top of page
Search

One18 Boutique Hotel, KL Chinatown (8-9/2/25)

hanuds

Minggu ini saya ke satu hotel bajet yang baru sahaja memulakan operasinya. Hotel ini terletak di Jalan Tun H S Lee iaitu bersebelahan dengan Jalan Petaling (Petaling Street). Bangunan hotel ini pula bertentangan dengan Hotel Else. Menggunakan aplikasi Booking.com saya menempah bilik jenis King Room with Spa Bath yang berharga RM218.88. Harga ini telah termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi. Nama hotel ini mungkin diambil bersempena dengan Merdeka 118 yang boleh dilihat dari hotel.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 12.30 tengahari dan terus sahaja ke lobinya. Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah dan agak tersorok dengan kedai-kedai di sekelilingnya. Terdapat sebuah kedai cenderamata dan pakaian di lobi hotel ini dan untuk ke kaunternya, ianya perlu melalui laluan sempit. Hotel ini menggunakan kiosk layan diri untuk proses daftar masuk (check-in) dan prosesnya sangat mudah dan ringkas. Walau bagaimanapun pengunjung perlu juga ke kaunter kerana kiosk tersebut hanya menyediakan kad akses untuk masuk ke hotel dan bukannya ke bilik. Untuk memasuki biliknya, pengunjung perlu mengambil kunci bilik dari kaunter hotel.


Sebaik menerima kunci bilik saya terus sahaja menaiki tangga untuk ke bilik saya yang terletak di Tingkat 2 kerana hotel ini tidak mempunyai lif. Bilik jenis King Room with Spa Bath ini adalah antara bilik yang besar di hotel ini dengan keluasan 220 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat satu ruang yang menempatkan tub mandi (bathtub) dan singki di sebelah kiri. Ruang ini agak luas dan ianya adalah terbuka, hanya dipisahkan oleh dinding dari bahagian katil. Di ruang katil pula hanya terdapat satu katil king serta satu meja kerja yang terletak di sebelah kiri katil. Saiz meja kerja ini agak besar dan di bahagian atas meja ini terdapat satu rel besi yang dijadikan tempat untuk menyangkut baju. Di atas meja ini terdapat satu cerek letrik serta dua cawan kaca serta kotak tisu. TV pula digantung di dinding antara ruang katil dan ruang tub mandi dan hotel ini menyediakan Smart TV bersaiz 50 inci.


Bilik mandi pula letaknya di sebelah kanan pintu masuk dan saiznya kecil sahaja. Di dalamnya terdapat mangkuk tandas di mana di sebelahnya ada disediakan gelung paip. Untuk pancuran (shower) pula, hotel ini menyediakan tiga jenis pancuran. Hotel ini hanya menyediakan kelengkapan mandian yang asas sahaja iaitu tuala mandi serta gel mandian serta syampu. Hotel ini tidak menyediakan berus gigi serta peralatan mandian yang lain dan biliknya juga tidak mempunyai tingkap.


Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana kelajuannya mencecah 32mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 405mbps sementara Tune Talk pula 284mbps. Hotel ini hanya menyediakan Smart TV tanpa siaran percuma dan pengunjung perlu mempunyai akaun jika ingin menonton Netflix. Tekanan air di pancurannya pula tidak begitu kuat dan agak susah untuk mengawal suhu airnya. Hotel ini tidak menyediakan air minuman sebaliknya hanya menyediakan mesin air minuman yang terletak di Tingkat 1 dan juga 3. Di situ juga ada disediakan seterika dan papan seterika jika pengunjung perlu menggosok pakaian mereka. Untuk proses daftar keluar (check-out), pengunjung hanya perlu meletakkan kad akses dan juga kunci bilik di dalam kotak yang disediakan di kaunter.


Hotel ini baru sahaja dibuka oleh itu segala kelengkapannya masih lagi baharu. Hotel ini sangat bersih dan mempunyai hiasan dalaman yang cantik. Lokasi hotel ini letaknya bersebelahan dengan Jalan Petaling (Petaling Street) dan sangat sesuai bagi pengunjung yang ingin bersiar-siar di sekitar Jalan petaling ataupun Pasar Seni (Central Market). Hotel ini tidak menyediakan parkir tetapi terdapat beberapa parkir awam di sekitarnya. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini berdekatan dengan Stesen MRT Pasar Seni iaitu kira-kira 350 meter sahaja. Pengunjung juga boleh menggunakan LRT kerana hotel ini terletak 400 meter dari Stesen LRT Pasar Seni.


Secara peribadi saya agak menyukai hotel ini kerana hiasan dalamannya yang cantik serta lokasinya yang terletak bersebelahan dengan Jalan Petaling. Untuk bilik Standard, harganya hanyalah di sekitar RM100 dan mungkin di bawah RM100 di tarikh tertentu. Untuk bilik yang saya inap ini pula, adalah lebih baik jika pihak hotel dapat menyediakan peralatan mandian yang lengkap kerana harganya yang agak mahal. Bilik ini terdapat tub mandi tetapi tiada peralatan mandian yang disediakan untuk pengunjung mandi di tub mandinya. Seperkara lagi lantai hotel ini diperbuat dari jubin dan adalah lebih baik sekiranya hotel dapat menyediakan selipar sebagai alas kaki sepanjang pengunjung berada di bilik kerana lantainya yang sejuk. Hotel ini membenarkan pengunjung untuk daftar masuk seawal 6 pagi jika bilik telahpun sedia tetapi akan dikenakan bayaran sebanyak RM30. Jika daftar masuk dilakukan selepas jam 12 tengahari, ianya adalah percuma.


Bilik



Bilik Air



Hotel Interior



Hotel Exterior



Pemandangan dari Hotel



 
 
 

1 Comment


mazidanhussin
Mar 21

Cadangkan tempat parking tuan

Edited
Like
Post: Blog2_Post
  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn

©2020 by Bumi dipijak langit dijunjung. Proudly created with Wix.com

bottom of page