Hotel ini adalah salah satu hotel di dalam rangkaian Pacific Regency Hotel Group. Terletak di Wisma Fui Chiu KL di Jalan Tun Tan Cheng Lock. Pada asalnya bangunan hotel ini adalah Pasaraya S&M sebelum diubah suai untuk dijadikan hotel. Di sebelah bangunan hotel ini adalah Kompleks Kota Raya dan di hadapannya pula terletak Jalan Petaling (Petaling Street).
Saya menempah hotel ini hanya beberapa jam sebelum check-in kerana hotel ini terletak berdekatan dengan pejabat saya. Melalui aplikasi Trip.com saya telah memilih bilik jenis superior yang berharga RM95, dan ianya termasuk sarapan pagi untuk 2 orang. Setelah ditolak trip coins, saya hanya perlu membayar RM48.58. Bilik superior hotel ini mempunyai keluasan 226 kaki persegi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 6.00 petang dan terus sahaja ke kaunter. Lobi hotel ini letaknya di tingkat bawah hotel dan selain kaunter terdapat juga sebuah restoran yang tidaklah begitu besar. Proses check-in cepat dan deposit RM50 dikenakan oleh hotel ini. Setelah menerima kad akses, saya terus sahaja menaiki lif ke tingkat 2. Terdapat 3 lif di hotel ini dan nombor bilik hotel ini agak pelik kerana bermula dengan nombor 8 (selalunya nombor permulaan adalah tingkat di mana bilik kita berada). Bilik saya bernombor 8202 di mana ianya berada di tingkat 2. Pengguna tidak perlu menyentuh kad untuk menaiki lif tetapi kad perlu disentuh di pembaca kad bila ingin memasuki kawasan bilik dari lif (terdapat pintu untuk memasuki kawasan bilik).
Bilik superior hotel ini kecil sahaja. Selain satu katil queen, terdapat ruang di sebelah kanan katil untuk menyimpan barang-barang dan juga untuk menyangkut baju, dan ruang ini adalah terbuka. Di kaki katil terdapat satu ruang yang kecil menempatkan meja kerja dan juga kerusi bagi pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Di atasnya terdapat perkakas untuk membancuh kopi dan juga teh, termasuklah cerek letrik dan juga 2 botol air mineral. Telepon juga diletakan di atas meja ini. TV pula dilekatkan di dinding bertentangan kaki katil dan saiznya hanyalah 32 inci. Hotel ini tidak menyediakan peti sejuk serta peti simpanan keselamatan. Seterika juga tidak ada disediakan di hotel ini. Hotel ini hanya menyediakan 2 biji bantal dan ianya agak nipis.
Bilik airnya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Di sebelah mangkuk tandas ada disediakan gelung paip untuk kemudahan pengunjung. Ruang untuk pancuran pula agak kecil dan ianya mempunyai pintu cermin yang tidak boleh dikunci. Terdapat 2 jenis pancuran iaitu jenis siling dan juga pegang. Terdapat pengering rambut yang diletakan di sebelah sinki di dalam bilik air ini.
Hotel ini ada menyediakan wifi percuma tetapi kelajuannya perlahan sahaja iaitu hanyalah sekitar 3mbps. Telco pula sangat laju di mana Tune Talk mencapai kelajuan 134mbps sementara Celcom pula 116mbps. Siaran TV pula hanya menyiarkan siaran asas sahaja tetapi kesemua siarannya adalah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat. Bilik yang saya inap ini pemandangan di luarnya adalah mengadap ke Jalan Petaling. Di bahagian bawah bangunan ini pula terdapat Restoran Texas Chicken dan juga 7 Eleven.
Sarapan pagi adalah di restoran yang terletak di lobi iaitu di bahagian bawah hotel. Waktu untuk sarapan pagi ialah dari pukul 7 pagi hingga ke 10 pagi. Saya turun tepat pada pukul 7 pagi dan orang sangat ramai di restoran. Menurut kakitangan yang bertugas terdapat rombongan dari negara Indonesia dan juga Vietnam dan mereka telah meminta sarapan diawalkan ke jam 6.30 pagi. Saya hanya meninjau-ninjau menu yang disediakan dan tidak mencubanya disebabkan orang yang ramai (hinggakan tidak cukup meja). Dari apa yang saya lihat tidak banyak menu yang disediakan. Untuk proses check-out pula, pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses dan mengambil semula wang deposit.
Secara peribadi hotel ini agak berpatutan jika dilihat dari segi keluasan dan harganya yang di bawah RM100 termasuk sarapan pagi. Cuma jika diambil kira ketiadaan peti sejuk dan seterika, ianya boleh dianggap agak mahal. Hotel ini agak bersih walaupun karpetnya terdapat banyak kesan2 kotoran. Biliknya tidaklah besar tetapi agak selesa. Lokasi hotel ini memang strategik iaitu berhampiran dengan Jalan Petaling dan juga Pasar Seni. Selain itu ianya berdekatan juga dengan Stesen LRT Plaza Rakyat. Bagi yang ingin mencari tempat bermalam, hotel ini mungkin sesuai itupun jika tidak memerlukan peti sejuk dan juga seterika.
Bilik
Bilik Air
Hotel
Comments