Pada minggu ini saya masih lagi di Putrajaya untuk staycation di satu lagi hotel yang terletak di IOI City. Hotel ini juga di bawah rangkaian Marriott dan baru sahaja selesai menaik taraf (refurbished) ke semua biliknya. Menggunakan aplikasi Trip.com saya menempah bilik hotel ini dengan harga RM351 dan harga ini sudah termasuk cukai tetapi tidak termasuk sarapan pagi. Rekabentuk hotel ini sebenarnya lebih kepada resort kerana mempunyai beberapa bangunan yang terpisah.
Saya tiba agak awal iaitu kira-kira pukul 12.45 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobinya agak kecil dan selain kaunter terdapat juga sebuah restoran di aras yang sama. Proses daftar masuk (check-in) sekejap sahaja dan saya terus sahaja menerima kad akses bilik kerana bilik saya telahpun sedia. Saya menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di Tingkat 2 dan terdapat dua buah lif disediakan di bahagian ini. Hotel ini hanya mempunyai beberapa tingkat sahaja, oleh itu masa untuk menunggu lif tidaklah lama.
Sebaik memasuki bilik, saya merasakan yang saya seolah-olah berada di hotel yang baru sahaja dibuka. Segala kelengkapannya masih lagi baharu. Biliknya berlantaikan kayu dan hanya terdapat karpet di bahagian katil sahaja. Dengan keluasan 409 kaki persegi, bilik jenis Tamera Guest ini kelihatan besar dan luas. Terdapat almari baju di sebelah kanan pintu masuk yang mana saiznya agak besar. Almari yang mempunyai pintu ini menyediakan tempat menyangkut baju. Terdapat 2 jubah mandi (bathrobe) digantung di dalamnya. Selain itu terdapat juga peti simpanan keselamatan dan juga seterika serta papannya.
Di ruang bilik, selain satu katil king terdapat sofa panjang di kaki katil. Selain itu terdapat satu lagi sofa yang sederhana besar terletak di kiri katil serta satu meja bulat yang agak besar, juga satu kerusi untuk pengunjung duduk dan melakukan kerja pejabat di sini kerana hotel ini tidak menyediakan meja kerja. Di penjuru kiri kaki katil terdapat satu kabinet berpintu yang agak besar menempatkan peti sejuk mini serta peralatan untuk membancuh kopi dan teh. Di sebelah kabinet ini terdapat tempat untuk meletakkan beg. Seperti hotel-hotel yang lain, TV digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil dan hotel ini menyediakan TV yang besar, bersaiz 60 inci. Di tepi meja bulat terdapat satu ruang kosong yang agak luas, oleh itu bilik hotel ini kelihatan agak besar.
Bilik airnya pula sederhana besar menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Hotel ini menggunakan mangkuk tandas yang terdapat paip kecil di dalamnya dan tidak menyediakan gelung paip. Ruang pancurannya hanya ditutupi separuh dengan cermin seratus peratus lutsinar. Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang disediakan. Peralatan mandian juga lengkap dan tuala yang disediakan kelihatan masih lagi baru.
Hotel ini mempunyai dua kolam renang tetapi ianya terletak agak jauh dari bangunan utama. Salah satu kolam renangnya mempunyai saiz yang sangat besar. Seingat saya inilah hotel yang mempunyai kolam renang yang paling besar yang pernah saya inap. Ianya berbentuk empat segi tepat dan mempunyai kedalaman 1.4 meter. Kolam renang kedua saiznya lebih kecil di mana terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak di sini. Waktu kolam renang dibuka ialah pada pukul 8 pagi sehingga 8 malam.
Di dalam bilik wifi yang disediakan agak laju di mana kelajuannya mencecah 81mbps dan untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 313mbps sementara Tune Talk pula 98mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang agak banyak dan juga di dalam bentuk HD. Saya juga berpuas hati dengan tekanan air di bilik mandinya yang kuat. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining sehingga pukul 10.30 malam. Banyak menu yang disediakan dan harganya tidak terlalu mahal. Nasi gorengnya berharga RM37 dan jus buah-buahannya pula berharga RM20. Sarapan pagi hotel ini berharga RM60 untuk seorang. Hotel ini menyediakan parkir di ruangan terbuka dan ianya adalah percuma.
Secara peribadi saya sangat sukakan hotel ini kerana suasananya agak berlainan dengan hotel-hotel yang lain. Ianya mengingatkan saya kepada Hotel Micasa di mana suasana di hotelnya sangat tenang, sesuai untuk staycation sambil berehat di hotel. Hotel ini menyediakan minuman kopi percuma untuk pengunjung dari pukul 3 hingga 5 petang di tengah-tengah bangunan hotel yang mempunyai lanskap yang cantik. Walaupun sudah lama, lanskap hotel ini dihias dengan cantik dan nampak ceria terutamanya di waktu malam. Selain itu kakitangannya juga sangat peramah dan sangat suka membantu pengunjung hotel. Boleh saya katakan yang hotel ini mempunyai kakitangan yang paling peramah yang pernah saya inap. Saya pasti akan ke hotel ini lagi kerana sangat suka dengan suasananya yang sesuai untuk saya berehat di hotel. Saya akan menginap di bilik yang mempunyai balkoni pula.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Makanan
留言