel sahaja adalah RM850.

229 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page