top of page
Search
hanuds

Palm Garden Hotel, Putrajaya (21-22/12/24)

Minggu ini staycation saya kembali ke satu hotel yang terletak di IOI City, Putrajaya. Hotel yang baru sahaja selesai diperbaharui (refurbished) ini adalah salah satu hotel di bawah rangkaian Marriott. Saya pernah ke sini pada Ogos yang lepas dan kali ini mengambil bilik yang sama iaitu jenis Tamera Guest. Saya masih lagi menggunakan aplikasi Trip.com tetapi kali ini harganya lebih murah iaitu RM353 (harga ini termasuk cukai dan juga sarapan pagi).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.20 tengahari dan terus sahaja mendaftar masuk (check-in). Ketika saya tiba terdapat sangat ramai pengunjung yang sedang mendaftar keluar (check-out). Walaupun agak sibuk kakitangan yang bertugas menjalankan kerja dengan baik dan proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Oleh kerana bilik saya belum lagi sedia, saya terlebih dahulu ke IOI City Mall untuk makan tengahari.


Saya mendapat panggilan talipon dari hotel mengatakan bilik saya telahpun siap pada kira-kira pukul 1.00 tengahari tetapi saya kembali semula ke hotel hanya selepas pukul 2 petang. Sebaik tiba di hotel, saya terus mengambil kad akses bilik dan terus sahaja menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di Tingkat 3. Pada Ogos yang lepas bilik saya terletak di Tingkat 2.


Bilik jenis Tamera Guest ini agak luas dengan keluasan 409 kaki persegi. Biliknya adalah sama dengan bilik yang saya inap pada Ogos dahulu cuma ianya bertentangan (opposite). Sebaik memasuki bilik terdapat sebuah almari kecil di sebelah kiri pintu masuk. Di dalam almari ini terdapat tempat untuk menyangkut baju dan peti simpanan keselamatan. Di dalamnya juga terdapat seterika dan papan seterika serta penimbang berat badan. Terdapat dua pasang jubah mandi yang disangkut di dalam almari ini.


Di ruang katil pula selain satu katil king terdapat sebuah  sofa yang agak besar di sebelah kanan katil. Di hadapan sofa ini diletakkan satu meja bulat yang agak besar dan sebuah kerusi. Di penjuru kanan kaki katil terdapat satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini serta peralatan untuk membancuh kopi dan teh. Di sebelahnya pula iaitu bertentangan dengan kaki katil terdapat satu meja untuk pengunjung meletakkan beg dan barang-barang mereka. Hotel ini menyediakan TV yang besar, mungkin berukuran 65 inci. Bilik jenis Tamera Guest ini mempunyai satu ruang kecil di sebelah sofa menjadikan bilik ini kelihatan sangat luas.


Bilik airnya pula agak kecil menempatkan singki, tandas dan ruang untuk pancuran (shower). Ruang pancurannya adalah separa terbuka menempatkan pancuran jenis siling dan juga pegang. Hotel ini tidak menyediakan gelung paip, hanya menggunakan mangkuk tandas yang terdapat paip kecil di dalamnya. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala tangan serta tuala muka.


Salah satu keistimewaan hotel ini ialah kolam renangnya yang besar tetapi ianya terletak agak jauh dari bangunan utama. Bukan sahaja luas, kolam renangnya juga dalam dengan kedalaman 1.8 meter. Terdapat kolam renang kedua di sebelah kolam renang utama di mana ianya lebih kecil dan sesuai untuk kanak-kanak. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 8 pagi hingga 8 malam. Di sebelah kolam renang terdapat sebuah gimnasium tetapi saya tidak pasti waktu ianya beroperasi.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 45mbps. Untuk telco, CelcomDigi berkelajuan 681mbps sementara Tune Talk pula 92mbps. Hotel ini menyediakan TV yang besar dengan siaran yang banyak dan di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat cuma saya tidak begitu gemar dengan ruang pancurannya yang tidak bertutup. Hotel ini ada menyediakan parkir percuma untuk pengunjung tetapi ianya adalah di ruang yang terbuka.


Untuk sarapan pagi pula ianya adalah di restoran yang terletak di lobi hotel. Waktu untuk sarapan pagi ialah dari pukul 6.30 pagi hingga 10.30 pagi. Hotel ini menyediakan menu sarapan yang sangat pelbagai. Saya hanya mencuba beberapa menu sahaja termasuklah nasi lemak dan rasanya sedap bagi saya. Untuk daftar keluar hotel membenarkan saya untuk keluar pada pukul 2 petang.


Hotel ini adalah antara hotel yang saya suka kerana suasananya yang sesuai untuk saya bersantai sambil berehat. Hotel ini sebenarnya seakan sebuah resort dan reka bentuknya sangat sesuai untuk yang ingin berehat di hotel. Biliknya bukan sahaja masih baharu, ianya juga bersih dan luas. Kakitangan hotel ini juga sangat ramah dan mesra dengan pengunjung hotel. Makanan di hotel ini sedap dan harganya tidaklah terlalu mahal. Saya sempat makan malam dan mencuba mee goreng mamak dan juga jus tembikai yang masing-masing berharga RM30 dan RM18. Dari segi lokasi pula, hotel ini agak jauh dari IOI City Mall tetapi terdapat bas ulang-alik (shuttle bus) dari hotel ke IOI City Mall dan ianya adalah percuma. Untuk yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini terletak 10 km dari Stesen MRT dan ERL Putrajaya.


Bilik



Bilik Air



Kolam Renang



Hotel



Sarapan Pagi



Makan Malam



13 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page